Mulai tahun depan, kegiatan kokurikulum berenang akan diperkenalkan di sekolah dalam usaha mempersiapkan murid dengan kemahiran tersebut selain menangani insiden lemas.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, pelaksanaan tersebut akan mula berkuatkuasa mulai tahun depan kepada murid sekolah yang berhampiran dengan kemudahan kolam renang awam.

Menurut beliau, terdapat banyak kemudahan kolam renang awam di seluruh negara yang tidak digunakan sepenuhnya, oleh itu Kementerian Pendidikan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Jabatan Pendidikan Negeri akan mengadakan perbincangan bagi menjayakan inisiatif tersebut.

Sumber: BERNAMA

Selain itu, beliau turut menaruh harapan agar pelaksanaan kokurikulum tersebut diperluas ke semua sekolah bagi mengurangkan risiko kes lemas dalam kalangan kanak-kanak.

Baru-baru ini, seorang remaja, 17 tahun meninggal dunia selepas tergelincir dan lemas ketika memancing di sebuah lombong di Taman Putra Perdana, Cyberjaya hingga menyebabkan 6 penyelam bomba turut terkorban akibat terbelit tali di dasar ketika hujan lebat.

 

Apa Keperluan Kelas Renang Diperkenal Dalam Kokurikulum Sekolah?

Isu mengenai kokurikulum kelas renang ini bukan perkara baru yang diperdebatkan banyak pihak tetapi sebelum ini isu tersebut pernah disuarakan oleh Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) Tan Sri Mohd Yussof Latiff yang mahu kerajaan mengangkat aktiviti itu sebagai satu kelas yang perlu disertai oleh pelajar.

Ianya bagi memberi persediaan rapi sekiranya pelajar berhadapan dengan kejadian lemas.

Kalau kita lihat jumlah sekolah yang ada di seluruh negara dengan kemudahan kolam renang awam yang sedikit, ia pasti sukar untuk dilaksanakan secara menyeluruh lebih-lebih lagi bagi mereka yang menetap di kawasan luar bandar khususnya.

Tidak salah sekiranya kerajaan mahu terus melaksanakan dasar ini di mana ramai ibu bapa turut menyokong hasrat berkenaan kerana ia bakal mendatangkan kebaikan kepada anak mereka dari segi teori keselamatan ketika berenang.

Walau bagaimanapun, ada juga sesetengah ibu bapa yang tidak bersetuju dengan cadangan itu dengan mempersoalkan peruntukan yang bakal dibelanja bagi aktiviti tersebut termasuk kos jurulatih serta kursus renang kepada guru.

Sumber: SK Seri Bayu

Pun begitu, sekarang ini ramai ibu bapa kini tidak hanya menunggu pihak sekolah untuk melaksanakan kokurikulum tersebut kerana ada yang sudah menghantar anak mereka mengikuti kelas renang pada setiap hujung minggu.

Malah, ada juga ibu bapa yang sanggup membeli rumah yang mempunyai kolam renang untuk memberi pendedahan kepada anak mereka tentang ilmu dan kemahiran berenang.

Sebenarnya, ilmu tentang kemahiran berenang ini tidak susah untuk dipelajari terutama bagi kanak-kanak kerana fasa inilah mereka mudah untuk mempelajari sesuatu perkara.

Jika dilihat di negara maju yang lain, kebanyakan remaja mereka sudah pandai berenang namun rakyat kita dilihat seperti memperlekehkan cadangan yang di bawa oleh kerajaan ini.

Bagi murid yang datang dari keluarga mewah, pastinya isu ini dilihat seperti biasa sahaja tetapi ia perlu diberi penekanan kepada murid yang datang dari keluarga yang kurang berkemampuan untuk mempelajari aktiviti tersebut.

 

Kes Kejadian Lemas Dalam Kalangan Kanak-kanak

Sumber: Astro Awani

Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, sejak awal tahun lalu, pihaknya merekodkan seramai hampir 700 orang lemas semasa menjalankan aktiviti berkaitan air.

Kejadian seperti ini biasanya melibatkan kanak-kanak di mana mereka dilihat gemar bermain air terutama di kawasan sungai, kolam mahupun laut.

Lihat sahaja ketika musim persekolahan, pasti ada sahaja kes lemas berlaku setiap tahun sama ada melibatkan kanak-kanak mahupun orang dewasa.

Mungkin, apabila kerajaan memperkenalkan kokurikulum renang di sekolah mulai tahun depan, ianya dapat mengurangkan kes lemas dalam kalangan kanak-kanak di seluruh negara.

Namun begitu, pelaksanaan tersebut sememangnya memerlukan kajian yang menyeluruh termasuk mengadakan perbincangan bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kerana bukan senang untuk memastikan setiap sekolah menyediakan kelas renang bagi aktiviti kokurikulum.

Lebih-lebih guru yang pastinya dibebani dengan banyak tugasan dalam mahupun luar sekolah yang menjadi beban buat mereka untuk menyambut baik pelaksanaan tersebut.

KATA ORANG

KATA ANDA

Bagi menangani insiden lemas, adakah wajar kanak-kanak mengikuti kokurikulum kelas renang di sekolah seperti dicadangkan kerajaan?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN