Sebelum ini Indonesia mengharamkan pelancong belum berkahwin bersekedudukan di Bali.
Namun berbeza di Arab Saudi di mana kerajaan mereka membenarkan pelancong asing bukan mahram tinggal sebilik di hotel tanpa perlu membuktikan status hubungan mereka.
Ia berikutan selepas kerajaan Arab Saudi melancarkan satu visa pelancongan baru untuk menarik lebih ramai pelancong ke negara mereka meskipun sebelum ini mereka perlu menunjukkan bukti atau dokumen sebelum menyewa bilik.
Tukar Dasar Baharu Kerana Mahu Tarik Pelancong
Pasti ramai yang tertanya-tanya mengapa Arab Saudi secara tiba-tiba menukar dasar yang ada sebelum ini bukan?
Sebenarnya, dasar baharu yang dilaksanakan mereka ini adalah untuk menarik minat pelancong asing ke sana, memudahkan wanita yang menggembara ke sana secara bersendirian selain membolehkan pasangan yang tidak mempunyai hubungan sah menginap bersama di negara tersebut.
Malah, wanita tempatan juga kini dibenarkan untuk menyewa bilik secara bersendirian dengan menunjukkan pengenalan diri.
Perlaksaan terbaharu itu disahkan oleh Suruhanjaya Pelancongan dan Warisan Kebangsaan Saudi pada Jumaat lalu yang mana Putera Mohammed bin Salman mahu mengubah imej negara Arab Saudi supaya ia lebih ‘lembut’ dan mudah untuk didekati oleh pelancong asing.
Jika anda nak tahu, sebelum ini negara tersebut tidak menerima pelancong bukan mahram termasuklah pelancong daripada negara asing.
Tetapi kini, kerajaan Arab Saudi telah mengumumkan pelancaran visa pelancongan itu kepada 49 buah negara di seluruh dunia termasuk Malaysia, China, Jepun, Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman, dan Singapura.
Pelancong Tidak Perlu Lagi Menutup Aurat
Bukan setakat boleh tinggal sebilik, dasar baru yang dilaksanakan mereka itu juga membolehkan pelancong asing untuk tidak lagi menutup aurat secara sepenuhnya.
Mereka hanya perlu berpakaian sopan dan tidak mencolok mata sepanjang berada di negara tersebut.
Sebelum ini, sekiranya anda ingin melawat Arab Saudi, boleh dikatakan setiap pelancong perlu berjubah hitam dan berhijab.
Walaupun Visa Pelancongan Dah Dilonggarkan, Denda Tetap Ada
Meskipun mereka membenarkan pelancong asing yang belum berkahwin untuk tinggal sebilik dan tidak perlu menutup aurat namun denda tetap akan dikenakan terhadap mereka sekiranya tidak berpakaian sopan dan bercumbu di khalayak ramai.
Denda juga tetap dikenakan terhadap mereka yang membuang sampah, meludah, memotong barisan, mengambil gambar dan video orang lain tanpa kebenaran dan bermain muzik ketika waktu solat.
Jika gagal mematuhi undang-undang tersebut, bayaran denda antara 50-riyal (RM54) hingga 6,000-riyal (RM6,701) akan dikenakan kepada setiap pelancong.
Tidak kurang dari itu, walaupun visa pelancongan baru sudah dilonggarkan namun penggunaan alkohol masih lagi kekal diharamkan di Arab Saudi.