Selepas 40 tahun, hari ini sejarah tercipta apabila sidang Dewan Rakyat meluluskan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang membenarkan mahasiswa aktif berpolitik, diluluskan dengan sebulat suara.

Keputusan itu dicapai selepas ahli Dewan bersetuju terhadap Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2018 bagi memansuhkan peruntukan Seksyen 15(2)(c) AUKU 1971 yang menghalang mahasiswa terbabit dalam kegiatan politik di kampus.

Sumber: Kosmo

Pindaan akta itu diluluskan semalam selepas bacaan kali ketiga oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan diluluskan menerusi undi sebulat suara selepas dibahas oleh 20 ahli Parlimen.

Pengumuman yang dibuat oleh Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof itu pastinya satu perkara yang dinanti-nantikan buat semua mahasiswa di universiti yang sebelum ini dilihat menggesa kerajaan untuk memansuhkan akta tersebut yang dilihat tidak cukup membebaskan mahasiswa untuk berpolitik.

Turut diluluskan sebulat suara adalah pindaan terhadap Seksyen 47(2)(C) Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 [Akta 555] dan Seksyen 10 (2)(C) Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 [Akta 174] yang terpakai kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM), Politeknik, Kolej Komuniti dan Institut Perguruan.

Selepas keputusan itu sebulat suara dicapai kerajaan, sebahagian besar netizen di media sosial dilihat menyambut baik tindakan kerajaan itu yang telah membebaskan mahasiswa daripada undang-undang universiti.

Tidak kurang juga, ada yang membantah keputusan kerajaan kerana khuatir mahasiswa menyalahgunakan kebebasan berpolitik untuk tujuan politik yang tidak sihat di kampus.

 

Wajarkah Kerajaan Beri Kebebasan Kepada Mahasiswa Untuk Berpolitik?

Sumber: Free Malaysia Today

Walaupun akta AUKU pernah diperkenalkan pada 1971 dan dipinda pada tahun 2012 bagi membolehkan mahasiswa menyertai kegiatan anjuran parti politik di luar kampus, namun akta tersebut masih lagi dilihat tidak memberi kebebasan sepenuhnya kepada mereka untuk berpolitik.

Mana tidaknya, walaupun ia dipinda, masih terdapat beberapa syarat baru yang dikenakan terhadap mahasiswa yang mana hanya pelajar yang cemerlang di dalam akademik sahaja dibenarkan terlibat dalam apa jua persatuan termasuk parti politik ketika di luar kampus.

Syarat yang dikenakan itu sekaligus telah menyebabkan mahasiswa mendesak kerajaan untuk memansuhkan akta tersebut yang mana wujud unsur diskriminasi terhadap mereka untuk berpolitik kerana peluang itu hanya diberi kepada pelajar cemerlang sahaja.

Malah, masih ada peruntukan lain dalam akta tersebut yang dilihat memberi ‘kuasa’ kepada pihak pengurusan universiti untuk membuat kaedah-kaedah tatatertib sendiri khusus untuk mahasiswa yang terlibat dalam politik.

Sumber: SelangorKini

Kuasa yang diberi itu sekaligus dilihat mencetuskan prejudis dalam kalangan mahasiswa untuk berpolitik kerana mereka terikat dengan undang-undang yang dikenakan pihak pengurusan universiti.

Jadi, apabila melihat kepada desakan serta bantahan yang kerap kali dilakukan oleh aktivis mahasiswa, kerajaan Pakatan Harapan (PH) kini sebulat suara meluluskan pindaan akta tersebut untuk membenarkan mahasiswa menyertai aktiviti politik di dalam kampus masing-masing.

 

Pinda AUKU Bukti Kerajaan Kotakan Janji

Sumber: Berita Harian

Sehingga kini, banyak pihak berasa keputusan yang dibuat kerajaan itu bakal memberi kesan negatif kepada mahasiswa dari segi sesi pengajian serta hubungan sesama mahasiswa dan ahli akademik, namun keputusan yang dibuat kerajaan itu adalah bagi pembinaan generasi masa depan yang lebih holistik.

Memandangkan pindaan akta itu diluluskan, ia pastinya bakal memberi satu perubahan besar buat keseluruhan ekosistem universiti yang mana mahasiswa kini tidak lagi terikat dengan mana-mana undang-undang yang dilaksana pihak pengurusan universiti dan mereka diberi kebebasan untuk berpolitik secara sihat.

Akta yang dipinda ini jelas membuktikan kerajaan PH mengotakan janji mereka sepertimana yang dijanjikan di dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu untuk memansuh AUKU serta pelbagai akta lain yang mengongkong kebebasan mahasiswa dan pensyarah.

Pindaan AUKU ini juga menunjukkan bahawa kerajaan tidak menyekat hak dan kebebasan mahasiswa untuk berpolitik sama ada di dalam kampus atau dengan mana-mana parti politik.

 

AUKU Dipinda, Mahasiswa Perlu Lebih Bertanggungjawab

Sumber: Free Malaysia Today

Walaupun kerajaan telah meminda akta tersebut, golongan mahasiswa perlu lebih bertanggungjawab dan tidak menyalahgunakan kebebasan berpolitik seperti yang diberi oleh kerajaan.

Dengan pembangunan teknologi yang canggih pada masa kini, golongan muda pada masa kini pastinya sudah matang untuk berpolitik.

Namun, mereka perlu ingat, walaupun kerajaan kini memberi kebebasan kepada mereka, tidak bermakna mereka bebas berpolitik di dalam kampus dengan menggunakan isu-isu yang boleh memecah-belahkan perpaduan.

Kebebasan yang diberi kerajaan ini adalah untuk mewujudkan politik yang matang dalam kalangan mahasiswa bersama ahli akademik dengan memberikan idea yang bernas bagi meningkatkan kualiti akademik demi kepentingan universiti dan juga negara.

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah wajar untuk kerajaan beri lebih banyak ruang dan kebebasan dalam bersuara serta berpolitik kepada mahasiswa di universiti?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN