Â
Memetik laporan Berita Harian, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) baru-baru ini telah melakukan kajian rantaian bekalan 10 barangan terpilih.
Berdasarkan kajian tersebut, kementerian mendapati bahawa wujud kegiatan ‘kartel’ yang bermaharajalela dengan mengaut untung pada kadar yang sangat tinggi.
Kartel Kuasai Barangan Keperluan Import
Perkara tersebut turut disahkan oleh menteri berkenaan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Beliau berkata kegiatan tersebut dikesan di peringkat pengimport dan pemborong.
Perkara ini menjadi kebimbangan kerana terdapat barangan popular yang terpaksa diimport 100 peratus memandangkan tiada alternatif lain yang dihasilkan dalam negara.
Yang pasti, harga barangan ketika sampai ke tempat mereka (kartel) jauh lebih murah menjangkau 133 peratus berbanding harga yang dikenakan kepada pengguna.
Ia bukan perkara baru, berdasarkan laporan senarai harga barangan di premis ‘kartel’ sejak enam tahun kebelakangan ini, jelas caj yang dikenakan kepada pengguna berada pada harga yang tidak munasabah.
Kartel Kuasai Kawasan
Apa yang menjadi kerisauan, kartel telah menguasai wilayah tertentu , malah sistem tersebut sudah wujud sejak sekian lama. Sistem inilah yang membebankan pengguna, lantas menyebabkan kuasa beli pengguna menjadi lemah.
Bukan itu sahaja, Saifuddin turut menambah berlaku kenaikan harga barangan yang menjangkau 67 peratus terhadap satu daripada 10 item popular yang dikesan di peringkat pemborong ke pengedar.
Bagi KPDNHEP, tindakan yang sewajarnya bakal dilakukan tidak lama lagi ke atas premis-premis kartel setelah mendapatkan maklumat yang lengkap. Tindakan tidak akan dilakukan secara terburu-buru kerana besar kemungkinan, premis boleh mengubahsuai dokumen penting yang diperlukan.
Isu Wujud Bertahun-Tahun Lamanya
Isu kartel bukan perkara baru memandangkan kerap diulas oleh pemerintah lama sejak sekian lama. Misalnya, pada 3 April tahun lalu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri berkata harga barangan meningkat naik ekoran kartel memanipulasi harga barangan bagi meraih keuntungan.
Bukan sahaja kartel, peranan orang tengah yang mengambil kesempatan dengan meningkatkan harga barangan telah menyebabkan pengguna terbeban.
Kartel Merebak Ke Industri Lain
Berdasarkan laporan Berita Harian pada 8 Februari 2015, kewujudan kartel bukan sahaja dalam industri makanan, tetapi turut melibatkan industri lain, misalnya elektrik dan elektronik. Menurut Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), unsur kartel dan pencatutan terdapat dalam proses perundingan.
Peruncit (termasuk pasaraya besar) tidak dibenarkan menjual produk di bawah harga tetap. Sekiranya mereka mengurangkan harga jualan di bawah harga tetap, peruncit tidak akan dibekalkan model produk tersebut sebagai hukuman.
Walaupun laporan telah dilakukan kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), termasuk bukti salinan laporan, namun MyCC gagal mengambil tindakan. Untuk rekod, MyCC merupakan sebuah agensi di bawah KPDNHEP.
Apa pun kita mengharapkan agar, KPDNHEP di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika ini perlu mencari solusi terbaik bagi mengekang masalah kartel dari terus berleluasa.
Sekiranya tidak mampu, tiada beza pentadbiran kerajaan baharu dengan yang lama. Rakyat akan terus terbeban dengan harga barangan yang semakin mahal saban tahun.
KATA ORANG
Dah lama cakap tapi degil. Sah-sah dulu GST dikecualikan pada barang basah. Kartel yang control harga. KPDNHEP tak control kartel, weak. https://t.co/fYU5mr0bO5
— Yang Brohormat (@The_UglyOrgan) March 19, 2019
Aku je ke prasan atau harga tisu kotak asyik naik?
— Kah!! Hau!! (@Kah11Hau11) July 24, 2018
Aku selalu beli brand yg sama. Dari RM3.80 ke RM4.00 skrg RM4.15 dlm tempoh 6 bulan lepas.
Mohon Menteri KPDNHEP @saifnasution & @mykpdnkk siasat jika ada Komplot Kartel naikkan harga tisu.