Setiap kali tibanya musim cuti persekolahan, pusat perubatan seperti klinik mahupun hospital pasti menyediakan khidmat berkhatan secara beramai-ramai kepada kanak-kanak lelaki.

Malah, penganjuran majlis berkhatan beramai-ramai juga menjadi trend kepada ibu bapa pada masa kini untuk mengkhatankan anak mereka.

Sumber: Harian Metro

Namun, lain pula jadinya apabila baru-baru ini seorang kanak-kanak lelaki berumur 11 tahun bernasib malang apabila kemaluannya yang mahu dikhatankan terpotong oleh pegawai perubatan yang menjalankan majlis berkhatan beramai-ramai.

Akibat insiden tersebut, kanak-kanak itu telah dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menjalani pembedahan penyambungan semula alat sulitnya itu.

Sebelum ini juga, insiden yang sama juga pernah dilaporkan berlaku ke atas seorang remaja apabila kemaluannya terpotong ketika berkhatan hingga mengundang desakan pelbagai pihak yang mahu tindakan undang-undang diambil ke atas pegawai perubatan berkenaan.

 

Wajarkah Tindakan Undang-Undang Diambil?

Sumber: Berita Mediacorp

Melihat kepada insiden sama yang berlaku itu, kebanyakan netizen di media sosial dilihat mendesak supaya tindakan undang-undang diberikan kepada pegawai perubatan berkenaan kerana telah menyebabkan bahagian kepala alat sulit kanak-kanak itu putus.

Dalam hal ini, pegawai perubatan yang menjalankan pembedahan itu dikatakan tidak memaklumkan apa yang berlaku, sebaliknya memberitahu bahawa kanak-kanak itu perlu dihantar ke HKL disebabkan mengalami pendarahan teruk.

Setibanya di hospital berkenaan, doktor memberitahu bahawa bahagian kepala alat sulit kanak-kanak itu putus akibat ‘terlebih potong’ dan perlu menjalani pembedahan penyambungan semula.

Di atas insiden yang berlaku itu, tidak dapat dipastikan apa sebenarnya yang berlaku hingga menyebabkan kemaluan kanak-kanak itu namun sekiranya berlaku kecuaian, ibu bapa kepada kedua kanak-kanak itu wajar mengambil tindakan undang-undang terhadap pegawai perubatan tersebut bagi mendapatkan pembelaan yang wajar selain memberi pengajaran kepada individu yang didapati cuai.

 

Lesen Perubatan Boleh Digantung Sekiranya Didapati Cuai

Sumber: mStar

Ketika berkhatan, pelbagai jenis ragam kanak-kanak dapat kita lihat dengan ada yang berwajah pucat menunggu giliran untuk dipanggil masuk ke dalam bilik khas dan tidak kurang juga ada yang merengek-rengek enggan berkhatan sambil dipujuk oleh ibu bapa masing-masing.

Ada pula kanak-kanak yang ketika berkhatan, sempat berlagak lucu di hadapan doktor sehingga mencuit hati siapa yang melihatnya.

Mana-mana pegawai perubatan yang menawarkan perkhidmatan berkhatan pasti mempunyai prosedur serta kaedah rawatan yang mempunyai pelbagai jenis.

Namun, sekiranya berlaku kecuaian ketika melakukan proses perubatan, lesen perubatan doktor dan klinik boleh digantung.

Bagaimanapun, sekiranya berlaku insiden, siasatan terperinci serta menyeluruh perlu dilakukan terlebih dahulu terhadap kes komplikasi berkhatan yang mana tindakan penggantungan akan dijalankan sekiranya terdapat bukti yang mencukupi bahawa berlakunya kecuaian ketika prosedur terbabit.

 

Khatan Beramai-Ramai Berisiko

Bagi kes kanak-kanak ini, bukan hanya beliau seorang sahaja yang berkhatan pada hari tersebut di kawasan rumahnya sebaliknya ada lagi 49 orang kanak-kanak yang lain turut berkhatan pada hari sama.

Majlis berkhatan beramai-ramai ini memang meriah dan mengurangkan rasa takut kanak-kanak tetapi ianya berisiko.

Ibu bapa haruslah mengambil tahu mengenai perjalanan program tersebut sebelum berlangsungnya majlis. yang menjadi kerisauan ialah sejauh mana doktor atau pun pembantu perubatan mengetahui bagaimana hendak melakukan proses berkhatan ini.

Antara kebimbangan dalam situasi tersebut ialah doktor serta kelengkapan dan peralatan yang tidak mencukupi semasa berlangsungnya majlis berkhatan.

Selain itu, tahap kebersihan persekitaran dan keselesaan kanak-kanak juga harus diberikan perhatian bagi mengelak berlakunya jangkitan, walaupun sebenarnya berkhatan tidak perlu dilakukan di dalam bilik bedah mahupun tempat nyah kuman.

Bercakap pula mengenai peralatan yang digunakan, , sepatutnya kesemua peralatan tersebut merupakan peralatan pakai buang, satu set untuk seorang pesakit.

Ini kerana, setiap majlis yang diadakan (luar dari hospital atau klinik), pihak penganjur tiada masa untuk menyah kuman semula segala peralatan yang telah digunakan.

Menyentuh mengenai keupayaan seorang doktor atau pembantu perubatan untuk mengendalikan ramai pesakit pada satu-satu masa, semuanya bergantung kepada tahap kecergasan dan kemampuan seseorang doktor tersebut.

Dalam kes ini, mereka menyediakan 8 orang pegawai perubatan untuk mengkhatankan 50 orang kanak-kanak. Secara purata seorang pegawai perlu mengkhatankan 6 hingga 7 kanak-kanak.

Diingatkan mereka bukan hanya mengkhatan mereka tetapi perlu mengawal keadaan selain berhadapan dengan pelbagai kerenah kanak-kanak ini.

 

Jenis Kaedah Sunat Yang Biasa Digunakan Pegawai Perubatan:

Sumber: Astro Awani

Kaedah khatan konvesional atau ‘dorsal slit’
Setelah dibius, bahagian kulit yang menutupi alat sulit akan digunting dan dibuang sehingga ke belakang kepalanya.

Kaedah ‘laser’
Kaedah ini sama seperti kaedah konvensional, di mana kulit lebihan ditarik kehadapan dan disepit dengan penyepit atau forceps dan kulit tersebut dipotong menggunakan laser. Cara ini juga dikatakan dapat mengurangkan pendarahan pada alat sulit.

Kaedah sepitan atau ‘clamp’
Kaedah ini telah digunakan oleh nenek-moyang kita di Malaysia, cuma peralatan untuk menyepit lebih moden dan boleh dipakai buang. Ia juga mengurangkan kesakitkan, pendarahan, risiko jangkitan dan proses berkhatan itu juga dapat dilakukan dengan cepat dalam masa 5 hingga 10 minit.

KATA ORANG

KATA ANDA

Perlukah Kementerian Kesihatan kaji dan mengehadkan jumlah kanak-kanak yang mahu bersunat secara beramai-ramai pada masa depan?
4 votes · 4 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN