Semalam, negara kita dikejutkan dengan berita mengenai seorang remaja berusia 16 tahun ditemui mati selepas terjun dari bangunan tingkat tiga di Bandar Baru Batu Kawah, Kuching, Sarawak.

Sumber: Astro Awani

Difahamkan, mangsa menggunakan akaun Instagramnya untuk meraih undi daripada pengikut sebelum membuat keputusan membunuh diri akibat tertekan dengan masalah keluarga.

Lebih malang, undi yang dibuat mangsa itu mendapat sokongan sebanyak 69 peratus daripada pengikutnya yang rata-rata menyokong hasratnya untuk membunuh diri. 

Kes kematian seperti ini sama sekali tidak boleh dibawa main kerana sebelum ini, sudah berlaku kes sama pada tahun lalu yang mana seorang remaja perempuan tingkatan tiga ditemukan mati berhampiran kolam renang di Lebuh Sungai Pinang, Pulau Pinang sebelum meninggalkan nota buat ibunya. 

Masalah yang dihadapi kedua remaja ini hampir sama yang mana mereka mempunyai masalah bersama ibu bapa hingga menyebabkan mereka tertekan sekaligus mengambil jalan mudah untuk membunuh diri. 

 

Apa Itu Kemurungan?

Sumber: Sarawakvoice

Mungkin ada di antara kita yang masih tidak dapat membezakan kemurungan dari kesedihan biasa. Sekiranya seseorang itu berasa sedih disebabkan perlu berhadapan dengan insiden yang negatif atau menyedihkan, ia mungkin sesuatu yang normal.

Apa yang membezakan, perasaan sedih kebiasannya tidak berpanjangan yang mana seseorang itu masih mampu melakukan tugas harian seperti biasa.

Berbanding dengan kemurungan, perasaan sedih yang dihadapi individu tersebut berpanjangan yang mana ia mulai menjejaskan kehidupan seharian termasuk pemikiran, perasaan, tingkah laku dan kesejahteraan fungsi harian yang sama sekali perlu diberi perhatian.

 

Sebab Berlaku Kemurungan

Apabila bercakap mengenai kemurungan, terdapat banyak faktor sebenarnya yang menyumbang seseorang itu untuk mengalami kemurungan.

Faktor pertama yang mungkin boleh diambil kira adalah disebabkan faktor genetik dan keturunan yang mana individu itu mempunyai ahli keluarga yang pernah menghidapi penyakit kemurungan sekaligus memberi risiko yang lebih tinggi terhadap dirinya.

Kedua, personaliti diri mereka yang sering gelisah, pendiam serta kurang ceria juga dilihat lebih cenderung untuk mendapat penyakit kemurungan ini.

Sumber: Utusan

Ketiga, seseorang yang pernah mengalami peristiwa hidup yang memberi impak pada zaman kanak-kanaknya seperti penderaan fizikal, mental atau kehilangan ibu bapa ketika kecil juga turut sama berisiko tinggi mendapat penyakit ini.

Keempat, jika penggunaan dadah dan alkohol diambil dalam jumlah yang banyak, ia juga boleh memberi kesan toksik kepada organ badan dan otak yang boleh menyebabkan gangguan mental seperti kemurungan dan psikosis.

Selain itu, faktor tekanan perasaan yang mana sekiranya seseorang itu mempunyai sejarah hidup yang negatif disebabkan mengalami tekanan di tempat kerja, bebanan kewangan dan masalah kekeluargaan seperti isu perkahwinan juga menyebabkan seseorang itu mudah mendapat kemurungan.

Dalam kes ini, remaja terbabit dikatakan tertekan dengan bapa tirinya selepas berkahwin dengan wanita Vietnam di Singapura dan jarang sekali pulang ke rumah. Jadi, jelas sekali kita dapat lihat bahawa remaja ini sememangnya mengalami tekanan yang tinggi disebabkan masalah dalaman ahli keluarga.

 

Ahli Keluarga Dan Rakan Perlu Main Peranan

Dalam kes ini, orang sekeliling perlu cakna apabila ada rakan yang mempunyai tanda-tanda kemurungan, sebolehnya anda bantu mereka dengan mendengar setiap luahan perasaan mereka.

Tidak semua daripada kita mempunyai ahli keluarga yang bahagia, remaja ini mungkin memerlukan tempat dan seseorang untuk meluahkan perasaan yang mungkin sudah terpendam lama sehingga tahap yang tidak dapat dikawal lagi.

Maka, media sosial pula yang dijadikan tempat untuk mereka meluahkan sebarang masalah.

Sumber: mStar

Bagi remaja ini, dia mungkin berasa sukar untuk bercerita dan meluahkan perasaannya kepada ahli keluarga terdekat. Jadi, sebagai sahabat yang baik, sekiranya rakan anda menghadapi masalah, bantulah mereka dengan menjadi pendengar yang setia kerana apa yang anda lakukan itu sekurang-kurangnya dapat memberi sedikit kelegakan terhadap mereka.

Kepada ibu bapa juga, sekiranya bercerai dan tidak lagi duduk sebumbung bersama pasangan masing-masing, janganlah anda abaikan anak-anak kerana mereka sama sekali memerlukan ibu bapa untuk mendapatkan sokongan dalam meneruskan kehidupan.

Jadi, walau sesibuk mana pun anda, luangkan masa seketika bersama anak yang sedang menghadapi masalah dan cari jalan penyelesaian yang baik.

Sekiranya tidak, beginilah jadinya. Anak-anak akan menganggap ibu bapa mereka tidak lagi menyayangi mereka dan cenderung untuk membunuh diri sebagai jalan penyelesaian terhadap masalah mereka.

Kes sebegini juga wajar dijadikan iktibar kepada seluruh masyarakat supaya menggunakan sosial media secara berhemah dengan tidak melakukan perkara yang boleh membawa kepada kebinasaan.

KATA ORANG

KATA ANDA

Pada pandangan anda, adakah kerajaan perlu mempergiat ujian mental di sekolah bagi mengesan remaja yang mengalami masalah kemurungan seperti ini?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN