Baru-baru ini, negara kita dikejutkan satu protes membantah hasrat kerajaan untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang diadakan di pusat bandaraya Kuala Lumpur, Ahad lalu.

Himpunan protes yang dianjurkan oleh Pemuda Umno dan PAS di hadapan kompleks beli belah Sogo itu adalah untuk menolak ratifikasi ICERD yang dikatakan menjejaskan perlembagaan persekutuan secara umumnya.

Sumber: Berita Harian

Perhimpunan yang dianjurkan kedua parti itu tercetus apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Senator P Waytha Moorthy mengumumkan bahawa kerajaan akan meratifikasikan ICERD bermula suku pertama tahun depan namun kemudian disusuli pula kenyataan kerajaan yang tidak akan terburu-buru untuk melaksanakan konvensyen tersebut.

Selain Menteri di JPM, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga berkata bahawa satu rundingan dengan semua kaum akan diadakan sebelum Malaysia meratifikasikan konvensyen tersebut selain mengakui ia bukan perkara mudah memandangkan negara kita mempunyai penduduk berbilang kaum yang masing-masingnya mempunyai kepentingan sendiri.

Namun sehingga ke harini, isu berkaitan cadangan tersebut hangat dibincangkan pelbagai pihak terutama yang mewakili kepentingan Melayu dan Bumipitera yang dilihat bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan terutamanya apabila menyentuh hak istimewa orang melayu, bumiputera, kedudukan agama islam dan institusi raja-raja Melayu.

 

Apa Itu ICERD?

Sumber: Utusan Online

Pasti ramai di antara kita yang masih lagi terpinga-pinga apakah yang dimaksudkan dengan ICERD itu.

Istilah ‘International Convention For Elimination of All Forms of Racial Discrimination’ atau dalam bahasa Melayu bermaksud Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum di mana ia merupakan salah satu konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menfokuskan hak asasi manusia.

Mengikut sejarah, ICERD diterima oleh Perhimpunan Agung PBB pada 1965 di mana mereka mula menguatkuasakan konvensyen tersebut pada 1969.

Di dalam artikel lima yang terkandung di dalam ICERD turut menjelaskan bahawa mana-mana negara yang telah meratifikasikan konvensyen itu mesti menghalang dan memusnahkan diskriminasi kaum dalam semua bentuk.

Malah, kerajaan juga perlu menjamin hak setiap orang tanpa perbezaan kaum, warna kulit, asal usul bangsa untuk mendapatkan kesaksamaan di sisi undang-undang.

Jadi, apabila melihat semula negara kita yang mempunyai rakyat yang berbilang kaum, adakah Malaysia juga perlu turut sama meratifikasikan ICERD tersebut sepertimana yang dilakukan negara lain?

Walaupun ICERD dibuka untuk ditandatangani dan disahkan mulai 21 Disember 1965 dan mula berkuat kuasa pada 4 Januari 1969, namun sehingga hari ini, Malaysia antara 15 negara yang tidak mengesahkannya, termasuk Brunei dan Israel.

 

Adakah Benar ICERD Tidak Jejaskan Perlembagaan Persekutuan?

Sumber: The Sun Daily

Walaupun Senator P Waytha Moorthy memberi jaminan bahawa pelaksanaan ICERD di Malaysia tidak akan menjejaskan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan namun ia tetap menimbulkan kegusaran pelbagai pihak khususnya pihak yang membantah pelaksanaan ICERD itu.

Ia termasuk Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad yang sebelum ini mendakwa tindakan meratifikasikan ICERD bakal menggugat kepentingan agama dan menghakis hak bumiputera.

Jika dilihat, negara kita tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera yang merupakan penduduk asal di negara ini.

Tidak mustahil banyak pihak dilihat cuba menghakis hak istimewa orang Melayu di mana golongan ini mempunyai hak yang istimewa berbanding bangsa lain.

Ia termasuk hak orang Melayu yang diberi jaminan untuk mendapatkan tanah dengan kebenaran kerajaan negeri di mana kerajaan Negeri boleh membuka tanah khas untuk orang Melayu tanpa sebarang syarat.

Bukan itu saja, jawatan di dalam sektor kerajaan juga dibuka lebih ramai kepada orang Melayu di mana kerajaan memperuntukkan nisbah besar bagi golongan Melayu untuk bekerja di dalam sektor ini berbanding kaum lain.

Sumber: Berita Harian

Hak istimewa orang Melayu juga menjamin peruntukan biasiswa di mana penuntut-penuntut Melayu akan diberi peruntukan biasiswa yang lebih daripada penuntut bukan Melayu.

Malah, orang Melayu juga diberi bantuan ekonomi yang lebih untuk mendapat lesen atau kebenaran tertentu dalam aktiviti perusahaan serta aktiviti ekonomi berbanding kaum lain.

Pun begitu, dalam perkara ini, sekiranya ICERD dilihat melemahkan atau menghakis fungsi Perlembagaan Persekutuan, kedudukan Islam atau mana-mana hak yang sudah termaktub di dalam perlembagaan yang diguna pakai sejak dulu, kerajaan wajar untuk menolak proses meratifikasikan ICERD itu.

Dalam perkara ini, Ketua ARMADA yang juga Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut menggesa kerajaan supaya mengkaji semula cadangan meratifikasikan ICERD sama ada ia akan meletakkan undang-undang negara ke tahap sama dengan undang-undang antarabangsa yang dikhuatiri mengakibatkan keseimbangan sosio-ekonomi serta hak-hak tertentu di Malaysia mula terhakis.

KATA ORANG

KATA ANDA

Wajarkah kerajaan meratifikasikan ICERD sepertimana yang dilakukan beberapa negara lain di seluruh dunia?
1 vote · 1 answer
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN