Semalam, kecoh di media sosial mengenai penularan gambar Ahli Parlimen Labis, Pang Hok Liong yang didakwa menggunakan masjid sebagai alat penyebaran dakwah politik pada 10 Mei yang lalu.

Sumber: Malaysia Chronicle

Gambar yang tular itu sekaligus telah menimbulkan rasa kurang senang di kalangan masyarakat Islam kerana dikatakan telah mencemarkan kesucian masjid dan mengancam kedudukan Islam sebagai agama negeri Johor Darul Ta’zim.

Mana tidaknya, awal Ramadan yang lalu, Jabatan Agama Islam Negeri Johor telah mengeluarkan pekeliling larangan berceramah di mana-mana surau atau masjid di seluruh negeri Johor.

Biarpun arahan dibuat, namun masih ada yang berani melanggar pekeliling tersebut sehingga mengundang murka Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

 

Nafi Berpolitik

Meskipun ramai yang mengecam hebat tindakan ahli politik DAP itu, Pang menafikan dakwaannya berceramah politik sebagai tidak benar sama sekali.

Sumber: Utusan Online

Menurutnya, beliau hadir ke masjid hanya untuk mengumumkan peruntukan kepada surau dan masjid di kawasan Labis sempena Ramadan.  Perkara itu dilakukan tidak sampai tiga minit selepas dijemput pihak pengurusan masjid untuk berbuat demikian.

Dalam masa yang sama, Pang juga mendakwa dia tidak tahu mengenai pekeliling dikeluarkan Maij yang melarang seseorang ahli politik untuk berucap di masjid Johor.

Namun beliau sedia memohon maaf kepada Sultan Johor sekiranya benar-benar didapati melakukan kesalahan semasa membuat pengumuman di masjid tersebut.

 

MB Nasihat Wakil Rakyat Supaya Peka

Sumber: The Star

Disebabkan isu yang tular itu, Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal turut menasihati setiap wakil rakyat di negeri itu supaya peka terhadap undang-undang, peraturan dan pekeliling dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan yang berkuatkuasa di dalam negeri tersebut.

Katanya, beliau sudahpun bermesyuarat bersama Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan pekeliling mengenainya perkara itu juga sudah diberi ke semua ahli politik yang mana mereka tidak dibenarkan mengadakan sebarang ucapan atau ceramah di dalam dan kawasan persekitaran masjid.

 

Salahuddin Ayub Juga Pernah Terpalit Isu Ini

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pulai merangkap Menteri Pertanian dan Asas Tani, Salahuddin Ayub juga pernah terpalit dengan isu yang sama di mana beliau didakwa telah memberi ucapan berunsur politik di sebuah masjid di Johor Bahru sehingga dikritik pelbagai pihak.

Namun, beliau menafikan perkara itu dan turut menegaskan bahawa dirinya sentiasa mengambil maklum mengenai larangan dan tahu mengenai adab ketika berada di tempat ibadat untuk tidak memberi ceramah politik.

Jelas sekali, tidak mengira bangsa dan agama sekalipun, undang-undang di Johor sama sekali dilihat berbeza di negeri-negeri yang lain yang mana negeri tersebut amat mementingkan kesucian masjid serta kedudukan Islam itu sendiri.

 

Tidak Salah Beri Bantuan, Tapi….  

Dalam hal ini, tidak menjadi satu kesalahan bagi mana-mana pemimpin yang hadir ke masjid atau surau untuk menghulurkan bantuan kerana amalan tersebut dibuat tanpa mengira latar belakang agama dan kaum.

Sumber: https://johorpress.com

Takkan lah semua sumbangan yang dilakukan di rumah ibadat, semuanya perlu dikaitkan dengan politik semata-mata bukan?

Sekiranya tidak diberi secara menyeluruh dan sama rata, nanti dikatakan berat sebelah pula.

Apa-apa pun, dalam Islam sendiri, tidak melarang mana-mana orang yang bukan Islam untuk masuk ke dalam kawasan masjid asalkan mereka mematuhi segala garis panduan yang ditetapkan dan berpakaian menutup aurat.

Tetapi, apabila Sultan sudah bertitah dan arahan pekeliling sudah dikeluarkan, adalah lebih baik sekiranya apa-apa aktiviti itu dilakukan di luar kawasan masjid bagi mengelak daripada menjadi mangsa fitnah dan tohmahan pihak lain.

KATA ORANG

KATA ANDA

Pada pandangan anda, adakah tindakan Pang ini salah?
3 votes · 3 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN