Sumber: MNM Primula Hotel

Dalam masa selang beberapa hari, negeri Terengganu telah menjadi bualan bagi masyarakat Malaysia.

Bermula dari kemunculan sepasang ikan paus di perairan laut Terengganu, diikuti dengan kewujudan dua ekor harimau yang merayap di kawasan perkampungan Bukit Besi, Terengganu.

Pertama Kali Paus Di Terengganu

Lebih manis, kemunculan ikan paus merupakan pertama kali berlaku. Memetik laporan Harian Metro, berdasarkan laporan rekod di FRI dan Jabatan Perikanan Malaysia, paus tidak pernah melalui perairan negeri ini dan tersenarai dalam jadual spesis mamalia marin yang terancam.

Sumber: Harian Metro

Ikan paus pembunuh atau nama saintifiknya Orcinus orca dikelaskan dalam kumpulan ikan lumba-lumba namun saiznya lebih besar daripada saiz ikan lumba-lumba biasa.

Kemunculan ikan tersebut berjaya dirakam selama 30 saat oleh seorang kakitangan Petronas di pelantar minyak Dulang.

Kemunculan Harimau Di Bukit Besi

Belum reda kemunculan ikan paus, secara tiba-tiba rakyat Malaysia dikejutkan pula dengan kewujudan dua ekor harimau di kawasan perkampungan Besol Lama, Bukit Besi. Perkara itu disedari oleh seorang penduduk kampung yang sedang melakukan kerja-kerja membaiki rumah.

Apa yang menarik, haiwan itu dikatakan jinak kerana tidak bertindak agresif terhadap orang ramai. Namun begitu ia menimbulkan kemusykilan di kalangan masyarakat. Sehinggakan, ada yang beranggapan harimau tersebut dilepaskan oleh pemeliharanya ke hutan.

Sumber: Media Selangor

Memetik laporan Berita Harian, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Dr Abdul Malek Mohd Yusof, berkata sifat jinak haiwan tersebut mungkin disebabkan faktor penyakit yang menyebabkan ia kelihatan kurang bertenaga sehingga terpaksa dilepaskan ke dalam hutan.

Dijadikan Bahan Hiburan dan Jenaka?

Sungguhpun kehadiran harimau lebih menjadi bualan rakyat Malaysia, berbanding ikan paus, kewujudan haiwan tersebut telah dijadikan bahan jenaka oleh sesetengah pihak.

Disebabkan harimau menjadi lambang syarikat perbankan Maybank, ada yang secara berjenaka mendakwa kehadiran haiwan tersebut bertujuan untuk memburu mereka yang tidak membayar hutang di perkampungan terbabit.

Persoalannya, adakah wajar perkara-perkara yang berbahaya seperti ini dijadikan bahan jenaka oleh rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi sekiranya melibatkan nyawa dan haiwan terancam?

Sumber: Malaysia One News

Begitu juga dengan kehadiran orang ramai yang ingin menyaksikan haiwan tersebut secara dekat. Perlu diingat, sejinak mana pun haiwan tersebut tentu akan berasa terancam, lebih-lebih lagi sekiranya dikerumuni oleh orang ramai.

Adakah kita mampu menjamin keselamatan kita sekiranya harimau muncul di depan mata?

Harimau dan Paus Haiwan Terancam Yang Dilindungi Undang-Undang

Harimau merupakan haiwan yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan diletakkan di bawah Senarai Merah Spesies Terancam Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN).

Disebabkan harimau menjadi simbol kebanggaan negara, pihak Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli telah melancarkan program Selamatkan Harimau Malaya. Ini memandangkan jumlah harimau di negara kita kini kurang dari 200 ekor berbanding 3,000 ekor pada tahun 1950-an. https://harimau.my/

Begitu juga dengan ikan paus yang merupakan spesis ikan marin terancam di dunia. Oleh itu Jabatan Perikanan Malaysia akan melindungi spesis tersebut melalui penguatkuasaan Seksyen 27, Akta Perikanan 1985 mengenai Mamalia Akuatik atau Penyu di Perairan Perikanan Malaysia dan Peraturan-Peraturan Perikanan (Pengawalan Spesis Ikan Yang Terancam) 1999 (Pindaan) 2019.

Sebagai masyarakat yang prihatin, adalah menjadi tugas kita melindungi spesis-spesis terancam untuk terus bertahan bagi kelangsungan hidup. Kepupusan badak sumbu terakhir negara beberapa bulan yang lalu merupakan berita sedih buat kita semua.

Sekiranya terdapat mana-mana pihak yang terlihat dan menjumpai spesis haiwan-haiwan terancam, sila segera laporkan kepada pihak berkuasa tempatan.

KATA ORANG

KATA ANDA

Apakah yang anda fikirkan tentang kehadiran kedua-dua haiwan terancam ini dalam masa yang sama?
5 votes · 5 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN