Sumber: Cempedak Cheese

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah nasib yang menimpa seorang wanita dan dua orang anaknya yang terpaksa bermalam di lobi Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh sejak dua minggu lalu disebabkan tidak mampu menyewa mana-mana bilik.

Wanita yang dikenali sebagai Sarina Endut difahamkan hanya bertugas sebagai tukang cuci di sebuah sekolah di Temerloh dan mengalami masalah kesempitan wang semenjak suaminya, Jamaluddin Uyun dimasukkan ke dalam wad akibat menghidap kanser usus sejak 24 Julai lalu.

Disebabkan tiada wang untuk berulang alik dari rumah dan tiada siapa yang mampu menjaga anaknya, dia membuat keputusan untuk tidur sahaja di lobi hospital tersebut beralaskan kotak sehingga seorang netizen yang kebetulan berada di situ memuat naik kisah keluarga ini di media sosial.

 

Undang Pelbagai Reaksi  

Kisah tiga beranak ini bagaimanapun mendapat perhatian daripada pelbagai pihak termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah.

Rata-rata netizen di media sosial dilihat bersimpati terhadap nasib yang menimpa keluarga ini. Malah, ada yang sudi membantu termasuklah dari segi kewangan bagi memudahkan segala urusan mereka.

Sumber: Sinar Harian

Tidak kurang juga ada yang turut menyalahkan pihak hospital yang seolah-olah tidak mengambil berat terhadap keadaan keluarga ini yang terpaksa tidur di atas lantai hampir dua minggu!

Jika dilihat komen-komen yang ditulis netizen, ramai sebenarnya yang pernah melalui nasib yang sama seperti keluarga ini setiap kali mendapatkan rawatan di hospital kerajaan di mana mereka terpaksa duduk di lobi, koridor, ruang surau dan bangku ruang menunggu untuk dijadikan tempat berehat dan tidur.

Timbul juga persoalan bahawa tidak cukup lagikah kemudahan khas serta fasiliti yang terdapat di hospital kerajaan sehingga dilihat sangat tidak mesra pengguna atau perkhidmatan khas ini sememangnya ada, cuma orang ramai sahaja yang tidak tahu akan kewujudannya?

 

Pihak Hospital Sudah Menawarkan Bilik

Selepas kisah keluarga ini menjadi tular, semua pihak menghulurkan sumbangan termasuk pihak hospital HoSHAS yang difahamkan sudah menawarkan sebuah bilik yang selesa kepada keluarga ini.

Gambar sekadar hiasan

Dalam isu ini, jelas sekali menyangkal dakwaan bahawa hospital kerajaan tidak mesra pengguna disebabkan tiada kediaman sementara kepada waris pesakit.

Untuk pengetahuan anda, sesetengah hospital kerajaan itu sebenarnya ada menyediakan kediaman sementara yang dipanggil ‘Anjung Kasih’ iaitu penginapan percuma yang diberi kepada waris pesakit yang menerima rawatan di hospital.

Mungkin, orang ramai sahaja yang tidak tahu akan kewujudan ruang tersebut hingga menuding jari pada sebelah pihak sahaja tanpa usul periksa.  

 

Fakta Mengenai Anjung Kasih

Kemudahan khas ini sebenarnya sudah lama diwujudkan sejak pemerintahan kerajaan terdahulu lagi sebagai komitmen berterusan dalam membantu meringankan beban rakyat.

Namun, kemudahan khas tersebut hanya disediakan untuk keluarga yang kurang berkemampuan dari kawasan pedalaman seluruh negara yang mana penyelia akan memastikan waris yang dibenarkan menginap itu adalah dalam kalangan yang menjaga pesakit kronik seperti kanser dan sakit jantung.

Sumber: ikimfm.my

Difahamkan, kemudahan khas ini menyediakan penginapan selama tujuh hari untuk lima waris setiap kali mengemukakan permohonan. Sekiranya mahu menetap dengan lebih lama, mereka hanya perlu memperbaharui sahaja permohonan tersebut. 

Selain itu, hasil kaji selidik juga mendapati kemudahan ini dapat membantu waris pesakit melakukan penjimatan purata antara RM80 hingga RM100 sehari bagi kos penginapan.

Setakat tahun 2017, Anjung Kasih telah disediakan di Hospital Selayang, Hospital Tengku Ampuan Afzan, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Hospital Tuanku Ja’afar, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Hospital Umum Sarawak, Hospital Miri, dan Hospital Sibu.

Turut difahamkan, akan ada penambahan lima lagi Anjung Kasih di seluruh negara sepanjang tahun ini iaitu di Hospital Tuanku Fauziah yang difahamkan sudah siap dibina dan akan dibuka pada bila-bila masa.

Manakala empat lagi kemudahan Anjung Kasih akan dibina dan dijangka siap tahun iaitu di Hospital Sultanah Bahiyah, Hospital Sultanah Aminah, Hospital Duchess of Kent Sandakan dan Hospital Melaka.

 

Perlu Hebahkan Kemudahan Ini Kepada Orang Awam

Dalam kes sebegini, orang ramai masih lagi dilihat tidak begitu cakna mengenai kemudahan yang disediakan di hospital kerajaan.

Apa yang berlaku terhadap kisah tiga sekeluarga ini mungkin boleh dijadikan panduan buat kerajaan untuk menghebahkan maklumat sebegini secara lebih ‘terang’ di media sosial kepada orang awam supaya mereka tahu akan kewujudan kemudahan seperti ini. 

Jadi, tidaklah nanti ada yang memburukkan nama hospital kerajaan dengan tuduhan di mana tidak mempunyai fasiliti yang mencukupi terutama sekali kerusi menunggu pesakit dan rumah pelawat hingga menyusahkan banyak pihak. 

KATA ORANG

KATA ANDA

Pada pandangan anda, patutkah kerajaan membuat hebahan mengenai kemudahan Anjung Kasih ini kepada orang awam bagi mengelak tuduhan yang memburukkan nama hospital kerajaan?
5 votes · 5 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN