Acap kali sebenarnya kita mendengar keluhan daripada pemandu e-hailing tentang khidmat yang diminta oleh golongan pelajar. Walaupun sudah memberi perkhidmatan terbaik, namun tetap diberi penarafan yang rendah.

Ada Sebab Pemandu Grab Tidak Suka Ambil Pelajar

Antara alasan pelajar ialah kenderaan yang digunakan oleh pemandu Grab hanyalah kenderaan tempatan maka tidak perlu diberi penarafan yang tinggi. Sedangkan pelajar yang memilih kadar tambang Grab yang murah untuk mendapatkan perkhidmatan.

Selain itu, terdapat pelbagai lagi perkara-perkara yang tidak masuk akal menyebabkan kebanyakan pemandu Grab tidak berminat untuk mengambil penumpang dalam kalangan pelajar sama ada di universiti, kolej atau institusi pengajian tinggi yang lain. Malah, permintaan pelajar kadang-kadang tidak sepadan dengan bayaran perkhidmatan yang dilakukan.

Sumber: Twitter

Guna Grab Untuk Pindah Barang Hostel

Misalnya, tular baru-baru ini seorang pengguna Twitter (dipercayai pelajar) menggunakan perkhidmatan Grab untuk memindahkan barangan hostel miliknya. Disebabkan tidak berpuas hati kata-kata pemandu Grab, dia meluahkan perasaannya di laman sosial dan mengugut untuk memberi penarafan rendah.

Memetik laporan Ohbulan, tindakan pelajar tersebut walau bagaimanapun ‘memakan diri’ apabila dikecam hebat oleh warga maya. Ini kerana pelbagai cara boleh digunakan pelajar terbabit untuk memindahkan barang-barang seperti meminjam kereta kawan, meminta bantuan dari kenalan terdekat atau mendapatkan khidmat kereta sewa.

Sedangkan perkhidmatan Grab dan e-hailing yang lain adalah untuk menghantar seseorang dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain, bukan menyediakan perkhidmatan memindahkan barang-barang. Walau bagaimanapun, pelajar terbabit masih cuba untuk ‘menegakkan benang yang basah’ dengan memberi analogi lain bagi menghalalkan tindakannya.

Sumber: Twitter

Jelas tindakan ini tidak wajar dilakukan oleh seseorang yang bergelar pelajar. Mana mungkin mereka tidak mengetahui polisi perkhidmatan Grab dan khidmat yang disediakan bagi setiap e-hailing. Yang jelas, pelajar tersebut ingin mencari jalan mudah untuk memindahkan barang-barang sendiri dengan menyusahkan orang lain.

Tidak Semua Perkara ‘Customer Always Right’ Boleh Diguna Pakai

Kadang-kadang mentaliti ‘customer is always right’ ini yang menyusahkan lagi pengguna Grab, memandangkan mereka dinilai berdasarkan udian penarafan. Hendak atau tidak, mereka perlu menuruti kemahuan pengguna walaupun itu bukan tugas hakiki mereka.

Tetapi bagaimana pula dengan kondisi kenderaan mereka untuk mengangkut barang-barang yang banyak. Sedangkan ia tidak termasuk dalam cas perkhidmatan yang ditawarkan. Sekiranya barang yang dibawa pecah, atau menyebabkan koyak pada sofa, adakah pelanggan akan membayarnya? Tentunya tidak bukan.

Sumber: Latest Malaysia News

Jangan Menyusahkan Pemandu Grab

Sudah pasti ramai pemandu Grab yang akan mengeluh sekiranya lebih ramai pelanggan melakukan perkara yang sama. Sedangkan perkhidmatan mereka hanyalah untuk mengangkut penumpang sahaja, bukan mengangkut barang-barang. Sudah pasti masa mereka juga terbuang untuk menunggu barang-barang tersebut diangkat dan dibawa naik.

Justeru nasihat kepada semua, janganlah kita menyalahgunakan perkhidmatan e-hailing dengan perkara-perkara yang tidak munasabah. Meskipun kita membayar tidak bermakna segala tindak-tanduk kita lakukan sesuai dengan perkhidmatan yang ditawarkan dan harus dipenuhi sepenuhnya. Jadilah pengguna yang bertanggungjawab.

KATA ORANG

KATA ANDA

Apa yang menyebabkan pelajar membuat tindakan seperti itu?
1 vote · 1 answer
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN