Jika dahulu, kegiatan kokurikulum berenang berkuatkuasa kepada murid sekolah yang berhampiran dengan kemudahan kolam renang awam namun kini Kementerian Pendidikan pula mahu mengesyorkan pihak swasta terutama hotel untuk turut sama membantu menyediakan aktiviti renang kepada pelajar.
Perkara tersebut diumumkan Menterinya, Dr Maszlee Malik yang akan mengadakan perbincangan dengan industri perhotelan berhubung perkara itu sebagai tambahan kepada usaha yang diumumkan sebelum ini.
Kata Maszlee, beliau turut menyarankan industri perhotelan untuk turut sama membantu murid sekolah menyediakan aktiviti renang sebagai salah satu Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka.
Dalam masa yang sama, beliau turut berharap agar pihak hotel akan bertindak dan mengambil inisiatif sendiri selepas kementeriannya mengumumkan cadangan tersebut.
Sebelum ini, usaha pihak kementerian untuk mewujudkan kokurikulum renang kepada murid sekolah rata-ratanya disambut baik masyarakat terutama golongan ibu bapa yang bersetuju dengan cadangan tersebut bagi menangani insiden lemas walaupun dilihat mustahil untuk dilaksana di seluruh sekolah.
Namun, apabila kementerian membuat cadangan supaya pihak hotel turut sama membantu usaha tersebut, masyarakat dilihat mempertikaikan serta tidak bersetuju dengan tindakan tersebut yang akan memberi tempias kepada pihak hotel dan juga pelanggan mereka.
Kolam Renang Awam dan Kolam Renang Hotel Dijadikan Tempat Murid Belajar Berenang
Jika dilihat jumlah sekolah di seluruh Malaysia dengan jumlah kolam renang awam mahupun jumlah hotel, ia pastinya memperlihatkan jumlah angka yang sangat berbeza.
Bagi kolam renang awam, kebiasaannya ia akan dipenuhi orang ramai pada hari minggu untuk berenang atau mengikuti kelas renang yang dijalankan oleh jurulatih masing-masing.
Tidak kurang juga, beberapa atlet sukan renang juga dilihat menjadikan kolam renang awam sebagai tempat untuk mereka berlatih.
Bagi kolam renang awam yang mempunyai kapasiti besar hingga mampu menyediakan kolam renang dewasa dan kanak-kanak secara berasingan, cadangan ini pasti tidak membawa masalah pada mereka yang mana mereka hanya perlu mewujudkan hari-hari tertentu yang dikhususkan oleh pihak sekolah untuk menjalankan aktiviti tersebut.
Jika pada hotel pula, ianya perlu bergantung kepada inisiatif mereka sendiri sama ada mahu turut sama membantu kementerian dalam usaha tersebut di mana mereka juga perlu mengambil kira pandangan pelanggan.
Pengusaha Hotel Tidak Setuju
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Yap Lip Seng tidak bersetuju dengan cadangan menteri itu.
Katanya, tindakan menggunakan kolam renang hotel dikhuatiri akan mengganggu pelanggan yang menggunakan kemudahan itu seterusnya memberi kesan negatif kepada industri pelancongan.
Jelasnya , ia kemungkinan besar akan menyebabkan aduan daripada pelanggan hotel terutama dengan penggunanaan media sosial yang akan cepat tular.
Menurut Lip Seng secara praktikal, kolam renang hotel adalah sebahagian kemudahan yang ditawarkan kepada penghuni hotel dan pelancong, dan pelanggan yang patut diberi hak keutamaan dalam penggunaannya.
Namun, sekiranya pada masa yang sama ada gangguan oleh kumpulan bukan penghuni, ini akan menyebabkan persepsi negatif terhadap hotel terbabit.
Selain itu katanya, faktor keselamatan perlu diberi keutamaan di mana rekabentuk kolam renang hotel bukan dibina untuk menampung keperluan pelajaran atau latihan renang, terutamanya untuk kanak-kanak dan secara berkumpulan.
Persatuan Hotel-hotel Malaysia (MAH) bahagian Sarawak turut menolak cadangan Kementerian Pendidikan untuk membenarkan pelajar menggunakan kolam renang di hotel untuk menjalani aktiviti renang sebagai sebahagian daripada Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) hotel.
Setiausaha Kehormatnya, John Teo Peng Yew berkata tanggungjawab itu seharusnya digalas oleh kolam renang awam yang sentiasa mempunyai atendan kolam renang berkelayakan yang bertugas sepanjang waktu operasi.
Sukar Atau Tidak Kokurikulum Renang Dilaksana di Seluruh Sekolah?
Di negara kita, kemudahan kolam renang amat terhad dan hampir tiada sekolah mempunyai kolam renang sendiri, kecuali di sekolah sukan mahupun sekolah swasta.
Itu belum lagi dikira bilangan murid yang terlalu ramai dalam sesebuah sekolah hingga mencatatkan jumlah seramai 4.65 juta pelajar sekolah rendah dan menengah bagi sesi persekolahan 2018.
Oleh itu, cadangan memperkenalkan kokurikulum renang di sekolah bukanlah usaha yang mudah dan boleh dilaksanakan dalam jangka masa yang singkat memandangkan kerajaan perlu mengambil kira pelbagai faktor lain termasuk faktor keselamatan, masa guru dan murid untuk mengikuti kelas renang, perbelanjaan pengangkutan dan pelbagai faktor lain.
Bukan itu sahaja, bagi sekolah yang tidak mempunyai tenaga pengajar mahupun jurulatih renang, pastinya mereka akan mengeluarkan wang yang banyak untuk mengajar teknik serta kaedah renang yang betul kepada murid sekolah.
Walaupun ianya nampak mustahil untuk dilaksana di seluruh sekolah namun tiada apa yang mustahil sekiranya semua pihak menyokong langkah itu,untuk dilaksana secara berperingkat. Memandangkan murid kini banyak terdedah dengan risiko lemas lebih-lebih lagi ketika mengikuti program di tepi laut, sungai mahupun di kawasan air terjun.
Jangan Perlekehkan Usaha Kementerian
Maszlee berkata, usaha Kementerian Pendidikan yang mahu memperkenalkan kokurikulum belajar berenang kepada murid sekolah perlu dilihat daripada sudut positif.
Usaha itu tidak seharusnya diperlekehkan, malah perlu dilihat sebagai satu kemajuan dalam kokurikulum murid selari dengan pembangunan holistik pelajar itu sendiri.
KATA ORANG
Jikalau solusi hotel itu untuk jangka pendek, yang perlu diumumkan oleh Yb menteri ialah “Kerajaan akan labur untuk pembinaan fasiliti kolam renang dalam tempoh sekian-sekian supaya akan datang pelajar boleh ada... https://t.co/dQ8xCRtDha
— Ashraff Nazrin (@ashraffnazrin) November 23, 2018
Kpm nak jalankan aktiviti renang pelajar di pusat renang,kolam renang awam dan kompleks sukan. Jika kolam renang hotel tu satu idea yg teruk sekurang kurangnya tambah idea dan cadangan bukan tahu hentam dan kutuk sahaja. Nampak tahap metalitinya rendah kat situ.
— Lavender Lilyana (@LavenderLilyana) November 23, 2018
Pusat renang, kompleks sukan, dan kolam awam. Betul. Tapi kenapa mesti ada cadangan kolam hotel?
— Nur (@Nur1081) November 23, 2018
Dan kenapa mesti ada silibus berenang dlm pendidikan?
Lbh elok perkasakan pembelajaran Al Quran atau sejarah. Demi melahirkan anak bangsa yg kuat akidah&tak mudah dipergunakan DAP.
No. 3 sy setuju hotel bg kemudahan sementara tu kerajaan bina lebih banýak kemudahan kolam renang utk org awam dn pelajar
— Amuk71 (@LatepBakeri) November 23, 2018