Meskipun insiden yang berlaku di Pasir Gudang masih dalam siasatan namun sudah ada pihak yang cuba mempolitikkan insiden terbabit tanpa mempedulikan perasaan masyarakat di sekitarnya.

Sumber: Facebook

Sejak semalam, tersebar luas dakwaan di media sosial yang mendakwa Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin dan kementeriannya lambat bertindak dalam menangani isu pencemaran udara di Pasir Gudang.

Tuduhan itu dibuat berikutan suami Bee Yin yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif IOI Properties Group Bhd, Lee Yeow Seng, didakwa kononnya mempunyai beberapa kepentingan dalam industri di Pasir Gudang yang turut sama dikatakan terlibat dengan pencemaran yang berlaku di negeri terbabit.

Turut difahamkan, suami Bee Yin memiliki tiga kilang kimia yang terletak di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang iaitu IOI Pan Century Oleochemicals, IOI Lipid Enzymetec dan IOI Pan Century Edible Oil.

 

Yeo Nafi Tuduhan Sebagai Fitnah

Sumber: sinar harian

Menjawab tuduhan yang dilemparkan ke atas diri dan suaminya, Bee Yin menyelar tuduhan itu sebagai tidak benar dan menganggap ia sebagai satu penghinaan kepada ratusan pegawai kerajaan dari semua agensi yang terbabit dalam menangani insiden di Pasir Gudang.

Katanya, tindakan sebuah portal pembangkang yang cuba mempolitikkan insiden berkenaan adalah sesuatu yang jijik dan keji kerana tidak mengambil kira perasaan dan trauma yang dialami oleh ibu bapa dan kanak-kanak yang terkesan dengan situasi ini.

Atas dakwaan kotor itu, beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan fitnah yang mengaitkannya dengan kilang milik suaminya.

 

Undang Pelbagai Reaksi

Biarpun sudah menafikan dakwaan tersebut, namun rakyat tetap mahu tahu perkara sebenar yang mana mereka turut menggesa agensi terlibat untuk menyiasat kilang yang kononnya dikaitkan dengan suaminya tanpa prejudis.

Mana tidaknya, sudah dua kali kejadian seumpama ini berlaku sehingga menjejaskan kehidupan masyarakat setempat terutamanya di Pasir Gudang yang sepatutnya tidak berulang.

Sekiranya benar kilang suaminya tidak terlibat, maka pihaknya perlu memberi penjelasan kepada orang ramai untuk mengelakkan sebarang kekeliruan dan salah faham yang dijadikan modal oleh pembangkang untuk menyebarkan fitnah untuk memburukkan kerajaan.

 

Di Pasir Gudang Sahaja Terdapat 2,005 Kilang

Mengikut rekod, di sekitar Pasir Gudang sahaja terdapat sekurang-kurangnya 2,005 kilang yang mana 250 daripadanya adalah kilang kimia.

Sumber: Sinar Harian

Malah, kesemua 250 kilang yang mengendalikan bahan-bahan kimia tersebut juga akan diperiksa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Walaupun kilang IOI itu sudah lama wujud dan menjadi tular baru-baru ini disebabkan isu pencemaran sehingga ada pihak yang berani mengambil kesempatan menyebar fitnah untuk kepentingan politik mereka.

Perlu diingat, fitnah itu bukanlah penyelesaian terhadap sesuatu masalah malah lagi mengeruhkannya. Biarlah kerajaan serta beberapa agensi terlibat menjalankan kerja mereka kerana cepat atau lambat, kita tetap akan tahu siapa dalang disebalik insiden ini.

Pihak pembangkang pula janganlah jadi batu api untuk memburukkan lagi keadaan dengan mengambil kesempatan terhadap insiden yang berlaku ini untuk kepentingan politik mereka semata-mata.

KATA ORANG

KATA ANDA

Apa pandangan anda mengenai fitnah yang dilemparkan terhadap Yeo Bee Yin ini?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN