Sebut sahaja baka kucing jenis ‘British Short Hair’, ramai di antara kita pastinya memasang angan-angan untuk memiliki kucing jenis ini disebabkan bulunya yang berwarna kelabu kebiruan dan mempunyai corak yang berbeza.

Untuk pengetahuan anda, hampir 40% rakyat Malaysia memelihara kucing dan negara kita berada di tangga ke-6 paling banyak pelihara kucing termasuklah kucing import.

Sumber: Bernama

Jadi, tidak hairanlah ada sahaja kucing yang dibawa masuk ke dalam negara kita. Tetapi, proses untuk mengimport kucing yang mempunyai baka tertentu seperti ini bukan satu tugas mudah memandangkan mereka perlu melalui beberapa peringkat membabitkan perjalanan jauh.

Yang terbaru, nasib tidak menyebelahi seekor kucing berbaka ‘British Short Hair’ apabila tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam negara oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di Kompleks Kargo KLIA Sepang susulan permit import dikemukakan mengelirukan.

Akibat itu, MAQIS telah mengambil tindakan dengan menahan kucing berkenaan untuk siasatan lanjut sehingga mengundang pelbagai reaksi netizen di media sosial yang rata-ratanya berasa kasihan terhadap nasib kucing itu.

 

Apa Yang Uniknya ‘British Short Hair’?

Sumber: PublicInsta

Menariknya mengenai baka kucing jenis ini, difahamkan baka seperti ini datang dari Eropah dan diimport masuk ke Britain ketika penjajahan Roman dan merupakan antara baka kucing yang tertua di dunia!

Uniknya, kucing ini mempunyai keunikan tersendiri dari segi bulu yang lebat serta memiliki muka yang lebar.

Dari segi warna, kucing berbaka ini lazim dengan warna kelabu dengan ekor yang sederhana pendek di samping memiliki mata yang berwarna seperti tembaga (oren).

Dalam pada comel, harga kucing seperti ini boleh tahan mahal sekitar RM2,000 hingga RM6,500. Walau harganya mahal, ramai di antara kita sanggup menghabiskan wang ribuan ringgit hanya untuk memiliki kucing ini!

 

Nak Bawa Masuk Kucing Import Ada Prosedurnya

Gambar sekadar hiasan

Bukan calang-calang haiwan boleh dibawa masuk ke dalam negara. Hendak bawa masuk kucing juga ada prosedurnya yang mana setiap kucing itu perlu melalui beberapa peringkat setibanya di Malaysia.

Setibanya di sini, penjaga kucing itu perlu membayar cukai kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia sebelum dihantar ke MAQIS selama 7 hari untuk memastikan kucing berkenaan bebas daripada wabak penyakit.

Malah, setiap kucing import itu juga perlu memiliki sijil lahir yang merekodkan secara terperinci mengenai haiwan itu seperti keturunannya dan nama pemilik asal yang telah diiktiraf dari ‘Cat Fanciers Association’ (CFA).

Selain itu, haiwan tersebut juga turut memiliki permit dan passport yang merekod kesihatannya pada masa sama perlu dilengkapi dengan cip pada badan sebagai pengenalan diri bagi memudahkan ia dikenal pasti sekiranya berlaku kehilangan.

 

Boleh Dikenakan Hukuman Jika Tiada Permit

Sumber: Berlin Airport

Bagi mana-mana individu yang tidak memiliki permit atau menggunakan permit untuk membawa masuk haiwan import, mereka boleh disiasat mengikut Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

Jika sabit kesalahan, seseorang itu boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Jadi ingat, hendak bawa masuk kucing import ada syarat dan peraturan yang perlu ada ikuti bagi mengelak kejadian sebegini berlaku.

Tidak pasal-pasal, kucing yang menjadi mangsa keadaan.

KATA ORANG

KATA ANDA

Apa pandangan anda tentang penahanan kucing ini?
2 votes · 2 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN