Rakyat Malaysia masih ramai yang tidak memiliki rumah sendiri ekoran harga rumah yang melambung tinggi sehingga mencecah setengah juta. Ekoran dari harga yang mencanak itu juga, banyak rumah yang dibina tidak dapat dijual.

Tahun lalu, Bank Negara Malaysia melaporkan jumlah rumah yang tidak terjual kini berada di dalam paras tertinggi sepanjang 10 tahun. Perkara ini dipercayai berpunca daripada  harga rumah yang tinggi berbanding purata gaji pendapatan Rakyat Malaysia.

Dilaporkan, setakat tiga bulan pertama 2017, cuma 24% rumah yang ditawarkan para pemaju bernilai RM250,000 dan kebawah dimana cuma 35% Rakyat Malaysia yang mampu untuk mendapatkannya.

Majoriti hartanah yang gagal terjual berdasarkan BNM merupakan rumah yang diluar kategori mampu milik iaitu RM282,000 dan keatas berdasarkan purata gaji Rakyat Malaysia.

Sumber: Bernama

Untuk mengatasi masalah tersebut, baru-baru ini Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mencadangkan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) untuk menarik pembeli dari China dan Hong Kong bagi menyelesaikan isu lambakan rumah tak terjual tersebut.

Menurutnya, harga hartanah di Malaysia murah berbanding di negara China dan Hong Kong yang mana ia boleh menjadi pemangkin hartanah tidak terjual bernilai RM100 bilion diisi dengan cepat.

 

Cadangan Makan Diri

Walaubagaimanapun, cadangan tersebut mendapat reaksi ramai yang rata-ratanya tidak bersetuju. Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) berkata, cadangan tersebut  mungkin mempunyai akibat yang tidak diingini.

Setiausaha Agung Kehormat HBA Chang Kim Loong berkata pemaju yang gagal menjual hartanah mewah mereka menanggung akibat tidak membina apa yang diperlukan oleh pasaran di Malaysia.

Beliau dipetik berkata, membantu pemaju memasarkannya kepada pembeli China boleh menggalakkan mereka untuk meneruskan kegiatan mereka.

Malah, ia juga akan menggalakkan pemaju untuk terus membina lebih banyak hartanah mewah pada masa akan datang dan melupakan langsung untuk membina kediaman yang berpatutan untuk rakyat Malaysia yang lebih memerlukan.

Tambahnya, kerajaan tidak boleh dilihat dengan cara apa sekalipun menyokong viabiliti hartanah mewah yang tidak terjual ini kepada pembeli asing

 

Gesa Zuraida Letak Jawatan

Dalam pada masa sama, Naib Ketua Wanita PKR Faizah Ariffin berkata, cadangan Zuraida untuk menarik pembeli dari luar negara membeli rumah mewah yang tidak terjual merupakan cadangan yang dilihat kotor dan khianat kepada rakyat Malaysia.

Katanya, dahulu mereka (Pakatan Harapan) mempertahankan hak rakyat Malaysia tetapi sebaliknya pada hari ini menteri pula hendak jual harta rakyat Malaysia kepada China dan Hong Kong.

Jesteru, beliau menggesa Zuraida Kamaruddin meletakkan jawatannya ekoran cadangan yang diberikan tersebut.

Dalam pada masa sama, Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (Reach), Iskandar Abdul Samad mengingatkan Zuraida Kamaruddin supaya memainkan peranannya sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk rakyat Malaysia dan bukannya untuk warga Hong Kong dan China.

Lebih baik katanya, menambah baik program-program perumahan rakyat sedia ada.

Jelasnya lagi, walaupun rumah-rumah yang terlibat merupakan rumah-rumah bernilai tinggi namun kebanjiran rakyat Hong Kong dan negara China ke negara ini akan merubah komposisi masyarakat di bandar-bandar besar.

 

Zuraida Beri Penjelasan

Disebabkan banyak pihak yang tidak berpuas hati dengan cadangan yang diberikan, Zuraida tampil sekali lagi untuk menjelaskan bahawa kerajaan mencadangkan kempen ekspo perumahan di luar negara melalui program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dan bukanlah kempen pemilikan rumah (HOC).

Namun, katanya perkara itu masih belum diputuskan dan akan dirujuk ke kabinet serta dibincangkan dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi.

Dipetik Malaysiakini, kata Zuraida program MM2H terbuka kepada semua warganegara asing, manakala China dan Hong Kong dipetik sebagai contoh rakyat yang boleh disasarkan memandangkan harga purata hartanah di negara tersebut adalah tinggi.

Menurut beliau MM2H diperkenalkan pada 2002 dan pelaksanaannya dibuat dengan syarat-syarat ketat selain dikawal selia oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pelancongan.

Menurut beliau cadangan berkenaan juga dijangka dapat merancakkan aktiviti ekonomi dalam negara, menarik aliran wang asing dan pelancong.

Melalui Program MM2H, kata anggota parlimen Ampang itu, ia dapat menambah nilai modal insan melalui perkongsian kemahiran, pengalaman ekspatriat yang masuk secara sah dalam negara.

Secara tidak langsung juga ini adalah usaha kementerian menyelesaikan beban ditinggalkan pentadbiran BN.

KATA ORANG

KATA ANDA

Apa komen anda mengenai isu ini?
1 vote · 1 answer
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN