Sumber: Sinar Harian

Seruan daripada Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah agar Bahasa Melayu dimartabatkan dan menjadi bahasa kedua ASEAN merupakan suatu perkembangan positif. Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Makan Malam yang meraikan deligasi perwakilan Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM).

Perkara ini wajar memandangkan lebih separuh daripada penduduk Asia Tenggara iaitu seramai 400 juta penduduk menutur Bahasa Melayu secara meluas. Usul tersebut pernah dibawa oleh Bekas Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Malaysia Tan Sri Dr Rais Yatim pada tahun 2017.

Idea Sejak 1980

Sebenarnya, cadangan sebegini bukanlah perkara baru. Ia sudah diperkatakan semenjak tahun 1980 lagi. Pada tahun 1980, idea menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN telah dikemukakan oleh Awang Sariyan dan kemudiannya dibicarakan dalam Pertemuan Pakar Sastera Rakyat di Filipina pada tahun 1991. Usul di peringkat ASEAN juga turut dikemukakan semenjak tahun 1991.

Sumber: Okezone

Walau bagaimanapun tidak mendatangkan sebarang hasil sehingga kini. Malah, ketika Tan Sri Mohd Yusof Hitam menjawat jawatan sebagai ketua pengarah ASEAN selama 6 tahun pun, usul ini tidak berjaya dilakukan. Maka persoalan timbul, kenapa masih gagal?

Terdapat satu penulisan Wong Chin Huat di The Malaysian Insider yang menarik perhatian. Bagi beliau masalah yang berlaku hari ini ialah ramai pejuang bahasa suka membincangkan penggunaan bahasa dan berangan penggunaannya boleh dipaksakan.

Dirasmikan Atau Dipaksakan Bahasa?

Beliau turut mempersoalkan, apakah kekuatan kita memaksa orang menggunakan bahasa kita? Ia memandangkan tarikan utama penggunaan sesuatu bahasa didorong kepada kebergunaan (usefulness) dan kebolehgunaan (usability) itu sendiri.

Sumber: Kosmo

Bagaimana kita ingin membina kebergunaan dan kebolehgunaan Bahasa Melayu? Jawapannya mudah, sekiranya sesuatu bahasa membawa nilai atau manfaat kepada penggunanya sudah pasti ia menjadi tarikan. Misalnya boleh didapati menerusi tarikan budaya kita kepada orang luar.

Kita mengambil contoh bahasa Korea. Bahasa tersebut sangat asing bagi kita kerana hanya dipertuturkan di 2 wilayah di timur laut China, malah tidak banyak manfaat kewangan sekiranya mempelajari bahasa Korea. Tetapi, kenapa ramai anak muda tertarik dengan bahasa itu?

Sumber: Allkpop

Bagaimana Bahasa Korea Menjadi Tarikan

Jawapannya mudah, kerana penangan industri K-pop, hiburan dan perfileman mereka yang berjaya mempengaruhi dunia. Malah, babak lakonan yang berkesan menyebabkan ramai di kalangan rakyat Malaysia berpusu-pusu ingin berkunjung dan bercuti di sana.

Bagi India, kejayaan industri filem dan lagu-lagu Bollywood memberi reaksi positif ramai pihak sehinggakan ungkapan-ungkapan Hindi dipelajari ramai pihak termasuk di Malaysia. Secara jelas, faktor tarikan dan keseronokan menjadi punca utama yang menyebabkan bahasa tersebut diminati ramai.

Maka persoalan baru timbul, adakah Bahasa Melayu mempunyai ciri-ciri seperti ini di peringkat ASEAN? Jawapannya ialah tidak. Negara-negara berbahasa Melayu masih jauh untuk ke arah itu. Begitu juga dengan dunia ilmiah. Tidak banyak penulisan-penulisan ilmiah ditulis dalam bahasa Melayu. Melainkan di Indonesia.

Karya Penulisan Melayu Masih ‘Di Eksklusif’

Perkara ini yang menyebabkan bahasa Melayu tidak mempunyai tarikan tersendiri. Ditambah pula dengan peranan pihak berkuasa yang eksklusif menyekat penulisan-penulisan bahasa Melayu yang agak terbuka. Buku-buku tulisan penulis tempatan misalnya memikat penerbit dari Jerman, Itali, Sepanyol sehinggalah ke China. Namun digugurkan dari senarai Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM).

Sumber: Bukanaku.com

Adakah disebabkan latar belakang penulis yang kontroversi, dan karya mereka yang lain daripada yang lain maka wajar disekat? Tidak cerdik lagikah rakyat Malaysia dalam menilai sesuatu perkara?

Bagaimana kebergunaan Bahasa Melayu boleh dipertingkat sekiranya hasil minda perlu dipolisi dan dihalang daripada diketahui sedunia? Bagaimana pula kita mampu menganjurkan perdebatan hebat yang menjadi tarikan semua kaum sekiranya tema-tema dan terma tertentu disekat.

Penapisan sebenarnya hanya menjejaskan kebolehgunaan Bahasa Melayu itu sendiri kerana tiada idea-idea baru serta sudut pandang berbeza yang akan menarik ramai pihak. Sampai bila dasar ini harus berlarutan?

Maka, usaha menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN akan sentiasa gagal sekiranya tiada tarikan berkesan yang mampu ditonjolkan. Industri hiburan dan perfileman kita masih jauh, karya penulisan kita juga masih lagi bersifat eksklusif. Jangan kita memaksakan bahasa yang belum menjadi minat masyarakat di Asia Tenggara.  

KATA ORANG

KATA ANDA

Apakah penyebab Bahasa Melayu sukar dimartabat ke peringkat ASEAN?
2 votes · 2 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN