Sumber: Malaysiakini

Selepas berdepan dengan pelbagai cabaran, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akhirnya membentangkan Kertas Putih Ke Arah Kelestarian Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dengan tujuan menstrukturkan semula Felda yang dihinggapi pelbagai masalah kewangan.

Masalah Felda bukan perkara baru, bermula dengan tadbir urus yang bermasalah sejak ditadbir oleh Tan Sri Isa Samad, Felda terus menghadapi kerugian demi kerugian. Kejatuhan harga sawit di Malaysia sejak Julai tahun lalu terus menekan warga Felda yang sangat bergantung kepada hasil tersebut.

Harga Pasaran Turun Lebih Separuh

Mana tidaknya, harga sawit yang kebiasaannya mencecah RM600 bagi satu tan kini sukar untuk mencapai RM300 satu tan. Belum ditambah lagi dengan kenaikan kos sara hidup yang membelenggu rakyat Malaysia hari ini.

Pendapatan dahulu yang mampu diraih sekitar RM3,000 hingga RM4,000 sebulan kini hanya mampu memperoleh RM1,500 sahaja. Penurunan yang agak drastik. Bayangkan sahaja, bersarapan pagi di warung sahaja sudah dianggap mewah pada masa sekarang.

Sungguhpun pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan bermula dengan campuran 10 peratus minyak sawit ke dalam biodiesel, mewujudkan kempen ‘Sayangi Minyaksawitku’, dan sebagainya, ternyata impak yang diperoleh tidak begitu besar.

Sumber: Selangorkini

Peneroka Felda Sengsara

Yang pasti, peneroka Felda hari ini terpaksa bergantung kepada pinjaman Bayaran Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil sebanyak RM1,500 sebulan daripada Felda. Disebabkan itu kerajaan menyuntik dana sebanyak RM6.23 bilion yang akan disalurkan dalam bentuk geran, pinjaman dan jaminan kerajaan secara berperingkat.

Memetik laporan Malaysiakini, Pengerusi Biro Pertanian dan Asas Tani Pertubuhan Kami Anak Felda (KAF) Kebangsaan, Muhamad Asri Haris, berkata peneroka akan terjejas teruk sewaktu proses penanaman semula. Ini kerana, pokok yang terlalu tua bakal ditebang, manakala penanaman semula mengambil masa empat tahun untuk kembali memperolehi hasil. Persoalannya ialah sampai bila Felda hanya bergantung kepada minyak sawit sahaja?

Idea Tanaman Alternatif

Justeru, antara alternatif menarik yang terkandung dalam Kertas Putih Felda ialah mewujudkan tanaman dan ternakan alternatif kepada warga Felda. Ini kerana tanaman gentian dan ternakan mampu memberi pulangan dalam tempoh singkat serta berpotensi menjana aliran tunai dengan cepat dan konsisten.

Idea ini sangat sesuai memandangkan Felda merupakan pengusaha tanah pertanian terbesar di Malaysia. Tanaman sayur-sayuran, buah-buahan serta ternakan dijangka mampu mengurangkan kebergantungan Felda kepada hasil kelapa sawit sahaja. Secara tidak langsung, negara dapat mengurangkan import makanan dari luar dan meningkatkan pengeluaran makanan.

Beberapa Felda Mulakan Inisiatif Sendiri

Beberapa Felda sudah mula mengorak langkah dalam mencari alternatif terbaru menjana pendapatan. Di Felda Lenga, mereka sudah mula mengusahakan tanaman nanas seluas 400 ekar, Felda Soeharto, Felda Behrang, Felda Sungai Tengi, Felda Laka Selatan di Perak dan Felda Aping Barat di Johor sedang mengusahakan ternakan arnab.

Sumber: Harian Metro

Bagaimana dengan peneroka-peneroka Felda di kawasan lain. Bersediakah mempelbagaikan tanaman atau akan terus bergantung kepada hasil kelapa sawit semata-mata? Dengan cabaran yang melanda ketika ini, hendak atau pun tidak, mereka perlu berubah dengan mencari alternatif lain bagi menjana pendapatan.

Dua Kementerian Bergabung

Yang pasti, projek tanaman gantian dan ternakan ini akan menjadi projek yang besar dan penting memandangkan ia melibatkan gabungan dua kementerian iaitu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Hal Ehwal Ekonomi. Justeru, besar harapan untuk melihat peneroka Felda kembali bangkit menjadi peneroka berjaya.

Sumber: Utusan Malaysia

Di pihak kerajaan, rundingan dan perbincangan sedang dilakukan di peringkat antarabangsa bagi meneruskan kelangsungan industri minyak sawit. Selain itu, dengan kerjasama negara Indonesia adalah diharapkan agar kerajaan mampu menentang boikot yang dilancarkan oleh Kesatuan Eropah terhadap minyak sawit.

 

KATA ORANG

KATA ANDA

Mungkinkah solusi yang dilakukan kerajaan untuk Felda ini tepat?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN