Dua hari lalu, tular di media sosial mengenai khabar angin yang mengatakan bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak mahu menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerusi beberapa tangkap layar yang tersebar di media sosial.

Sumber: Malaysia Gazette

Dalam tangkap layar tersebut menunjukkan nama Md Salleh Md Said lengkap nombor kad pengenalan dan status permohonan ‘lulus’ untuk cabang PKR Kota Belud, Sabah dengan nombor keahlian S0300008562.

Menurut Malaysia Gazette, bekas Ketua Menteri Sabah itu juga dikatakan menyertai PKR tanpa pengetahuan atau persetujuan dari kepimpinan PKR Sabah. 

Walaupun pada awalnya, perkara itu dinafikan beliau. Namun semalam, desas desus itu terjawab apabila beliau mengesahkan ada membuat permohonan untuk menjadi ahli PKR secara dalam talian untuk pertimbangan kepimpinan parti itu.

 

Mahu Sertai PKR Demi Negara

Sumber: thereporter.my

Mengulas mengenai khabar angin tersebut, Salleh tampil memberi penjelasan mengenai tindakannnya itu yang telah menimbulkan rasa kurang senang daripada pelbagai pihak terutamanya pemimpin PKR negeri.

Katanya, keputusan untuk menyertai PKR dibuat kerana parti itu mengamalkan politik berbilang kaum dan bersesuaian dengan pegangan politik serta suasana politik di Sabah.

Malah, beliau juga ingin membantu PKR membawa politik progresif berbilang kaum yang mengutamakan kestabilan dan kesederhanaan terutamanya di negeri Sabah.

 

Permohonan Salleh Dalam Pertimbangan  

Sumber: Sinar Harian

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil mengesahkan telah menerima permohonan keahlian daripada Salleh secara dalam talian.

Bagaimanapun Biro Politik PKR akan berbincang dan memberi pertimbangan kepada perkara tersebut pada mesyuarat akan datang.

 

Undang Pelbagai Reaksi

Meskipun permohonan Salleh itu sedang dipertimbangkan namun keputusan Salleh itu menerima tentangan daripada PKR Sabah yang terkejut dengan keputusan tersebut.

Ketua PKR Cabang Semporna, Mohd Amin Abdul Mem berkata, penyertaan bekas menteri kerajaan Barisan Nasional (BN) itu amat mengejutkan dan pemimpin parti negeri lain apatah lagi beliau kini menjadi ahli PKR Cabang Kota Belud.

Jelasnya lagi, pimpinan utama negeri dan cabang terlibat perlu dimaklumkan terlebih dahulu mengenai kemasukan ini dan dapatkan pandangan agar hasrat pemartabatan tuntutan kuasa autonomi negeri diberikan kepada Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah terus mekar dan diperkasa.

Malah, beliau juga berpendirian untuk tetap tidak menerima beberapa pimpinan pembangkang berpindah-randah ke parti komponen kerajaan atas prinsip memelihara integriti kepimpinan parti dan menghormati keputusan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Namun berbeza pula dengan pandangan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang mengatakan bahawa tiada masalah untuk parti itu menerima permohonan keanggotaan Salleh memandangkan pengalaman dan latar belakang keluarga, bekas menteri itu juga boleh memperkuatkan PKR di Sabah.

 

PKR Perlu Berhati-Hati Bawa Masuk Bekas Pimpinan BN 

Dalam isu ini, mungkin ramai yang tidak akan senang duduk dengan keputusan Salleh yang mahu menyertai PKR.

Mana tidaknya, Salleh sebelum ini boleh dikatakan antara mereka yang lantang membela dan mempertahankan bekas Perdana Menteri, Najib Razak sebelum BN dan Umno tumbang pada Pilihan Raya Umum lalu.

Selepas tumbang pada pilihan raya tersebut, boleh dikatakan sebilangan besar kepimpinan Umno Sabah termasuk Salleh untuk meninggalkan parti itu pada Disember tahun lepas untuk memberi tumpuan kepada masa depan negeri berkenaan. 

Namun dalam isu ini, meskipun mana-mana ahli politik sebenarnya bebas untuk menyertai mana-mana parti politik yang dirasakan sesuai dengan mereka namun sebelum menerima mereka, ada baiknya lakukan proses tapisan terlebih dahulu. 

Perlu ditanya juga, adakah kemasukan beliau ke dalam parti ini sejajar dengan perjuangan mereka demi rakyat atau hanya untuk kepentingan peribadi mereka sendiri. 

KATA ORANG

KATA ANDA

Pada pandangan anda, apa yang menyebabkan Salleh ingin menyertai PKR?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN