Situasi jerebu yang melanda beberapa buah negara Asia Tenggara ketika ini dilihat semakin parah. Malaysia, Singapura dan Indonesia merupakan antara negara yang terjejas teruk.

Selain jadual penerbangan di beberapa kawasan terpaksa dibatalkan, seorang bayi berusia empat bulan juga dilaporkan meninggal dunia ekoran kualiti udara yang semakin membimbangkan.

Sumber: Haris Muhtadi (Gambar Sekadar Hiasan)

Kejadian ini dilaporkan berlaku di Indonesia. Memetik laporan Sinar Harian, seorang bayi berusia empat bulan di Palembang, Sumatera Selatan didapati telah meninggal dunia ekoran jerebu teruk yang melanda kepulauan terbabit.

Mangsa bernama Elsa Pitaloka telah disahkan meninggal dunia pada Sabtu lalu ekoran mengalami masalah sukar bernafas.

Jerebu Bertoksik Di Sumatera Selatan

Difahamkan perkampungan yang didiami mangsa bersama keluarga di Talang Buluh, Banyuasin telah diselubungi jerebu toksik selama beberapa minggu sehingga menjejaskan kira-kira 800 isi rumah. Segala-galanya berpunca daripada aktiviti pembakaran kawasan pertanian dalam skala besar sehingga menyebabkan kebakaran hutan.

Memandangkan keadaaan kualiti udara yang sangat tidak sihat, ibu bapa Elsa telah membawanya ke Hospital Ar-Rashid, Palembang untuk mendapatkan rawatan, namun begitu hajat mereka tidak kesampaian apabila bayi malang tersebut telah meninggal dunia kira-kira pada pukul 6.30 petang (waktu tempatan).

Sumber: Harian Metro

Keadaan jerebu di Indonesia pada ketika ini berada pada kadar tidak terkawal ekoran bacaan kualiti udara yang semakin memburuk. Selain bayi, berdasarkan laporan portal berita Republika.co.id, seorang lelaki berusia 59 tahun di Pekanbaru turut maut diladangnya akibat diselubungi asap tebal.

Siapa Yang Harus Dipersalahkan

Sehingga ke hari ini difahamkan tidak ada mana-mana pihak yang mahu bertanggungjawab di sebalik bencana yang melanda. Malah, aktiviti pembakaran hutan dan kawasan pertanian masih lagi berleluasa, seolah-olah isu ini tidak berpenghujung.

Yang jelas, undang-undang di Indonesia sangat lemah dalam menangani masalah jerebu. Buktinya, sehingga ke hari ini masalah yang sama tetep berlaku. Bukan sekadar undang-undang, pihak berkuasa tempatan juga dilihat gagal menangani masalah yang sama saban tahun.

Memetik laporan CNN Indonesia, Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) mendedahkan bahawa, pemerintah mempunyai kekuatan di semua peringkat, namun begitu ia tidak bertindak secara aktif sehingga menyebabkan titik-titik api yang muncul tidak dapat ditangani dengan pantas.

Sumber: Tempo.co

Pesanan Jokowi

Justeru, Jokowi, mengingatkan pemimpin di semua peringkat untuk melakukan pencegahan kebakaran di peringkat awal, bermula dari pemimpin desa, camat, bupati, bhabinsa sehinggalah ke peringkat pusat.

Ini kerana pembakaran kawasan yang semakin besar dan meluas akan menyukarkan lagi tugas-tugas untuk pemadaman api dilakukan. Pencegahan di peringkat awal merupakan langkah yang efektif kerana keadaan masih lagi dapat dikawal di samping tidak memperuntukkan wang yang banyak.

Ketika ini, bilangan anggota tentera dan polis telah dipertingkatkan ke kawasan-kawasan yang mengalami keadaan jerebu yang teruk bagi membantu memadamkan kebakaran dan menguruskan masalah penduduk. Dijangka bilangan anggota tentera dan polis akan terus dipertingkatkan sekiranya keadaan kualiti udara di kawasan terjejas seperti Sumatera dan Kalimantan terus memburuk.

Kesedaran Semua Pihak Perlu Dipupuk

Pun begitu, usaha pemerintah untuk menangani masalah jerebu dari berulang akan gagal sekiranya semua pihak lebih mementingkan keuntungan sendiri tanpa memikirkan implikasi terhadap alam sekitar.

Sekiranya pencemaran yang berlaku melibatkan kematian ahli keluarga sendiri, adakah itu bayaran yang lumayan? Sudah tentu tidak. Maka beringatlah sebelum bertindak. Nyawa yang terkorban tidak boleh dibeli dengan wang.

KATA ORANG

KATA ANDA

Dalam hal ini siapa pula yang perlu dipersalahkan?
3 votes · 3 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN