Terma ‘fake news’ , berita palsu atau tidak benar semakin mendapat perhatian dunia selepas akta itu dipopularkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Biarpun tindakan penyebaran maklumat palsu bukan satu fenomena baru, masyarakat global dilihat terpanggil untuk mengambil langkah tertentu untuk membendungnya.

Negara kita juga tidak terkecuali untuk turut sama mempunyai Akta Anti Berita Tidak Benar dalam menghadapi pelbagai cabaran dan ketidaktentuan politik lebih-lebih lagi ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Pada ketika itu, hampir setiap hari masyarakat akan disajikan dengan pelbagai berita, maklumat atau desakan yang tidak benar dari orang luar yang sengaja mahu mengelirukan orang ramai bagi menjayakan misi mereka.

Bukan itu saja, hingga ke hari ini, kita masih lagi dikelirukan oleh maklumat yang tidak benar terutama di media sosial sehingga ada yang sanggup menciplak berita yang disampaikan pihak media dengan memutar belit fakta serta isi di dalamnya.

Jika dilihat di laman Twitter misalnya, cukup banyak maklumat yang tidak benar disajikan kepada pengguna hingga ada yang sanggup menggunakan nama sama seperti media rasmi iaitu ‘Astrol Awatni’ yang semakin mendapat perhatian masyarakat.

Tetapi di sebaliknya, ada juga media yang masih lagi dipegang oleh kuasa politik sehingga mengugat kedudukan kerajaan yang sedia ada hingga isu tersebut diberi perhatian oleh kerajaan untuk memberi kebebasan kepada media dan penyaluran maklumat telus dan adil kepada rakyat.

Isu ini menjadi buah mulut rakyat kerana ramai beranggapan jika akta ini dimansuh atau dihapuskan ianya dikhuatiri memberi kesan kepada masyarakat sekaligus boleh memporak perandakan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

 

Apakah itu Akta Anti Berita Tidak Benar 2018?

Sumber: Free Malaysia Today

Akta ini mendapat perhatian Dewan Negara malah ianya telah diluluskan pada 3 April 2018 yang mana ianya menunjukkan tahap serius kerajaan terdahulu dalam menangani masalah penyebaran berita tidak benar terutama ketika perkembangan teknologi moden pada masa kini.

Rang undang-undang (RUU) itu telah dibentangkan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said yang diperkenal untuk mengekang penularan berita tidak benar.

Akta berkenaan juga memberi definisi ‘berita tidak benar’ dengan merangkumkan apa-apa berita, maklumat, data dan laporan, yang sebahagian atau keseluruhannya palsu, sama ada dalam bentuk rencana, visual, atau rakaman audio atau dalam apa-apa bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau idea.

Akta ini juga turut memperuntukkan denda maksimum RM500,000 dan penjara sehingga enam tahun diwartakan mulai 11 April lalu.

Namun, ketika persidangan di Dewan Negara baru-baru ini, kerajaan Pakatan Harapan menolak akta berkenaan dan pemansuhan akta itu juga telah diluluskan di Dewan Negara pada 16 Ogos lalu.

 

Adakah Akta Ini Wajar Dimansuhkan?

Sumber: Malaysia Kini 2.0

Walaupun akta berkenaan diperkenalkan oleh kerajaan terdahulu namun kerajaan baru kini masih lagi membuat kajian penuh berdasarkan keperluan sebenar dan bukan dipengaruhi sentiment politik dari luar mahupun dalam.

Jika kita lihat kembali apa yang sudah berlaku ketika PRU-14 yang lalu, adakah kita merasakan wajar untuk akta ini dihapuskan? Dan adakah ia boleh menjamin kehidupan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum?

Pun begitu, mungkin kerajaan PH mempunyai alasan mengapa akta itu perlu dimansuh kerana skop definisi akta tersebut terlalu luas dan perlu ditambah baik dengan mengambil kira tuntutan semasa dan kajian mendalam sebelum ianya dilaksanakan semula.

 

Kes Pertama Akta Anti Berita Tidak Benar 2018

Sumber: KLXpress

Selepas akta itu dikuatkuasakan, Johor mencatatkan kes pertama akta berkenaan dengan penularan gambar yang dimuatnaik di media sosial memperkatakan bahawa Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan memberi bantuan di beberapa pasar raya sehingga RM200 di Pontian dan beberapa daerah lain.

Maklumat tidak benar yang tersebar luas itu menyebabkan orang ramai menyerbu pasaraya Econsave dan keadaan menjadi kelam kabut.

Walaupun akta ini sudah dimansuhkan, masyarakat dinasihat untuk tidak meneruskan niat jahat dengan menularkan maklumat palsu di media sosial kerana mana-mana saman yang dibuat oleh pihak tertentu masih lagi diguna pakai dan sah.

Sebagai masyarakat yang bertamadun, kita perlu menyemak kesahihan sesuatu maklumat atau berita tersebut dan jangan mudah percaya dengan apa yang disampaikan di media sosial.

Jika tidak mahu membinasakan diri sendiri, jangan sesekali berkongsi maklumat tidak benar malah orang ramai boleh menyemak sebarang maklumat yang tular di menerusi portal sebenarnya.my.

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah dengan pemansuhan akta ini akan menyebabkan ramai pihak mengambil kesempatan menyebarkan maklumat palsu kepada orang ramai?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN