Awal tahun ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat bahawa saiz penjawat awam di negara ini terlalu besar dan perlu dikurangkan.

Walaubagaimanapun,  timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Md Farid Md Rafik baru-baru ini berkata, saiz perkhidmatan awam Malaysia masih ideal dan tidak terlalu besar berbanding negara lain.

Jelasnya, jumlah penjawat awam sebanyak 1.6 juta orang turut melibatkan sektor pendidikan, pasukan keselamatan dan tenaga kerja kesihatan yang lazimnya tidak diambil kira sebagai kakitangan awam di negara lain.

Sumber: Bernama

Tambahnya, sekiranya ketiga-tiga sektor ini tidak diambil kira, ia hanya melibatkan sejumlah 616,718 kakitangan (setakat Mei 2018).

 

Tingkatkan Perbelanjaan Kerajaan

Saiz penjawat awam ini menjadi kebimbangan kepada orang awam kerana kerajaan terpaksa menanggung perbelanjaan yang banyak. Terutama dengan keadaan ekonomi negara ini yang masih belum stabil.

Seorang ahli perniagaan juga turut menyuarakan pandangan sama yang dibimbangi akan mengakibatkan perbelanjaan pengurusan kerajaan meningkat pada setiap tahun dengan membuat perbandingan dengan nisbah penjawat awam di negara seperti Singapura, Indonesia, Korea, China, Jepun, Rusia dan Britain.

Namun, Md Farid berkata, ekoran perkara itu, kerajaan juga mengambil pendekatan dasar penswastaan dengan kerajaan mengurangkan beban kewangan, meninggikan kecekapan dan penghasilan kerja, menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan pembahagian sumber lebih cekap.

Katanya, langkah diambil dijangka dapat menjimatkan perbelanjaan emolumen sehingga RM1.9 billion serta penjimatan sebanyak RM490 juta bagi bayaran pencen kakitangan awam.

Malah jelasnya, kerajaan juga mengecilkan saiz perkhidmatan awam secara berperingkat dengan hanya 1.6 juta perjawatan diisi daripada keseluruhan 1.7 juta perjawatan yang wujud.

 

Penjawat Awam Bukan Entiti Sumber Pendapatan

Tetapi adakah adil menganggap penjawat awam membebankan negara? Menyalahkan mereka kerana kerajaan terpaksa menanggung belanja yang tinggi untuk membayar gaji dan upah juga dianggap kurang wajar. Seolah-olah sumbangan penjawat awam tidak dihargai.

Memetik dari artikel yang ditulis Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, penjawat awam tidak boleh dilihat sebagai entiti sumber pendapatan semata-mata walaupun beberapa kementerian menjadi sumber pendapatan utama negara seperti Kastam.

Perkhidmatan awam seperti keselamatan iaitu tentera, polis dan anggota keselamatan lainnya menyumbang kepada keamanan dan keselesaan hidup yang mungkin tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Sumber: Awani

Begitu juga perkhidmatan pendidikan. Guru dan pensyarah menjadi nadi serta pelaburan masa depan anak-anak dalam pelajaran. Tidak mungkin untuk dinilai berapa banyak sumber wang yang diperoleh untuk negara.

Begitu juga perkhidmatan kesihatan khususnya doktor dan ortopedik yang telah menyelamatkan nyawa dan penjagaan kesihatan rakyat.

 

Kecilkan Saiz akan Hilang Pekerjaan?

Sekiranya kerajaan mengecilkan saiz perkhidmatan awam, berkemungkinan besar akan berlaku pula masalah tiada kerja, dan ini akan menimbulkan masalah sosial.

Tetapi Tun Mahathir sebelum ini pernah menyatakan perkara tersebut boleh diatasi dengan membangunkan bidang pembuatan.

Dengan cara itu lebih ramai yang boleh berpindah daripada bekerja dengan kerajaan kepada bekerja dengan syarikat swasta.

Tindakan ini juga sekaligus akan meningkatkan keupayaan mereka supaya hasil kerja mereka lebih tinggi daripada menjadi pegawai biasa di dalam kerajaan.

Untuk pengetahuan, lebihan kakitangan perkhidmatan awam akan menyebabkan ketidak cekapan dalam ekonomi dan kegagalan dalam disiplin kewangan kementerian serta jabatan kerajaan.

Malaysia kini mempunyai 1.6 juta penjawat awam dan kerajaan perlu memperuntukkan RM76 bilion setahun untuk penggajian dan elaun. Sebanyak RM21.6 bilion lagi dibelanjakan untuk bayaran pencen.

 

Betul ke Penjawat Awam Kurang?

Bagi Presiden CUEPACS Datuk Azih Muda, dalam Wacana Sinar anjuran bersama Majlis Profesor Negara (MPN) awal tahun ini, beliau berkata saiz penjawat awam di negara ini masih kurang dan perlu ditambah.

Menurut beliau, jika kita bandingkan dengan rasio atau nisbah penduduk Malaysia sekitar 32 juta orang masa kini, nisbah penjawat awam dalam sekitar 1 nisbah 21 orang rakyat. Jika dibandingkan sebagai contoh 1 nisbah 12 bagi New Zealand ia masih jauh daripada diperlukan. Namun masa kini dengan kemasukan pendatang dan pekerja serta pelancongan nisbahnya meningkat kepada 1 nisbah 40.

Namun jika dibandingkan nisbah doktor dengan pesakit, nisbah guru dengan anak murid dan nisbah polis dengan rakyat, menunjukkan kita masih perlu menambah atau mengekalkan jumlah penjawat awam sedia ada.

Menurut CUEPACS, sesetengah jawatan sudah tidak lagi diisi atau diganti apabila penjawat awam berpencen. Malahan banyak sektor memerlukan penambahan penjawat awam tapi tidak dipenuhi dengan pelbagai alasan yang diberi.

CUEPACS turut mendakwa bahawa ramai penjawat awam yang menanggung kerja penjawat lain. Keadaan ini membuatkan mereka tertekan, hilang tumpuan, kemurungan yang serius.

 

 

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah saiz penjawat awam perlu dikecilkan?
2 votes · 2 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN