Isu pembekuan akaun cucu kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terus hangat diperkatakan di media sosial.

Anak perempuan Najib Razak, Nooryana Najwa mempersoalkan kewajaran pihak bank membekukan akaun anak lelakinya yang berusia 10 bulan.

Dalam satu catatan di Facebook beliau, Nooryana Najwa memaklumkan akaun anaknya itu hanya mengandungi RM100 yang merupakan duit raya pertamanya bagi tahun ini.

Nooryana Najwa turut mempersoalkan sama ada kerajaan baharu hari ini sangat berdendam sehinggakan ingin menyingkirkan kesemua anggota keluarganya.

Itu luahan keluarga Najib Razak mengenai isu ini. Apa pula alasan pihak kerajaan membekukan akaun seorang bayi (seperti yang didakwa Nooryana Najwa)?

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan akaun bank milik cucu kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut dibekukan ekoran siasatan terhadap 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

“SPRM tidak pernah membekukan akaun milik cucu Najib” kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki.

 

Najib Didakwa

Terdapat empat pertuduhan yang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Tiga daripadanya merupakan tuduhan jenayah pecah amanah (CBT) dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa yang berkaitan dengan isu SRC International.

Najib Razak didakwa mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

 

Apakah itu AMLA?

AMLA atau Anti Money Laundering Act menetapkan bahawa adalah menjadi satu kesalahan yang boleh didakwa apabila syarikat/individu mengambil deposit sehingga menjadi satu jumlah yang banyak tanpa ada aktiviti perniagaan yang khusus dan meragukan yang mengesahkan wang itu datang dari perniagaan yang sah.

Bank Negara Malaysia (BNM) ialah pihak berkuasa berwibawa di bawah AMLA dan bagi tuduhan mengikut AMLA, Najib Razak akan turut disiasat oleh Polis Di Raja Malaysia (PDRM).

 

AMLA Dan Beku

Apabila Najib Razak telah dituduh di bawah AMLA, kebiasaannya segala akaun yang berkaitan akan dibekukan untuk mengelakkan wang dipindahkan.

Pihak pendakwaan perlu membuktikan dua aspek bagi perbicaraan di bawah AMLA, iaitu wang datang daripada kegiatan haram dan apakah kegiatan haram yang terlibat.

Misalnya, kegiatan haram itu mungkin pencurian, pecah amanah atau rasuah.

 

Kes-kes Najib Razak

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didakwa tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan rasuah membabitkan wang berjumlah keseluruhan RM42 juta.

Bagi tiga pertuduhan pecah amanah, Najib Razak selaku penjawat awam iaitu Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Penasihat SRC International didakwa melakukan pecah amanah wang berjumlah RM42 juta di Menara Ambank, Jalan Raja Chulan antara 24 Disember 2014 dan 29 Disember 2014.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebat dan denda.

Najib Razak turut didakwa menggunakan jawatan sebagai Perdana Menteri ketika itu untuk suapan berjumlah RM42 juta ketika mengambil bahagian atau terlibat membuat keputusan bagi pihak kerajaan Malaysia berkenaan satu pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) kepada SRC International.

Dakwaan bagi kesalahan itu dibuat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman denda sehingga lima kali jumlah suapan atau RM10,000 mana-mana lebih tinggi atau penjara maksimum 20 tahun.

 

Akaun Siapa Dibekukan? 

Terdapat tiga akaun atas nama Nooryana Najwa dibekukan mengikut subseksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Salah satu daripada akaun bank tersebut merupakan milik anak lelakinya yang berusia 10 bulan.

Nooryana Najwa bukan satu-satunya yang terkesan akibat pembekuan akaun ini. Tiga lagi anak lelaki bekas Perdana Menteri itu mendakwa mereka mengalami nasib yang sama.

 

Fakta

Status dilaman Facebook anak Najib (Sumber: Facebook)

Semakan di laman web CIMB mengesahkan kewujudan akaun jenis Junior Saver dengan pendaftaran minima RM100 bagi kanak-kanak bawah 12 tahun dengan mendaftarkan nama ibu bapa atau penjaga kanak-kanak.

Akaun jenis inilah yang didaftarkan oleh Nooryana Najwa ke atas anaknya yang bernama Adam Razak dan berusia 10 bulan.

Pembekuan akaun anak-anak Najib Razak termasuklah cucunya adalah disebabkan akaun Adam Razak (cucu Najib) adalah di atas nama ibu kandungnya.

Bukti akaun dibawah nama Nooryana Najib (Sumber: Utusan)

Pembekuan akaun cucu Najib Razak dilakukan mengikut subseksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah patut akaun cucu Najib pun dibeku?
4 votes · 4 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN