Setiap pasangan yang mendirikan rumahtangga pasti mengimpikan untuk mempunyai zuriat sendiri bagi melengkapkan kehidupan suami isteri.

Tetapi tidak semua yang bernasib baik untuk mempunyai anak walaupun telah berkahwin lebih dari lima tahun atas banyak faktor terutama faktor kesihatan.

Namun, mereka mempunyai alternatif lain untuk mendapatkan anak dengan mengambil anak angkat.

Sekurang-kurangnya anak yang tidak bernasib baik ini boleh dibela dan dijaga dengan kasih sayang sepenuhnya.

Walaubagaimanapun proses untuk mengambil anak angkat tidaklah semudah yang disangka kerana ia perlu menempuh banyak proses tertentu dan mengambil masa yang agak panjang.

Kaedah Pengambilan Anak Angkat

Untuk pengetahuan, terdapat 2 jenis pengambilan anak angkat di Malaysia, iaitu kaedah secara langsung, dan melalui Jabatan Kebajikan (JKM).

Di bawah kaedah secara langsung, pasangan boleh menghubungi ibu kandung yang bakal melahirkan anaknya. Kedua-dua pihak dikehendaki menandatangani akuan bersumpah yang memperincikan syarat pengambilan anak angkat.

Jika anda ingin memohon pengambilan anak angkat melalui permohonan di JKM, anda boleh membuat permohonan melalui surat, faks, telefon, email atau datang sendiri ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) di tempat anda bermastautin.

Akan tetapi, anda tetap perlu melalui proses pengambilan dari perintah mahkamah.

Selain daripada mengisi borang permohonan, satu temu duga akan dijalankan untuk menentukan sama ada pasangan tersebut mampu dan layak menjadi keluarga angkat kepada bayi yang ingin diambil itu.

 

Habiskan Ribuan Ringgit Untuk Ambil Anak Angkat

Disebabkan proses yang rumit dan tempoh masa yang agak panjang, ada juga pasangan yang bertindak mengambil anak angkat melalui ejen yang diiklankan di media sosial.

Melalui laporan oleh portal Free Malaysia Today mendapati, beberapa laman Facebook yang menawarkan perkhidmatan mengambil anak angkat di setiap negeri menemui kejayaan apabila sebilangan besar pasangan berkahwin berjaya mendapatkan bayi angkat kurang daripada tempoh 2 bulan.

Salah seorang pasangan yang menggunakan khidmat ejen ini berkata, mereka sanggup menghabiskan puluhan ribu ringgit demi mendapatkan seorang bayi angkat daripada memilih Jabatan Kebajikan Masyarakat sebagai agensi yang boleh memenuhi hasratnya itu.

Gambar Hiasan

Katanya, sebanyak RM9,000 dihabiskan untuk membayar kos bersalin ibu kandung anak angkatnya itu di hospital swasta. Manakala RM5,000 diberikan kepada ibu kandung dan ejen sebagai saguhati, 2 minggu selepas anak angkat tersebut dilahirkan.

Walaupun ambil melalui ejen, mereka juga mempunyai syarat yang ditetapkan antaranya ibu kandung anak angkat tersebut perlu berpantang di rumah pasangan itu selain ibu bapa angkat tidak boleh bertanyakan soalan peribadi mengenai ibu bapa kandung bayi dan tidak boleh berhubung dengan ibu bapa kandung selepas tempoh pantang tamat.

 

Wajib Kursus Keibubapaan Sebelum Ambil Anak Angkat

Tanggungjawab sebagai ibu bapa bukanlah tugas yang mudah terutama mereka yang belum pernah mempunyai pengalaman ada anak.

Disebabkan itu, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bercadang mewajibkan semua pasangan suami isteri yang belum dikurniakan zuriat, tetapi berhasrat mengambil anak angkat menjalani kursus khas keibubapaan.

Ketua Pengarahnya, Abdul Shukur Abdullah, berkata kursus itu sebagai syarat wajib yang perlu dipenuhi pasangan suami isteri sebagai persediaan mental, fizikal dan psikologi mereka.

Katanya, LPPKN mahu pasangan yang ingin mengambil anak angkat diperlengkapkan dengan ilmu keibubapaan supaya pasangan dan keluarga bersedia untuk menerima ahli baru di dalam keluarganya

Ini adalah satu inisiatif yang perlu disokong kerana dapat membantu mengelakkan ibu bapa yang tidak bersedia atau tidak bertanggungjawab terhadap anak angkat tersebut kelak.

 

Apa Yang Boleh dan Tidak Dalam Islam

Bagi pasangan yang beragama Islam, mereka juga perlu mengetahui hukum-hukum apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan terhadap anak angkat kerana status anak angkat tidak sama seperti anak kandung.

Antaranya tidak boleh dinisbahkan dengan nama ayah angkat. Mereka tetap perlu di bin atau bintikan dengan nama bapa kandung mereka.

Firman Allah SWT; Panggillah mereka (anak-anak angkat itu) dengan (memakai) nama bapa-bapa (kandung) mereka; itulah yang lebih adil di sisi Allah, dan jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka (panggilah mereka sebagai) saudara-saudaramu seagama dan maula-maulamu Dan tidak ada dosa bagimu terhadap apa yang kamu salah padanya, tetapi (yang ada dosanya adalah) apa yang disengaja oleh hatimu. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Selain itu, seseorang anak angkat tidak boleh mewarisi harta pusaka ibu atau ayah angkatnya. Namun jika mahu diberikan sebagai hadiah atau sedekah tidak ada sebarang kesalahan, tetapi tidak boleh melebihi 1/3 jumlah harta keseluruhan si mati itu.

Anak angkat juga bukanlah mahram. Apabila mencapai usia baligh, wajib antara anak angkat itu dengan keluarganya menutup aurat, seperti mereka berhijab ketika di hadapan orang yang bukan mahram lainnya kecuali anak angkat tersebut merupakan anak susuan ibu angkatnya.

Bagi anak angkat perempuan pula, Bapa angkat tidak boleh menjadi wali dalam proses diijab kabulkan. Hukumnya adalah haram.

 

 

 

KATA ORANG

KATA ANDA

Jika ditakdirkan anda untuk mengambil anak angkat, adakah anda akan ambil dari JKM atau ejen?
3 votes · 3 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN