Selepas buah durian, sekarang ini musim buah rambutan pula! Apa yang menariknya, buah rambutan ini bukan sahaja menjadi buah kegemaran sebahagian besar rakyat Malaysia, tetapi juga terkenal dalam kalangan penduduk di rantau Asia Tenggara.

Malah, buah rambutan juga pernah disebut sebagai buah yang paling eksotik di dunia disebabkan rupanya yang unik!

Sumber: Dream

Tidak hairanlah masyarakat Barat melabelkan buah ini sebagai buah ‘makhluk asing’ atau ‘hairy fruit’ kerana rupanya yang boleh dikatakan pelik dan ‘berbulu’ menerusi satu video pendek siri Netflix yang ditularkan seorang pengguna Twitter sosial baru-baru ini.

Dalam perkongsian itu, dua pelakon di dalam siri Netflix itu dikatakan sedang meneroka ruang angkasa sebelum mendarat di bulan dan menemui buah ‘makhluk asing’ yang sebenarnya adalah buah rambutan.

Lebih melucukan, buah tersebut perlu dieksperimenkan terlebih dahulu dengan menyapunya di bahagian bibir untuk menentukan sama ada ianya beracun atau boleh menyebabkan keradangan lain.

 

Cuit Perhatian Ramai

Perkongsian itu bagaimanapun telah berjaya mencuit hati netizen yang rata-ratanya terhibur dengan reaksi masyarakat Barat terhadap buah tempatan kita.

Sumber: Organic Facts

Mungkin selama ini kita ingat buah durian sahaja yang kerap dilabel sebagai buah yang pelik kerana rupanya yang berduri selain baunya yang busuk.

Tetapi nampaknya rambutan juga tidak terkecuali untuk dilabel sebegitu. Ada yang mengatakan buah rambutan ini seakan-akan ping pong dan ada pula yang bentuknya seperti telur ‘dinosaur” dan sebagainya.

Namun, disebalik rupanya yang sebegitu, buah ini sama sekali manis walaupun terdapat juga yang masam dan kaya dengan khasiatnya yang tersendiri.

 

Khasiat Buah Rambutan  

Sumber: AliExpress

Di luarnya nampak sahaja pelik dan berbulu, tetapi buah ini sama sekali boleh dijadikan sebagai ubat! Dari kulit, daun, biji sehinggalah ke bahagian akar semuanya ada khasiat yang tersendiri.

Selain mengandungi karbohidrat, protein, lemak, fosforus, zat besi, kalsium, vitamin C, vitamin A, kalsium, magnesium, sodium, zink, niasin dan serat, biji rambutan yang berwarna coklat itu dikatakan kaya dengan lemak dan minyak yang boleh digunakan dalam masakan, penghasilan sabun, mengurangkan lemak di badan, melembutkan kulit muka, merawat penyakit diabetes dan mengatasi masalah rambut beruban.

Manakala akar, kulit dan daunnya pula boleh digunakan dalam penghasilan pewarna dan ubat untuk menyembuhkan demam dan tidaklah beracun seperti yang dikatakan masyarakat Barat.

 

Antara Buah Lain Yang Turut Dianggap Pelik

Selain durian dan rambutan, banyak sahaja buah lain turut dianggap pelik orang masyarakat luar seperti buah naga, makisa, salak, nangka, cempedak, kiwano, tangan buddha, screw pine, akebia quinate, atemoya, serta banyak lagi.

Buah naga juga dikatakan pelik hanya kerana bentuk dan warnanya yang dikaitkan dengan mitos bola api yang dikeluarkan oleh seekor naga.

Selain itu, buah salak juga dikatakan paling pelik kerana kulitnya seperti kulit ular berdasarkan kepada rupa bentuk kulitnya yang bersisik dan rasanya yang kelat-kelat manis yang menucuk lidah bagi sesiapa yang kurang menggemarinya.

Banyak sebenarnya buah-buah tempatan yang nampak aneh di mata mereka. Walhal, buah-buahan ini sama sekali sedap dan menjadi kegemaran buat masyarakat tempatan khususnya.

Mungkin, kita perlu ketengahkan lagi jenis-jenis buah yang ada di Malaysia supaya masyarakat Barat tertarik untuk mencubanya dan menghakis tanggapan negatif terhadap buah-buah yang ada di rantau Asia Tenggara ini.

KATA ORANG

KATA ANDA

Patutkah kita ketengahkan lagi jenis-jenis buah yang ada di rantau Asia supaya masyarakat Barat tertarik untuk mencubanya dan menghakis tanggapan negatif terhadap buah-buah yang dilabel 'pelik'?
1 vote · 1 answer
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN