Dalam kehidupan bermasyarakat, kita pasti pernah mendapat jemputan kenduri kahwin berbentuk kad. Tidak kurang juga, dengan teknologi yang semakin canggih hari ini, ada yang menggunakan media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram untuk menjemput tetamu hadir ke majlis mereka. 

Gambar sekadar hiasan

Mungkin, apabila majlis perkahwinan itu dijemput menggunakan platform sebegini, ianya nampak seperti ajak-ajak ayam atau nampak seperti tidak ikhlas bagi segelintir individu sehingga ada yang mendiamkan diri sahaja tanpa memberi sebarang jawapan sama ada mahu pergi atau tidak walau sudah dijemput.

Namun, timbul juga persoalan sekiranya kita tidak hadir ke majlis perkahwinan yang dijemput melalui medium media sosial ini, adakah ianya berdosa?

 

Apa Hukum Hadir Majlis Kahwin?

Dalam Islam, menghadiri majlis kenduri kahwin merupakan satu kewajipan sekiranya dijemput. Bagaimanapun, ada kalangan ulama lain berpendapat bahawa hukum wajib itu bergantung kepada syarat-syarat tertentu antaranya:

Pertama: Yang menjemput atau mengadakan kenduri perkahwinan itu orang Islam.

Kedua: Orang yang dijemput adalah menyeluruh tanpa mengira kedudukan yang mana tuan rumah itu tidak membeza-bezakan tetamu yang kaya dan miskin.

Ketiga: Jemputan ke majlis perkahwinan itu dibuat secara khusus kepada setiap orang dan bukannya secara umum, sama ada dengan cara menemuinya, melalui kad jemputan atau melantik wakil untuk menjemputnya. Sekiranya jemputan dibuat secara umum seperti berkata atau membuat iklan menjemput penduduk sesuatu kawasan itu ke majlis tersebut, maka tidak wajib untuk kita menghadiri jemputan berkenaan.

Keempat: Tidak terdapat di majlis itu orang yang menyakiti orang yang dijemput.

Kelima: Tidak ada di majlis itu sesuatu yang mungkar seperti arak atau majlis tari menari yang haram dan melalaikan.

Keenam: Tidak ada jemputan yang lebih awal daripada itu. 

Ketujuh: Tiada sebarang keuzuran yang menghalangnya untuk hadir.

 

Berdosakah Jika Tidak Hadir Jemputan Melalui Facebook?

Apa sahaja jemputan perkahwinan baik yang menggunakan kad, jemputan mulut oleh ibu bapa, adik-beradik, saudara-mara, jemputan melalui whatsapp atau Facebook sekalipun, hukumnya tetap sama sahaja di mana anda wajib untuk penuhi undangan tersebut.

Lebih-lebih lagi apabila jemputan itu disertakan dengan jemputan yang sama seperti kad kahwin tetapi dalam bentuk gambar sekalipun.

Gambar sekadar hiasan

Memang kadangkala ada yang menganggap apabila jemputan itu dibuat melalui Facebook, ianya nampak seakan-akan tidak ikhlas memandangkan orang tidak ambil serius sangat jemputan sebegini kerana ia bersifat umum. 

Sesuatu jemputan itu perlu bersifat peribadi, barulah perasaan ‘rasa bersalah’ itu akan wujud sekiranya tidak pergi. 

Sekiranya tuan rumah sudah menjemput, seeloknya kita hadir sahaja ke majlisnya sekiranya tidak ada aral sebagai tanda menghormati undangannya. 

Andai kata tidak dapat hadir disebabkan beberapa keuzuran seperti kesesakan lalu lintas, hujan lebat, jalan lecak, sakit, hal kecemasan dan seumpamanya seperti yang dinyatakan di atas, maka ia tidaklah berdosa asalkan anda menyampaikan permohonan maaf kepada tuan rumah. 

Apa-apa pun, terserah pada persepsi masing-masing dalam membuat penilaian dan tanggapan mengenai jemputan ke majlis kahwin melalui Facebook ini kerana selagi tuan rumah menjemput kita, itu tandanya mereka masih ingat terhadap kita. 

Jangan nanti apabila pengantin berkongsi gambar kahwin di media sosial, ada pula yang tanya mengapa dirinya tidak dijemput. Padahal, jemputan kahwin sudah lama dijemput melalui Facebook. 

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah jemputan kahwin melalui media sosial seperti Facebook ini dianggap tidak ikhlas?
1 vote · 1 answer
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN