Sumber: International Sindonews

Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi diramal bakal meneruskan tampuk pemerintahan sehingga 2030. Ini kerana, Parlimen Mesir yang dipenuhi oleh pembuat dasar yang setia kepada beliau bakal mengundi pindaan perlembagaan bagi mengekalkan kuasa Presiden sehingga 2030.

Sungguh pun sebelum ini beliau tidak berhasrat mengubah perlembagaan dan mengehadkan jawatan presiden untuk dua penggal, hakikatnya ia cuma cakap-cakap politik semata. Ditambah pula perkara tersebut dizahirkan sewaktu diwawancara oleh wartawan CNBC.

Sumber: The East African

Usul Dikemukakan Seorang Ahli Parlimen

Usul meminda perlembagaan dikemukakan oleh seorang anggota parlimen bebas Ismael Nasreddine pada Februari lalu. Beliau mengusul pindaan Artikel 140 perlembagaan bagi membolehkan al-Sisi terus berkuasa.

Pindaan ini bakal menyaksikan Mesir akan mendapat kritikan hebat dari dalam dan luar negara khususnya pejuang hak asasi, kerana cuba membawa Mesir ke kancah pemerintah autokrasi. Dalam masa yang sama pengaruh tentera dikhuatiri akan menjadi lebih dominan dalam politik Mesir.

Sumber: Cahyono

Pemerintahan Penuh Kontroversi

Pemerintahan al-Sisi penuh dengan pelbagai kontroversi. Beliau merupakan Jeneral Tentera yang menjadi individu yang bertanggungjawab menggulingkan presiden Mohamad Mursi. Tindakan tersebut tidak wajar memandangkan Mursi merupakan satu-satunya presiden Mesir dipilih secara demokrasi oleh rakyat dan baru satu tahun memegang kuasa pemerintahan.

Sungguhpun al-Sisi sudah dilantik secara sah melalui pilihan raya pada tahun 2014, namun pilihan raya tersebut terpalit dengan pelbagai kontroversi yang membolehkan beliau memenangi jawatan presiden Mesir.

Mengharamkan Ikhwan Muslimin

Dalam masa yang sama, dasar beliau dilihat sangat keras. Sejak merampas kuasa, al-Sisi mengetuai tindakan keras terhadap puak Ikhwan Muslimin (IM) yang menyaksikan ratusan orang terbunuh manakala ribuan yang lain dipenjarakan.

Buktinya pada 2014, seramai 529 penyokong Mursi dan IM ditahan. Malah tangkapan sekitar 700 orang pengikut IM termasuk pemimpin penting dilihat percubaan melenyapkan pergerakan politik IM. Tindakan ini sangat kejam dan menyerlahkan kediktatoran pemerintahan al-Sisi.

Sumber: Astro Awani

Kawal Internet Dan Media Sosial

Pada Julai lalu, beliau menguatkuasakan undang-undang mengetatkan kawalan ke atas internet dengan membenarkan pihak berkuasa memantau pengguna media sosial.

Dengan itu, Majlis Tertinggi bagi Peraturan Media mempunyai kuasa mengawasi pengguna media sosial termasuk blog dan web peribadi yang mempunyai lebih daripada 5,000 pengikut.

Malah, menurut Persatuan Kebebasan Pendapat dan Ekspresi, lebih daripada 500 laman web disekat di Mesir sebelum undang-undang baru diperkenalkan. Jelas dapat dilihat, tindakan tersebut tidak mencerminkan sebuah negara demokrasi.

Ekonomi Mesir Merosot

Keadaan ekonomi Mesir juga tidak begitu baik. Rakyat Mesir ketika ini terus menderita kerana kekurangan bekalan makanan dan bekalan air lebih daripada 8 bulan yang lalu. Jika ada pun, harga barang pada paras yang lebih mahal.

Pemerintahan al-Sisi terus memanipulasikan jumlah hutang bagi meredakan kerisauan rakyat. Dalam masa yang sama, pelbagai ramalan dan indikator makroekonomi negara tersebut hanya memaparkan angka-angka positif bagi membuktikan keberkesanan pemerintah.

Ternyata sejarah sedang berulang. ‘Mesir Baru’ yang dibawa oleh al-Sisi tidak banyak berubah. Mesir bakal kembali ke pemerintahan autokrasi. Dari Hosni Mubarak pemerintahan ini bermula, kepada al-Sisi pemerintahan ini kembali semula. Maka, malanglah nasib rakyat Mesir hari ini.

KATA ORANG

KATA ANDA

Pada pandangan anda, mengapa sistem demokrasi gagal di Mesir?
1 vote · 1 answer
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN