Perubahan dan perkembangan fizikal malah mental seorang bayi adalah berbeza-beza bergantung kepada persekitaran, stimulasi dan juga tahap kesihatan bayi itu sendiri.

Ada kanak-kanak yang cepat tumbuh gigi, merangkak, berjalan mahupun berlari.

Namun ada juga kanak-kanak yang agak ketinggalan dari aspek tersebut mungkin kerana isu kesihatan mahupun kurang sokongan dan dorongan dari ibu bapa.

Namun yang pastinya ianya adalah perkembangan yang tidak boleh dipaksa-paksa dan harus dibenarkan untuk berlaku secara semulajadi oleh ibu dan bapa.

Memang betul, menanti saat untuk si anak memulakan langkah yang pertama pastinya dinanti-nantikan oleh mana-mana ibu bapa, namun janganlah hanya kerana ingin kehendak kita tercapai, ibu bapa sampai sanggup mendera, memukul dan memarahi si anak seolah-olah memaksa mereka untuk cepat membesar.

Pukul Anak Paksa Berdiri

Seperti video yang tular baru-baru ini, dipercayai dilakukan seorang warga Arab yang dikatakan cuba memaksa anaknya yang berusia dalam lingkungan 8-10 bulan untuk berdiri dan berjalan.

Malah lelaki tersebut didakwa jelas memukul dan melambung anaknya yang masih kecil itu seperti orang yang tidak waras.

Mengikut laporan Alaraby.co, individu tersebut dikatakan tertekan kerana ditinggalkan oleh isterinya membuatkan dia terpaksa hidup bersama empat orang anaknya seorang diri tanpa sebarang bantuan dan sokongan.

Malah individu tersebut yang telah diberkas polis sempat mengharapkan ihsan orang ramai agar mendoakan dia agar dapat membesarkan anak-anak dengan baik.

 

Ditinggalkan Pasangan Punca Pukul Anak

Wajarkah anak-anak dijadikan mangsa untuk melepaskan perasaan dan tekanan sehingga sanggup memperlakukan si kecil tersebut sedemikian?

Tidak dinafikan, menjaga dan membesarkan anak-anak  bukanlah perkara yang mudah dan ianya memerlukan tahap kesabaran yang sangat tinggi.

Lebih-lebih lagi jika anak-anak masih kecil dan belum pandai menguruskan diri sendiri.

Semuanya perlu diuruskan ibu bapa sehingga adakalanya nak menguruskan diri sendiri juga tidak sempat.

Kerana itu, sebelum menjadi ibu bapa, setiap individu perlu mempersiapkan diri mereka bukan sahaja dari aspek fizikal malah mental kerana pelbagai cabaran yang akan dilalui mereka dalam membesarkan anak-anak.

Ditambah pula apabila mereka ditakdirkan untuk mendapat pasangan yang tidak memahami dan tidak sependapat, pasti menyukarkan lagi keadaan.

Namun setiap individu wajib sedar bahawa anak-anak adalah amanah yang tidak ternilai, mereka berhak diperlakukan selayaknya.

 

Anak Yang Kerap Dimarahi Akan Bersikap Pendendam Dan Agresif

Pernahkah anda dengar kononnya anak yang sering dimarahi dan dikasari akan mengaktifkan otak reptilia mereka?

Dimana mereka akan menjadi kasar dalam pergaulan malah lebih agresif dan posesif dalam mengendalikan sesuatu.

Dan ini adalah dakwaan yang benar. Menurut Pakar Psikologi Klinikal di KIN & KiDS Jessie Foo menjelaskan bahawa setiap apa yang ibu bapa lakukan kepada seorang kanak-kanak sejak dari lahir akan mempengaruhi kehidupannya kelak sehingga dewasa.

Jika dia membesar dalam persekitaran yang selamat dan stabil, pastinya masa depannya akan lebih cerah berbanding kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

Malah sikap ibu bapa sendiri yang sentiasa positif dan ceria turut mempengaruhi cara anak tersebut berfikir dan melihat sesuatu.

Sudah banyak kajian dilakukan yang telah membuktikan kebenaran dakwaan tersebut, kerana itu sebagai ibu bapa kita perlu berhati-hati dalam memilih cara didikan kita malah cara kita berkomunikasi dengan anak-anak.

Tersilap langkah, pasti buruk padahnya.

KATA ORANG

KATA ANDA

Apa pandangan anda mengenai isu ini?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN