Sebut sahaja pembunuhan kejam membabitkan model dari Mongolia, Altantuya Shaariibuu, kes tersebut pasti tidak asing lagi pada pendengaran rakyat Malaysia.

Sumber: Malaysia Chronicle

Mana tidaknya, itulah satu-satunya kes yang pernah menggemparkan Malaysia memandangkan kes tersebut melibatkan kes pembunuhan berprofil tinggi yang mana seorang model ditembak dan diletupkan menggunakan bahan letupan C-4 (gred tentera). 

Walaupun si pelaku yang membunuh model ini sudah didakwa dan dijatuhi hukuman mati, bagaimanapun kes ini masih belum selesai memandangkan ‘dalang’ di sebalik pembunuhan ini masih belum terjawab dan bebas di luar sana.

Sumber: Utusan Online

Apa yang pasti, pada 2015, Mahkamah Persekutuan telah menjatuhkan hukuman mati terhadap dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), iaitu Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar selepas didapati bersalah dalam pembunuhan tersebut.

Kedua-dua mereka pada masa itu bertugas sebagai pengawal peribadi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Azilah bagaimanapun telah menjalani hukuman penjara, tetapi Sirul didapati lari ke Australia tiga tahun lalu untuk mendapatkan suaka politik dan perlindungan penuh memandangkan undang-undang negara mereka  tidak mengiktiraf hukuman mati.  

Bagaimanapun, Sirul akan diusir dari Australia selepas mahkamah Sydney minggu ini menolak rayuannya untuk mendapatkan suaka politik.

Dan berkemungkinan besar, sekiranya hukuman mati mandatori boleh diubah di Malaysia, Sirul akan kembali semula ke negara ini bagi menjawab segala persoalan yang membelenggu rakyat Malaysia selama lebih 12 tahun!

Persoalannya, adakah rakyat Malaysia bersedia?

 

Tunggu ‘Pendedahan’ Yang Dibuat Sirul

Kes pembunuhan Altantuya ini bukan sahaja ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia malah masyarakat di seluruh dunia juga turut sama menunggu petunjuk baru yang bakal membongkari segala persoalan ini.

Malah sehingga ke hari ini, keluarga Altantuya juga dilihat tidak pernah berputus asa menuntut keadilan dari kerajaan Malaysia untuk mendedahkan siapakah dalang di sebalik pembunuhan model Mongolia ini.

Sumber: SAYS.com

Apa yang boleh diharapkan ketika ini, hanya kepada Sirul memandangkan beliau sanggup menawarkan diri untuk memberi maklumat berhubung pembunuhan Altantuya Shaariibuu dengan syarat diberikan pengampunan penuh untuk pulang ke Malaysia dan hukumannya diringankan.

Namun, timbul pula persoalan lain yang mana ada pihak menggesa supaya kerajaan tidak perlu melayan permintaan berkenaan memandangkan masih ada saksi lain yang boleh membantu kes tersebut selai Sirul.

 

Adakah Ada Harapan Untuk Sirul Pulang Ke Malaysia?  

Memandangkan suaka politik Sirul telah ditolak oleh mahkamah Sydney, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memberitahu bahawa deportasi Sirul yang disabitkan kesalahan dan dihukum mati kerana membunuh Altantuya akan dibincangkan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sumber: mStar

Sirul juga berkemungkinan besar boleh dibawa balik ke Malaysia sekiranya hukuman mati mandatori di negara ini boleh diubah.

Bagaimanapun, apa yang dikhuatiri ketika ini, sekiranya pelaksanaan hukuman mati mandatori bagi semua kesalahan dimansuhkan di Malaysia, ianya dikhuatiri bakal membuka peluang kepada penjenayah untuk melakukan jenayah sekaligus meningkatkan lagi kadar jenayah dalam negara.

Namun, sekiranya hukuman mati mandatori di negara ini boleh diubah, adakah ia bakal menghangatkan lagi perbicaraan terhadap kes-kes besar di negara ini termasuk kes Altantuya ini?

Apa-apa pun, tunggu dan lihat sahaja keputusan yang bakal dibuat oleh kerajaan Malaysia memandangkan cadangan untuk pemansuhan hukuman mati mandatori itu masih di dalam kajian bagi meneliti kesannya kepada hukuman jenayah di negara ini.

KATA ORANG

KATA ANDA

Dalam hal ini, adakah sudah tiba masanya untuk Sirul dibawa pulang ke Malaysia bagi menghadapi pertuduhan kes Altantuya ini?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN