Sehingga ke hari ini, isu mengenai dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dilihat makin ‘panas’ dengan pelbagai pendedahan atau pembongkaran yang sukar dijawab.
Malah, isu tersebut juga dilihat sentiasa menghantui pemimpin-pemimpin UMNO khususnya apabila rakyat sering menuduh dana tersebut diseleweng oleh orang dalaman parti tersebut hingga menyebabkan Barisan Nasional kalah pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.
Selagi isu mengenai dana tersebut tidak diselesaikan, maka selama itulah UMNO perlu berhadapan dengan pelbagai tohmahan, kritikan, herdikan dan pelbagai tuduhan lain bagi menjawab isu yang sedang hangat dibicarakan itu.
Semalam, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu sendiri mengakui bahawa isu 1MDB ini menjadi salah satu punca kepada kekalahan BN pada PRU-14.
1MDB dikatakan dieksploitasi pihak tertentu untuk pengaruhi rakyat. Dalam hal ini, bekas Perdana Menteri itu turut mengakui perkara tersebut.
Kalau dilihat sebelum PRU-14 lagi, Pakatan Harapan (PH) yang ketika itu menjadi pembangkang sering menggunakan isu tersebut sebagai sasaran utama untuk menjatuhkan BN.
Mana tidaknya, kesemua isu kontroversi mengenai dana 1MDB tersebut mulai tercetus apabila seorang bekas pekerja PetroSaudi International didakwa membocorkan maklumat berkaitan urus niaga syarikat antarabangsa yang berpangkalan di Arab Saudi dengan mengaitkannya dengan 1MDB.
Sejak dari itu, isu mengenai perkara tersebut mula mendapat perhatian media antarabangsa mahupun tempatan di mana ada dakwaan mengatakan bahawa sejumlah wang tertentu telah disalurkan dari akaun berkaitan ke akaun bekas Perdana Menteri itu.
Bukan itu sahaja, pelbagai jenis aset penting termasuk hartanah mewah dan sebuah pesawat jet turut sama dipersoal kerana ramai yang tertanya-tanya bagaimana harta itu didakwa dibeli di Amerika Syarikat, Switzerland dan United Kingdom daripada dana 1MDB.
Disebabkan itu, sehingga ke hari ini, ramai pihak terutama rakyat menaruh harapan tinggi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat secara telus setiap dakwaan yang mempunyai kaitan dengan 1MDB selepas mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena berlaku terhadap dana syarikat yang dilihat telah diseleweng itu.
Malah, anggota pemimpin UMNO juga dilihat mendesak Najib supaya segera meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO bagi memberi laluan kepada pemimpin yang lebih disukai rakyat Malaysia sekiranya tidak mahu parti tersebut tumbang.
Rakyat Terkejut Nilai Barangan Dirampas di Kediaman Najib Cecah RM1.1 Bilion
Berdasarkan apa yang dikaitkan 1MDB dengan bekas Perdana Menteri itu, mungkin ia menjadi penyebab utama rakyat tidak memilih BN pada PRU-14.
Mana tidaknya, selepas sahaja PH memenangi PRU-14, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dilihat terus menjalankan siasatan di kediaman Najib dengan mendedahkan jumlah keseluruhan nilai barangan yang dirampas berjumlah antara RM900 juta hingga RM1.1 bilion.
Antara barangan yang dirampas itu termausk 12,000 pelbagai barangan kemas yang ditemui di dalam 25 daripada 72 beg yang mana isi di dalamnya adalah cincin, berlian, gelang, subang, rantai, gelang tangan, kerongsang, tiara yang jika diikutkan nilai pasarannya berjumlah kira-kira RM880 juta.
Itu belum lagi diambil kira harga seutas rantai emas dengan berlian putih yang berharga RM6.4 juta dan juga rampasan sebanyak 567 beg tangan membabitkan 37 jenama seperti Hermes, Prada, Chanel serta Bijan.
Ya, pastinya rakyat terkejut dengan nilai rampasan yang besar itu di mana mereka menyifatkan barangan yang dirampas tersebut adalah duit rakyat yang telah dihilangkan selama ini.
Kini, selepas kesemua barangan kemas dan wang yang dirampas itu kini disimpan di Bank Negara Malaysia (BNM).
Pakatan Harapan Komited Siasat Skandal 1MDB
Di dalam manifesto ‘Membina Negara, Memenuhi Harapan’ yang dibentangkan oleh PH, antara janji yang paling dinanti-nantikan rakyat adalah mereka mahu satu suruhanjaya dan jawatankuasa ditubuh serta merta untuk menyiasat dan menangani isu yang menimbulkan kontroversi termasuk 1MDB.
Meskipun kerajaan PH tidak berupaya untuk melaksana kesemua janjinya termasuk memansuhkan jalan raya bertol, bagaimanapun kerajaan dilihat komited malah sudah memulakan usaha untuk menyiasat skandal tersebut.
Difahamkan kini, kerajaan juga sudah memulakan usaha untuk menuntut kembali wang yang dipindahkan oleh pelbagai pihak daripada 1MDB, termasuklah daripada pengurus dana Goldman Sachs.
Bukan itu sahaja, kerajaan turut menuntut kembali kapal layar mewah, Equanimity bernilai RM1 bilion yang dibeli oleh ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low yang menggunakan wang yang dipindahkan 1MDB untuk membeli kapal tersebut.
Kini, bekas Perdana Menteri itu juga banyak kali dipanggil oleh SPRM untuk membantu siasatan mengenai 1MDB di mana beliau berdepan tiga pertuduhan utama memindahkan RM42 juta ke dalam akaun banknya daripada syarikat SRC International, iaitu anak syarikat 1MDB.
Sebulan yang lalu, beliau turut sama dikenakan tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan 1MDB di mana kes tersebut masih lagi disiasat pihak mahkamah hingga ke hari ini.
Penafian Najib Terlibat 1MDB
Pelbagai penafian yang dilakukan Najib untuk menunjukkan bahawa beliau tidak bersalah dan terlibat di dalam kontroversi 1MDB ini.
Dalam satu temubual terbaru bersama Sinar Harian, Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui bahawa Malaysia telah ditipu oleh ahli perniagaan Low Taek Jho yang juga dikenali sebagai Jho Low, tetapi mendakwa bank pelaburan Goldman Sachs, peguam dan juruaudit gagal melindungi kepentingan negara dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Berita tersebut telah tular dan mendapat pelbagai reaksi. Walaubagaimanapun, selepas dua hari, Najib menafikan perkara tersebut .
Beliau menegaskan, beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa ditipu oleh ahli perniagaan, Jho Low yang terlibat dalam urusan perniagaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Kata beliau, jawapannya dalam satu temuramah berkenaan baru-baru ini telah disalah tafsir oleh sebuah portal berita.
Menurutnya apa yang dimaksudkannya itu adalah kalau terbukti nanti mengenai 1MDB, maknanya kita telah ditipu.
Sesiapa yang mengikuti kes ini pasti sudah mempunyai bayangan siapa yang bersalah namun keputusan adalah tertakluk kepada keputusan mahkamah kelak.
KATA ORANG
dan2 pulak DSN xknal Jho Low..btl kn ape KJ ckp ..& DsN pn mengaku kekalahan BN ttg 1MDB.. same juga statement Yb Pasir Salak..dkt situ pn Majoriti pemimpin umno yg ade ni... Putar belit .. https://t.co/SX3ZaQhCtp
— mohd faizul (@dem69) November 22, 2018
AWAL AWAL LAGI AKU DAH PESAN DAN CAKAP KEKALAHAN BN BUKAN KERANA 1MDB, KAU DOGE HAMPEH ...
— P. Ayahanda Rasull (@MhdRasull) November 23, 2018
Sudah sudah lah jib. G taubat la lg bgs.kuatkan ibadahmu pd ilahi.. Dunia milik ko insha allah x lama. Akhirat muncul tiba.ko Telah tewas d dunia. Carilah akhirat. Ia kekal abadi bro.. Mintak maaf pd rakyat. Untung2 ade yg doakn kebaikn utk ko.buanglah sikap penafian tu. Insaflah
— #@ohhtanahairku7781 (@ohhtanahairku71) November 23, 2018
Lg 1 sbb kau najib bn kalah..aku mmg undi kau kalah pn..bkn manifesto ph yg aku undi pn..
— Jack77 (@blackjack5567) November 22, 2018
Bukan itu sahaja, ada 1000 macam punca BN tersungkur, 1MDB ibu segala Penipuan.
— RMN (@ridzuanmohdnoor) November 23, 2018