Setiap kejadian yang dicipta oleh tuhan sudah pasti mempunyai kelebihan tersendiri. Bagi mereka yang beranggapan tikus hanyalah sekadar haiwan perosak dan mendatangkan virus akan menukar pandangan anda setelah membaca artikel ini. Tahukah anda bahawa tikus mempunyai kelebihan mengesan periuk api yang pantas berbanding mesin pengesan?

Sumber: Blog Serius

Ya perkara itu telah dibuktikan di selatan Tanzania. Memetik laporan Harian Metro, tikus-tikus pengesan telah dilatih secara khusus selama sembilan bulan oleh pertubuhan bukan kerajaan di Apopo, selatan Tanzania untuk mengesan periuk api di Afrika.

Menurut pengasas Apopo, Bart Weetjens, idea ini tercetus tatkala membaca artikel kira-kira 20 tahun lalu mengenai kehebatan haiwan kecil ini yang mampu mengecam bau bahan letupan yang ditanam sewaktu era perang. Ini kerana periuk api merupakan masalah utama yang dihadapi oleh golongan petani di Afrika.

Masalah Yang Menghantui Penduduk

Pelbagai peristiwa kematian akibat terpijak periuk api sering kali dilaporkan, sehingga dianggarkan seramai 4,000 orang dipercayai terbunuh akibat terpijak periuk api. Sehingga kini ancaman periuk api masih terdapat di 58 buah negara serata dunia.

Sumber: Bernama

Periuk api merupakan senjata penting yang digunakan semasa zaman peperangan suatu ketika dahulu. Senjata ini akan digunakan sebagai perangkap kepada musuh. Ia akan meletup apabila sesuatu beban seperti manusia, haiwan dan kenderaan melaluinya.

Disebabkan saiz yang kecil, ditanam di tanah serta celah-celah semak menyebabkan senjata ini sukar dilihat. Barang siapa yang terselamat itu adalah anugerah.

Bagi negara-negara di Barat mereka akan menggunakan alat pengesan besi. Tetapi untuk menggunakan teknologi mesin pengesan bagi negara di Afrika bukanlah suatu tugas yang mudah. Dengan kos yang mahal ia tidak sepadan dengan nilai pendapatan hasil pertanian. Disebabkan itu, langkah penggunaan tikus merupakan langkah tradisional yang pantas dan mesra alam.

Lagi Efisyen Berbanding Alat Pengesan

Apa yang menarik, tikus dapat mengesan alat letupan di kawasan seluas 200 meter jauh lebih pantas iaitu hanya dalam tempoh 20 minit sahaja. Berbeza dengan penggunaan alat pengesan besi yang memakan masa selama lima hari untuk mengesan periuk api di kawasan yang sama.

Namun begitu bukan semua tikus akan dilatih, hanya spesis tikus yang ‘bijak’ sahaja yang akan digunakan seperti spesis tikus gergasi Afrika yang dikenali ‘cricetomys gambianus’. Tikus ini bukan sahaja bijak, tetapi memiliki kebolehan menghidu seakan seperti anjing.

Sumber: Sheikh Al-Zelan

Kos Seekor Tikus RM29,000?

Dengan berat yang kurang daripada satu kilogram, ia merupakan satu kelebihan untuk tikus melintasi laluan yang ditanam dengan periuk api secara selamat. Dikhabarkan kos untuk melatih setiap ekor tikus pengesan menelan belanja sekitar AS$6,900 bersamaan RM29,017!

Walau bagaimanapun kos tersebut dianggap masih berbaloi berbanding menggunakan tenaga manusia. Ini kerana seekor tikus mampu hidup selama 8-9 tahun menjadikan ia sebagai pelaburan yang berbaloi.

Kaedah ini bukan sahaja digunakan di negara-negara Afrika, malah turut sama digunakan di negara-negara Asia seperti wilayah Gaza, Kemboja, Vietnam dan Thailand.

KATA ORANG

KATA ANDA

Apa pandangan anda?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN