Malang bagi seorang remaja perempuan berusia 17 tahun apabila terjebak dengan pinjaman ceti haram atau Ah Long. Hanya kerana cinta pada si jejaka yang tidak bekerja, remaja tersebut meminjam sebanyak RM 12,000 daripada tujuh ah long.

Sumber: Harian Metro

Usia Terlalu Muda

Faktor usia yang terlalu muda menyebabkan remaja terbabit tidak berfikir panjang tentang risiko yang bakal dialami. Kerana kasih dan sayangnya kepada lelaki terbabit dan hanya ingin menjalani hidup bersama, dia sanggup menanggung risiko terjebak dengan pinjaman Ah Long.

Walhal mereka baru sahaja menjalinkan cinta selepas tamat persekolahan setahun yang lalu. Amat mengejutkan bagi seorang remaja yang baru berusia 17 tahun tetapi sudah terjebak dengan pinjaman Ah Long. RM12,000 bukan jumlah yang kecil memandangkan kadar faedah yang berbeza-beza ditawarkan oleh tujuh syarikat Ah Long.

Sumber: Suara Perak

Ditambah pula dengan pekerjaannya sebagai pembantu kedai serbaneka di ibu negara amat sukar bagi remaja terbabit menyelesaikan masalah yang dihadapi. Atas nasihat ibu bapa, remaja terbabit merujuk kes tersebut kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Perkara tersebut didedahkan oleh PPIM melalui Unit Banteras Ceti Haram. Untuk rekod, ini merupakan usia termuda yang pernah dicatatkan oleh PPIM dalam kes pinjaman ceti haram. Sebelum ini usia muda yang dicatatkan adalah 20 tahun.

Pinjam Untuk Bantu Kekasih Beli Motor

Dikhabarkan, remaja terbabit membuat pinjaman bagi membantu kekasihnya yang tidak bekerja wang saku untuk perbelanjaan diri. Tidak cukup dengan itu, kerana kasih dan sayangnya kepada lelaki itu, remaja tersebut meminjam lagi RM2,000 daripada ah long lain untuk deposit pembelian motorsikal atas permintaan kekasihnya dengan ansuran bulanan dibiayai oleh remaja perempuan terbabit.

Malang semakin bertambah bagi remaja terbabit apabila kekasihnya seolah-olah cuba mengelak untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Sungguhpun pihak PPIM sedang cuba berbincang dengan lelaki terbabit namun belum menerima sebarang hasil.

Sumber: Astro Awani

Pentingnya Pendidikan Kesedaran

Secara jelas, pendidikan kesedaran mengenai bahaya ceti haram ataupun Ah Long perlu dipertingkatkan, khususnya kepada remaja dan golongan yang baru memulakan alam pekerjaan.

Disebabkan urusan pinjaman yang lebih mudah, ringkas dan pantas tanpa memerlukan sebarang pemeriksaan kredit telah menyebabkan ramai yang terjebak dalam kancah pinjaman ceti haram. Ditambah pula dengan iklan tawaran pinjaman yang ditampal merata-rata

Malah, golongan yang berpendapatan rendah atau golongan yang benar-benar terdesak memerlukan kewangan merupakan jumlah yang paling tinggi dicatatkan terjerat meminjam daripada Ah Long. Berita mengenai remaja yang baru berusia 17 tahun terjerat dengan Ah Long amat merisaukan kerana berkemungkinan lebih ramai lagi yang terjebak sama.

Perlu Pantau Anak-Anak

Hakikatnya, mengenal cinta bukanlah dengan cara memberi wang ringgit, tetapi memerlukan kesungguhan, keberanian dan pengorbanan bagi kedua-dua belah pihak dalam menempuhi dugaan hidup.

Apalah gunanya bercinta sehingga menjeratkan diri sendiri ke kancah hutang Ah Long Nasihat kepada ibu bapa, pantaulah anak-anak anda daripada terjebak dengan perkara-perkara tidak diingini.

KATA ORANG

KATA ANDA

Apakah solusi terbaik mengatasi masalah ini?
1 vote · 1 answer
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN