Setiap orang pasti ada tabiat buruk masing-masing tidak kira apa pun termasuk ketika membuang air besar. Terdapat segelintir orang yang gemar membawa telefon bimbit ketika membuang air.

Mereka berpendapat dengan cara membawa telefon bimbit ini tidak akan membuatkan mereka bosan ketika ‘melepaskan hajat’ dan ada juga yang menjadi habit setiap kali masuk ke dalam tandas.

Untuk pengetahuan, satu kajian yang dilakukan mendedahkan 57 peratus penduduk Britain dan lapan peratus berterus terang mereka sentiasa membawa telefon bimbit ke tandas.

Apa yang lebih mengejutkan, tabiat itu juga boleh mendedahkan seseorang itu kepada risiko penyakit buasir.

 

Bagaimana Ia berlaku?

Pengarah Klinik patient.info , Dr Sarah Jarvis menjelaskan kepada The Sun Online, lebih lama anda duduk di dalam tandas sambil bermain telefon ia sekali gus meningkatkan tekanan pada urat pada bahagian bawah dubur.

Selain itu, pakar estetika, Kapten (B) Datuk Dr Zulkafperi Hanapi dipetik berkata, penggunaan tandas duduk menyebabkan najis tidak dapat keluar sepenuhnya dan perlu diteran (sekiranya posisi tidak betul).

Sekuat manapun anda meneran, najis masih lagi tidak keluar sepenuhnya dan menyebabkan ia mengundur semula dan tersimpan di dalam kolon sigmoid sehingga bertahun-tahun.

Apabila meneran, hanya 50% tekanan atau tenaga digunakan untuk mengeluarkan najis, tetapi ia tetap menyebabkan najis mengundur dan beberapa komplikasi penyakit lain pula.

Buasir berlaku apabila regangan berulang kali terhasil akibat pergerakan usus yang mana najis keras dipaksa keluar dengan meneran dan sering bergesel pada dinding usus.

Ditambah pula anda membawa telefon bimbit semasa membuang air akan menyebabkan anda tidak fokus dan menahan untuk membuang air besar.

 

Apa Itu Buasir?

Buasir adalah salur darah vena yang membesar di bahagian bawah rektum dan dubur. Ia akan membawa masalah apabila ianya menjadi radang atau bengkak.

Buasir boleh diklasifikasikan kepada dua bergantung kepada lokasinya iaitu buasir luaran atau buasir dalaman.

Buasir dalaman adalah buasir yang tidak terasa sakit dan gatal kerana ia terletak jauh ke dalam rektum sebaliknya buasir luaran ini mengakibatkan gejala-gejala seperti sakit, pedih dan gatal di dubur.

Kata Dr Jarvis dipetik berkata, masalah sembelit dan kesukaran untuk membuang air besar adalah antara faktor utama seseorang itu berpotensi menghidap buasir selain mengandung, batuk kronik dan faktor usia.

Tambahnya lagi, kegatalan pada benjolan di dubur dan berak berdarah juga antara simptom buasir, selain cecair melekit yang keluar dan melekat pada seluar dalam anda.

 

Cara Menghindari Buasir

Untuk mengelakkan anda dari terkena buasir, sebaiknya anda lebihkan pengambilan serat dalam pemakanan  dengan memakan buah-buahan,sayur-sayuran hijau dan bijirin. Jika ingin memakan roti atau bijirin, pilihlah yang mengandungi bijiran penuh.

Ini kerana sumber serat di dalam makanan tersebut akan menghindari anda untuk terkena sembelit seterusnya dijauhi dari buasir.

 Pakar Perunding Pembedahan Am yang juga Pakar Bedah Kolorektal di Pantai Medical Centre, Kuala Lumpur, Dr Meheshinder turut mencadangkan agar setiap individu tidak membawa bersama bahan bacaan atau gajet seperti telefon bimbit ketika membuang air besar di tandas agar boleh memendekkan tempoh anda duduk di mangkuk tandas tanpa keperluan.

Justeru, anda perlu mengubah gaya hidup dengan melebihkan pengambilan serat dalam pemakanan selain daripada mengetahui posisi yang betul semasa menggunakan tandas duduk.

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah anda salah seorang yang mempunyai tabiat membawa telefon bimbit ketika buang air besar?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN