Tanya sahaja pelajar kampus pada hari ini, boleh dikatakan ramai yang mengetahui tentang MLM. Sebut berkenaan MLM pasti terbayang individu yang tidak henti-henti mengajak rakan-rakan berniaga di bawahnya dengan dijanjikan untung ‘kepuk-kepuk’ dalam masa singkat.

MLM merupakan singkatan bagi Multi Level Marketing. Pada asalnya konsep MLM ialah komisen dibayar berdasarkan jumlah jualan produk, bukan berdasarkan jumlah ahli yang berjaya direkrut. Namun begitu kebanyakan MLM yang terdapat di kampus-kampus hari ini lebih berdasarkan jumlah ahli yang direkrut. Ia menjadi haram kerana terdapat unsur eksploitasi ahli sehingga mewujudkan penganiayaan.

Modus Operandi

Sumber: Selamanya Viral

Sindiket MLM kebiasaannya menggunakan kaedah tampalan iklan di setiap fakulti di samping penggunaan media sosial sebagai medium untuk promosi. Iklan yang ditampal tidaklah besar tetapi hanyalah seperti cebisan kertas yang mudah diambil pelajar yang melihatnya.

Pelajar akan dipujuk menyertai skim yang menjanjikan pulangan besar dengan dibawa menghadiri latihan. Kemudiannya Ketua MLM akan dijemput bagi mempengaruhi bakal pelanggan untuk bersetuju menjadi ahli dengan menceritakan pengalaman kegagalan sebelum ini sehingga dikenalkan dengan MLM dan berjaya.

Malah, sentimen ibu bapa turut dimainkan dengan memujuk mangsa membawa ibu bapa menunaikan umrah selepas berjaya mendapat ganjaran yang lumayan. Kebiasaannya pendekatan tersebut berjaya kerana lebih mudah mempengaruhi pelajar dengan contoh kejayaan di depan mata.

Sindiket meraih untung besar apabila orang yang direkrut dikenakan bayaran ribuan ringgit, kemudiannya digunakan sebagai ejen bagi menarik pelajar baru.

Pelajar yang menjadi mangsa akan mengikuti beberapa kursus seperti kursus digital dengan bayaran ribuan ringgit. Setelah bayaran dijelaskan mangsa diberikan kata laluan akses ke portal kursus, namun tidak seperti yang diiklankan kerana hanya mengandungi maklumat asas cara menggunakan media sosial bagi mengembangkan perniagaan.

Pelajar Minta Wang Dari Keluarga Dan Rakan

Kebiasaannya sindiket akan mendekati pelajar sewaktu pelajar mendapat wang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) atau biasiswa.

Disebabkan terbabit dengan sindiket MLM, kebanyakan pelajar mendahulukan wang pengajian, kemudiannya meminta daripada keluarga dan seterusnya berhutang dengan kenalan. Tindakan yang dilakukan semata-mata bertujuan untuk membiayai kos tersebut.

Kos yang memakan ribuan ringgit sudah tentu menjadi beban kepada pelajar, ditambah pula mereka tidak mempunyai pendapatan tetap dan bergantung sepenuhnya dengan wang pembelajaran serta ibu bapa.

Sumber: Utara News

Kesannya

Disebabkan perkembangan MLM berlaku hampir setiap kampus, terdapat pelajar yang menjadi ejen MLM sanggup menangguhkan semester pengajian bagi tujuan mencari ‘downline’ iaitu orang bawah. Ejen-ejen MLM ini berada di kampus tetapi tidak menghadiri kelas. Hal ini juga diakui oleh pensyarah di UTM.

Bagi mangsa MLM pula, ada yang meminta bantuan tabung zakat universiti kerana tidak mampu lagi menampung kos hidup.

Usaha Kerajaan

Sumber: Sinar Harian

Di pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui Bahagian Penguat Kuasa telah menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat kegiatan sindiket yang menawarkan kursus perniagaan digital dengan menggunakan teknik MLM.

Siasatan akan dibuat mengikut Seksyen 27B Akta Jualan Langsung dan Seksyen 4(1) Skim Anti Piramid 1993 serta Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001. Nombor talian yang boleh dihubungi 03-88826088 Enforcement Command Centre (ECC) 

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pasukan itu dianggotai seramai 10 pegawai yang terbabit secara langsung dalam mengendalikan sistem.

Kerjasama Semua Pihak

Jika mengharapkan pihak berkuasa semata-mata belum tentu mampu mengatasi masalah ini secara menyeluruh kerana terdapat puluhan universiti tempatan, ratusan universiti dan kolej swasta, dan tidak termasuk lagi institute-institut latihan.  

Justeru itu, perlu adanya pendedahan dan pantauan bagi pihak universiti/kolej atau istitusi tentang bahayanya MLM bagi mengekang ia dari terus merebak.

Sebagai permulaan, perbincangan seperti diskusi, wacana dan forum secara terbuka wajar kerap diadakan khususnya kepada pelajar-pelajar tahun pertama yang baru menyesuaikan diri di alam kampus bagi memastikan mereka tidak terjebak dengan mudah.

KATA ORANG

KATA ANDA

Pada pandangan anda, mengapa pelajar di peringkat mahasiswa begitu mudah mengikuti MLM
1 vote · 1 answer
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN