Sumber: Malaysia Today

Penganalisis politik yang juga pensyarah di Universiti Utara Malaysia (UUM), Kamarul Zaman Yusof bersetuju bahawa Perdana Menteri mempunyai hak untuk memilih calon Menteri Besar (MB) Johor. Dalam artikel terbarunya di facebook beliau menyatakan sokongan terhadap Tun Dr. Mahathir berkenaan kemelut ini.

Berdasarkan Artikel Sultan Perak

Merujuk laporan Malaysiakini, pandangan beliau adalah berdasarkan sebuah artikel yang ditulis oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang ketika itu menjadi Ketua Hakim Negara.

Dalam tulisan ‘The Role of Constitutional Rulers’, Sultan Azlan Shah menyebut sesebuah parti yang memperolehi majoriti dalam PRU mencalonkan salah seorang ahli Dewan Undangannya sebagai MB, manakala raja tidak mempunyai hak selain melantik calon berkenaan walaupun baginda mempunyai budi bicara.

Kamarul turut menambah, budi bicara raja hanya terpakai sekiranya tidak ada parti yang mendapat majoriti jelas di dalam DUN. Beliau turut berkata beberapa insiden Raja-raja Melayu melantik seorang MB yang tidak mendapat kepercayaan DUN atau meminta senarai beberapa calon daripada parti majoriti tidak boleh dijadikan hujah untuk dilegitimasi.  

Sumber: NST

Dipersetujui Peguam Perlembagaan

Perkara sama turut diulas oleh Peguam perlembagaan, Syahredzan Johan. Beliau berkata baginda tidak mempunyai hak kuasa budi bicara mutlak dalam perlantikan Menteri Besar. Perkara ini berdasarkan Artikel 4 perlembagaan negeri. Sungguhpun terdapat klausa kuasa budi bicara, namun budi bicara itu terbatas dan bukannya bersifat mutlak.

Isu ini mula timbul apabila Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian bertindak meletak jawatan susulan cara pentadbirannya yang tidak digemari Istana Johor. Dalam masa yang sama Mahathir turut menegaskan perlantikan MB baharu adalah hak kerajaan dan parti politik yang mendapat majoriti DUN di negeri tersebut.

Sumber: Bebasnews

Isu ini bertambah panas apabila Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menempelak Mahathir supaya menumpukan usaha hal pentadbiran negara dan tidak perlu mencampuri urusan di negeri berkenaan dengan mendakwa baginda mempunyai hak mutlak melantik MB.

Negeri Tertakluk Kepada Persekutuan

Malah, Mahathir sekali lagi menegaskan bahawa Johor masih negeri di Malaysia dan sebagai sebuah gabungan parti yang mendapat kerusi majoriti di Johor beliau mempunyai hak membuat keputusan mengenai Johor.  

Ulasan terbaru pensyarah UUM ini bagaimanapun dipandang sinis oleh ramai pihak. Berdasarkan artikel terbaru ini ada yang beranggapan beliau bertindak menjadi ‘lalang’ sebagai usaha mengekalkan survival jawatan yang disandangnya. Ada juga yang menggelarnya sebagai ahli akademik ‘kangkung’ kerana mula berubah-ubah.

Sumber: Sinar Harian

Beliau, sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu pernah menimbulkan kontroversi dalam suatu forum yang dianjurkan, dengan menyifatkan Mahathir sebagai ‘harimau tua’ nyanyuk yang perlu bersara dan tidak layak menjadi Perdana Menteri.

Ulasan Berdasarkan Kajian Akademik

Walau bagaimanapun, pandangan Kamarul dalam isu terbaru ini tetap merupakan ulasan akademik kerana berlandaskan pembacaan, kajian dan rujukan yang dilakukan. Adalah tidak wajar untuk menggelarnya ‘lalang’. Ini kerana kebanyakan penulisan beliau di facebook tidak mencerminkan beliau selaku ahli akdemik yang pro-kerajaan memandangkan lebih banyak penulisannya bersifat kritikal.

Perbezaan pendapat merupakan suatu perkara yang harus diraikan. Apa yang penting, pandangan yang diberikan perlu berdasarkan maklumat dan fakta yang jelas, bukan berdasarkan sentimen politik semata-mata.

KATA ORANG

KATA ANDA

Patutkah beliau dituduh lalang?
4 votes · 4 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN