Disebabkan lambakan rumah yang tidak terjual masih lagi di tahap yang tinggi, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin telah melonggarkan syarat pemilikan rumah.

Kini bagi peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang disenarai hitam dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) sudah boleh tersenyum gembira.

Ini kerana, mereka dikecualikan daripada rekod buruk tersebut dengan dibenarkan untuk memiliki rumah pertama. Memetik laporan Utusan Malaysia, perkara ini telah dipersetujui oleh Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan selepas perbincangan dilakukan.

Sumber: Bernama

Pengumuman tersebut dilakukan oleh Zuraida sewaktu Majlis Sidang Akhbar Hi Home di Kelab Tasik Diraja, Taman Tasik Perdana. Tambah beliau, pengumuman lebih terperinci dan mekanisme pembelian akan diumumkan pada pertengahan Oktober nanti semasa Pelancaran Skim Perumahan Belia.

Blacklist Boleh Beli Rumah Tetapi Tidak Boleh Beli Kereta

Menariknya, kelonggaran ini hanya terpakai untuk mereka yang ingin membeli rumah sahaja, tetapi tidak pada yang membeli kereta. Ini bermakna, mereka yang ingin membeli kereta perlu membersihkan nama dalam senarai hitam.

Sungguhpun kerajaan mempunyai niat yang murni untuk memudahkan golongan muda memiliki rumah, namun begitu tindakan ini dikecam oleh warga maya. Timbul persoalan dalam kalangan warga maya, bagaimana mereka yang sudah disenarai hitam PTPTN boleh membeli rumah sedangkan mereka tidak mempunyai sikap yang baik untuk menjelaskan hutang. Persoalannya, adakah mereka tidak akan culas membayar seperti mana PTPTN sehingga disenarai hitam?

Sumber: Buletin Online

Meningkatkan Lagi Risiko

Dalam masa yang sama, ada yang beranggapan tindakan kerajaan ini berisiko untuk meningkatkan lagi golongan anak muda ke arah muflis memandangkan kerajaan memudahkan lagi golongan muda menambah hutang. Ini kerana yang untung disebalik kelonggaran syarat kerajaan ini adalah penjual dan syarikat-syarikat pemaju perumahan.

Isu utama yang menjadi pertikaian masyarakat bukan soal kelonggaran syarat, tetapi soal harga rumah yang mahal. Bayangkan sahaja rumah kos rendah di sekitar Kuala Lumpur yang berharga belasan ribu pada 20 tahun yang lalu kini sudah bernilai RM100,000 hingga RM150,000.

Harga Rumah Masih Tidak Sepadan Gaji

Adakah kenaikan gaji rakyat Malaysia sepadan dengan kenaikan harga rumah? Yang pasti kelonggaran syarat oleh kementerian, memberi peluang kepada pemaju dan spekulator perumahan untuk memainkan harga mengikut citarasa mereka dengan alasan permintaan melebihi penawaran.

Antara cara lain ialah dengan menukar nama projek perumahan dengan nama-nama bandar besar seperti Dengkil kepada Cybersouth, Balakong kepada Cheras Selatan dan sebagainya bagi ‘menghalalkan’ tindakan mereka menjual rumah pada harga makasimum.

Bagi pembeli yang terdesak memerlukan rumah, sudah tentu mereka akan dianiaya dengan terpaksa membeli pada harga yang lebih tinggi dari para spekulator. Meskipun tindakan spekulator tidak salah di sisi undang-undang, tetapi mereka telah mengeksploitasi ruang dan peluang untuk menekan rakyat.

Sumber: Hartabumi

Longgar Syarat Bukan Solusi Terbaik

Justeru kelonggaran syarat oleh kerajaan bukanlah solusi terbaik dalam isu perumahan, tetapi merisikokan lebih banyak masalah pada masa akan datang. Jika dahulu maksimum pinjaman perumahan tidak sampai 30 tahun dilanjutkan kepada 30 tahun, dan kini dilanjutkan pula kepada 35 tahun atas alasan untuk memastikan bayaran bulanan tidak membebankan.

Hakikatnya tindakan ini akan memberi ruang kepada pemaju untuk membebankan lagi pembeli dengan menaikkan  harga rumah pada masa akan datang. Tidak mustahil sekiranya suatu hari nanti, pembeli akan membuat pinjaman untuk tempoh 40 hingga 50 tahun disebabkan harga rumah terlalu mahal.

Yang pasti, tindakan kerajaan ini lebih menguntungkan pemaju tetapi tidak kepada rakyat secara keseluruhannya.

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah membenarkan blacklist PTPTN membeli rumah solusi terbaik?
3 votes · 3 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN