Setiap orang dilahirkan dengan rupa paras, bentuk badan, warna kulit, saiz dah fizikal yang berlainan. Namun disebalik kepelbagaian dan perbezaan ini terdapat sesetengah orang menggunakan sebagai bahan jenaka untuk kepuasan diri masing-masing.

Malah, bagi sesetengah orang pula, mereka mudah membuat penegasan dengan menyalahgunakan istilah, ungkapan atau pernyataan yang sengaja atau secara langsung berunsur penghinaan.

Perkara ini dipanggil ‘Body-Shaming’. Di Malaysia masih ramai lagi yang tidak peka dan masih bebas untuk body shaming orang lain sama ada dalam keadaan sengaja atau tidak sengaja.

Yang terbaru, penyanyi Mark Adam dalam satu program televisyen didakwa telah mengeluarkan ayat yang dianggap body shaming terhadap seorang pengacara rancangan tersebut, Sherry Alhadad.

Mark yang menjadi juri di dalam program tersebut dengan nada bergurau bercakap mengenai saiz badan pengacara tersebut. Ayatnya berbunyi “This opportunity is very big, even the host is big”.

 

Aliff Satar Penyelamat

Tindakan Mark itu telah memakan dirinya sendiri. Rata-rata netizen mengecam ayat yang dikeluarkan oleh Mark walaupun mungkin beliau tiada niat dan hanya ingin bergurau.

Dapat dilihat air muka Sherry berubah ketika Mark mengeluarkan kata-kata tersebut.

Walaubagaimanapun, keadaan janggal itu tidak lama apabila pasangan pengacara Aliff Satar mengambil tindakan pantas mengawal keadaan dengan mempertahankan rakan sepentas beliau itu.

Ramai memuji tindakan bijak Aliff tersebut termasuk rakan artis Sharifah Amani yang menganggap Alif ‘permata’ yang jarang dijumpai.

 

Mark Adam Mohon Maaf

Ekoran kecaman yang diterima dan kesalahan keterlanjuran yang dilakukan, Mark Adam tampil memohon maaf secara terbuka di laman sosial Instagramnya.

Menurutnya, beliau tidak berniat menyakiti hati sesiapa dan mungkin pemilihan perkataannya tidak sesuai pada ketika itu.

Katanya, beliau menyesal dengan tindakan tersebut dan diharap orang ramai dapat memaafkannya.

Dalam pada masa sama, Sherry turut memaklumkan bahawa Mark telah menghubunginya meminta maaf secara peribadi dan beliau juga telah memaafkannya.

Sherry berkata, setiap orang melakukan kesilapan dan meminta untuk semua turut memaafkan Mark.

 

Budaya Body Shaming

Body shaming merupakan satu situasi di mana ciri fizikal seorang individu itu dipertikaikan. Di luar negara mereka turut melakukan kempen ‘Stop body-shaming’ atau ‘ Say No to body-shaming’ yang disertai ramai tokoh termasuk selebriti dan artis popular.

Di Malaysia, body shaming seolah-olah sesuatu yang dianggap normal dan situasi ini berpotensi membentuk budaya yang tidak sihat khususnya dalam kalangan generasi muda.

Kejadian seperti kes Mark Adam dan Sherry Alhadad ini bukan pertama kali berlaku dikalangan artis atau selebriti tetapi pernah terjadi sebelum ini.

Sebelum ini,  pelakon terkenal Fazura menyuarakan kekecewaan beliau terhadap  sikap pelakon Faezah Elai yang dikatakan mempersendakan fizikal seorang wanita. Wanita tersebut  merupakan wakil kepada Fazura pada satu majlis anugerah.

 

Kesan Mangsa Body Shaming

Sesiapa yang menganggap body shaming sebagai gurauan amatlah memalukan kerana perkara itu tidak lawak. Malah ia perkara yang tidak boleh dipandang ringan oleh masyarakat Malaysia ini.

 Mereka yang menjadi mangsa body shaming ini akan memberi kesan negatif dimana mangsa akan berasa amat malu, tekanan dan menjadi murung atas penghinaan yang dilemparkan terhadap mereka.

Untuk pengetahuan, pakar psikologi ada menyatakan mereka yang sering memalukan orang lain atau mengkritik fizikal orang lain sebenarnya mereka mempunyai masalah keyakinan diri, mereka berasa dengan mengkritik fizikal orang lain itu dapat melindungi kelemahan diri mereka.

Budaya body shamming ini tidak sepatutnya wujud dalam budaya kita. Sebelum mengeluarkan kata-kata atau menulis, fikirlah terlebih dahulu. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

 

  

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah budaya body shaming di Malaysia dianggap biasa?
1 vote · 1 answer
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN