2 September lalu, Kementerian Sumber Manusia dilaporkan sedang menimbang saranan dan cadangan daripada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) supaya meningkatkan had umu  r persaraan kepada 65 tahun selain daripada pemberian kos elaun sara hidup bulanan sebanyak RM500 kepada pekerja swasta.

Sumber: odisi.my

Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran memberitahu perbincangan mengenai perkara tersebut sedang dilakukan bersama Kementerian Kewangan untuk mendapatkan keputusan sebelum dibentangkan pada Belanjawan 2020 pada Oktober ini.

Cadangan tersebut dibuat memandangkan Malaysia kekurangan tenaga kerja sehingga terpaksa mendapatkan khidmat pekerja dari negara asing dan kadar pengangguran tinggi hanya berlaku kepada graduan dan anak muda.

Disebabkan itu, had umur persaraan wajar ditingkatkan kerana pemberian gaji yang rendah serta kos sara hidup yang tinggi menyebabkan pekerja tidak memiliki simpanan yang mencukupi untuk menampung usia persaraan.

Menteri itu turut berkata, golongan muda yang tidak mempunyai pekerjaan dicadang menyertai Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang menekankan pendekatan kemahiran bagi melahirkan tenaga kerja mahir tempatan sekaligus memudahkan mereka mendapatkan pekerjaan dalam bidang berkaitan.

 

Dikecam Hebat Ramai Pihak

Cadangan kerajaan itu nampaknya telah mengundang rasa kurang senang dalam kalangan netizen yang menganggapnya sebagai tidak relevan kerana ia bakal menyekat peluang pekerjaan khususnya kepada lepasan siswazah di negara ini.

Malah, sebahagian netizen juga menganggap kementerian sepatutnya berusaha mencari jalan penyelesaian terhadap masalah pengangguran yang menjadi masalah utama negara ketika ini berbanding hasrat untuk meneliti cadangan meningkatkan had umur persaraan tersebut.

Sumber: Malaysiakini

Bukan itu sahaja, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga membantah cadangan tersebut dan menggesa kerajaan supaya meneliti semula kenaikan had umur persaraan itu.

Jelasnya, anak muda juga perlu diberi peluang seluas-luasnya untuk kenaikan pangkat di mana kerajaan sewajarnya memberi fokus kepada masalah pengangguran di kalangan belia yang mana negara kita mencatatkan kadar tinggi sebanyak 10.7 peratus berbanding negara maju yang lain.

Jika dibandingkan dengan negara Singapura, walaupun mereka telah mengumumkan peningkatan had umur persaraan kepada 65 tahun Ogos lalu, kadar pengangguran belia di negara tersebut hanya mencatatkan sebanyak 5.9 peratus berbanding Malaysia yang mana kadar penggangurannya dua kali ganda lebih tinggi.

 

Cuepacs Setuju Kaji Naikkan Had Umur Bersara 

Sumber: Free Malaysia Today

Meskipun dikritik banyak pihak, Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) dilihat bersetuju dengan cadangan ini. 

Presidennya Azih Muda berkata, cadangan itu adalah wajar, lebih-lebih lagi dalam keadaan beban sara hidup tidak menunjukkan penurunan dan keperluan untuk meneruskan kehidupan berkeluarga yang semakin berat. 

Jelasnya, kerajaan perlu melihat isu kekurangan dan kehilangan pendapatan serta ketiadaan simpanan yang cukup bagi menyokong kelangsungan kehidupan lebih-lebih lagi apabila negara kita tergolong dalam “aging society”. 

 

Adakah Wajar Had Umur Pencen Dinaikkan?

Dalam isu ini, memang tidak dinafikan ada baik dan buruk sekiranya cadangan ini dilaksanakan.

Sumber: Kosmo Online

Secara keseluruhannya, tujuan had umur persaraan dilanjutkan adalah bagi membolehkan kakitangan dalam perkhidmatan berdepan pelbagai kenaikan kos sara hidup, termasuk perubatan, perumahan, barangan keperluan harian, membayar balik hutang terkumpul dan sebagainya.

Bagi kementerian, cadangan ini mungkin dilihat membawa kebaikan kerana bagi mereka keperluan tenaga kerja berpengalaman wajar dikekalkan selagi mereka mampu untuk berkhidmat. 

Tetapi, kementerian juga perlu mengambil kira masalah yang bakal dihadapi sekiranya mereka mahu menaikkan had umur persaraan kerana ia tidak dinafikan lagi akan menyebabkan kadar pengangguran dalam kalangan belia meningkat seperti yang pernah berlaku pada tahun 2013.

Mengambil contoh di sektor swasta misalnya, kira-kira 200,000 pekerja bersara setiap tahun. Langkah berkenaan telah menyebabkan kira-kira satu juta peluang pekerjaan yang sepatutnya dikosongkan oleh mereka yang bersara pada umur 55 tahun telah luput.

Sumber: Kosmo Online

Malah difahamkan, bermula Julai 2013 hingga Jun 2018, ramai di kalangan pemuda tidak dapat pekerjaan sesuai yang mana kadar pengangguran adalah lebih tiga kali ganda. Jika cadangan ini dilaksanakan, perkara sama mungkin akan berulang dan kadar pengangguran di kalangan pemuda akan menjadi lebih tinggi.

Isunya di sini adalah keupayaan dan kesediaan negara itu sendiri untuk berhadapan dengan situasi sebegini. Mungkin, cadangan ini boleh dikemukan kepada mereka yang layak dan mahu sahaja dalam profesion-profesion tertentu sahaja yang masih diperlukan khidmatnya kerana kerajaan tidak boleh paksa mereka untuk terus bekerja sedangkan dalam hati, mereka sudah tidak mahu bekerja. 

Apa-apa pun, sebelum cadangan ini dilaksana, kerajaan perlu mengkaji isu ini dengan lebih mendalam dan jangan terlalu mengikut contoh dari negara maju tanpa memikirkan realiti sebenar yang dihadapi rakyat di negara ini terlebih dahulu terutamanya golongan belia. 

KATA ORANG

KATA ANDA

Apa pandangan anda mengenai isu ini?
2 votes · 2 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN