Sikap suka ‘claim’ ini orang kita sudah lama mengamalkannya, baik dari segi keuntungan, keberkesanan sesuatu program mahupun kejayaan yang diperolehi.

Sumber: Twitter AFC

Sebutlah mana-mana jawatan sekalipun sama ada orang politik, pemimpin persatuan mahupun mana-mana jawatan yang disandang.

Boleh dikatakan sikap ‘claim’ dan meng ‘claim’ sudah sebati dalam diri seseorang untuk menunjukkan merekalah punca kejayaan meskipun kudrat dan kepakaran pada hakikatnya dilakukan oleh orang terdahulu.

 

Kejayaan Skuad B-15 Bukti Produk AMD Relevan

Begitulah kisahnya dalam dunia bola sepak kita. Kejayaan skuad pelapis bola sepak negara bawah 15 tahun yang merangkul Piala AFF pada Jumaat lalu dengan mudahnya di’claim’ oleh mereka yang baru memegang kuasa dalam badan induk pasukan bola sepak kebangsaan.

Sedangkan watak utama yang membanting tulang membina akademi bola sepak negara kini diambang kekecewaan selepas usahanya dipertikaikan oleh pihak Kementerian Belia dan Sukan.

Pengarah Teknikal Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim dikhabarkan akan pulang ke Munich sebaik sahaja kontrak khidmatnya berakhir pada 31 Oktober tahun ini.

 

‘Claim’ Jangan Tak ‘Claim’

Hal ini telah menyebabkan peminat bola sepak negara berasa kecewa dengan apa yang berlaku. Masakan tidak, keringat yang disumbang oleh orang lain, hasil kejayaan pula yang diraih oleh orang lain. Dalam kalangan warga maya, ramai yang meminta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk tidak ‘claim’ kejayaan yang disumbangkan oleh orang lain.

Memetik laporan dari mStar online, menurut Teong Kim, wakil FAM, Datuk Seri Subahan Kamal pernah mengatakan bahawa program pembangunan bola sepak negara yang dikendalikannya dianggap gagal dan hanya menghabiskan banyak wang.

Sumber: BFM News

Malah pada September tahun lalu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi menterinya, YBM Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mahu menilai semula kontrak Teong Kim selepas skuad pelapis bawah 16 tahun negara gagal layak ke Piala Dunia bawah 18 tahun. Ia berikutan gaji Teong Kim dibayar terlalu tinggi iaitu sebanyak RM175,000 sebulan.

Tidak pasti di mana silapnya. Adakah FAM dan KBS menganggapkan keberkesanan program bola sepak negara akan berlaku serta-merta? Sedangkan setiap program pembangunan memerlukan jangka masa yang panjang iaitu sekitar 10 tahun untuk melihat keberkesanan hasilnya.

Sumber: Twitter AFC

Yang pasti skuad pelapis negara bawah 15 tahun telah membuktikan mereka merupakan produk yang berjaya dibentuk hanya dalam masa 5 tahun sahaja. Dalam masa yang sama, prestasi skuad pelapis negara bawah 18 tahun ketika ini menunjukkan aksi yang cemerlang dalam kejohanan Piala AFF bawah 18 tahun selepas menduduki tangga kedua dalam kumpulan.

 

Malaysia Akan Kehilangan Teong Kim Selamanya

Kekecewaan Teong Kim boleh diibaratkan seperti “berpatah arang berkerat rotan”. Ini kerana beliau sudah nekad untuk pulang semula ke Munich selepas khidmatnya selama 5 tahun dalam program pembangunan pada tahun lalu dipertikaikan.

Bagi beliau sepanjang lima tahun bersama NFDP, ia bukan berkaitan dengan kepuasan semata-mata, tetapi lebih kepada membantu perubahan dan kejayaan bola sepak negara.

Tetapi memandangkan ada pihak yang tidak memahami apa itu pembangunan, maka apa lagi yang perlu beliau lakukan lagi. Malah beliau tidak lagi berhasrat untuk menguruskan pasukan atau kelab di negara ini sekiranya ditawarkan.

Sumber: Twitter Ajmal

Maka kehilangan Teong Kim merupakan satu kerugian buat negara. Usaha untuk mendapatkan khidmat pakar bola sepak bukanlah sesuatu yang mudah. Jika diukur dari segi kewangan, membimbing skuad pelapis Munich lebih menguntungkan bagi beliau, namun beliau memilih untuk bersama bola sepak negara.

Persoalannya, adakah ini harga yang perlu dibayar disebalik kejayaan skuad bola sepak kebangsaan? Kita lebih suka mengkritik berbanding mencipta solusi. Jelaslah bahawa mentaliti masyarakat kita yang mahukan perubahan sekelip mata perlu diubah.

KATA ORANG

KATA ANDA

Apa pandangan anda tentang isu ini?
2 votes · 2 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN