Kita sering melihat proses akad nikah yang diadakan di masjid atau surau kebiasaannya menjadi meriah apabila Tok Kadi atau jurunikah ‘mengusik’ pengantin lelaki.
Bukan itu sahaja, ada yang terpaksa mengulang lebih dua kali lafaz akad nikah dan disoal dengan bermacam jenis soalan membuatkan pengantin lelaki berasa tidak senang duduk dan terketar-ketar.
Perbuatan yang telah menjadi norma dalam masyarakat ini telah menerima teguran daripada Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau lebih dikenali sebagai Dr Maza.
Akad Ni Sah Ke Tidak?
Di laman Facebook rasminya, Dr Maza menyatakan beliau tidak selesa melihat Tok Kadi yang dikatakan ‘mendera’ pengantin untuk mengulang-ulang lafaz terima (ijab) ketika akad nikah yang kononnya belum sah.
Dr Maza juga menjelaskan bahawa tidak disyaratkan mesti satu nafas ataupun dua nafas mahupun berjabat tangan dalam akad nikah yang telah menjadi kebiasaan dalam masyarakat.
Proses ijab dan kabul ini sebenarnya mudah dan nikah menjadi sah jika pengantin lelaki tersebut menjawab ‘ Aku terima nikahnya’ tidak kira apa jua bahasa yang digunakan asalkan semua memahami apa yang dilafazkan.
Perbuatan Tok Kadi Tidak Disenangi
Tidak dinafikan apa yang dilakukan oleh sesetengah Tok Kadi atau jurunikah itu hanya sekadar berjenaka dan untuk memeriahkan majlis.
Tetapi perbuatan tersebut ternyata tidak disenangi oleh masyarakat dan membuatkan Mufti Perlis tampil dalam memberi teguran.
Dr Maza juga mempersoalkan mengapa Tok Kadi sengaja bertanya kepada tetamu yang hadir samaada perlu diulang semula lafaz dan beramai-ramai menyebut ‘sekali lagi’ sedangkan sudah jelas akad tadi sah dan jelas.
Beliau merasakan keadaan tersebut seperti permainan buli yang cuba dicampur aduk dengan hukum syarak dan ayat lafaz yang diatur oleh Tok Kadi begitu skema sehingga membuatkan pengantin sukar untuk menghafalnya.
Rata-rata netizen juga bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Dr Maza dengan berpendapat perkara yang baik tidak sepatutnya dirumitkan dengan soalan-soalan yang pelik yang boleh menjatuhkan air muka pengantin di hadapan seluruh keluarga yang hadir.
Proses Akad Nikah Mudah Sahaja
Dalam kenyataan Dr Maza, beliau menyatakan bahawa tiada dalil yang menyatakan lafaz akad mesti satu nafas atau tidak terputus nafas seperti yang diada-adakan oleh sesetengah pihak.
Akad nikah menggambarkan persetujuan kedua-dua belah pihak menjadi suami dan isteri yang sah tidak kira apa-apa sahaja lafaz yang digunakan yang membawa maksud tujuan tersebut maka ia sah.
Mereka yang belum mendirikan rumah tangga atau ada perancangan untuk berkahwin, semoga dipermudahkan segala urusan sewaktu akad nikah nanti dan moga-moga apa yang ditegur oleh mufti ini menjadi peringatan kepada semua.
KATA ORANG
sebagai photographer aku setuju dgn maza ni. byk aku tgk tok kadi dok buli tanya soalan merepek2 lepas tu tok kadi buat muka mengharap org sekeliling gelak dekat pengantin lelaki tu.
— هاهاهاها (@MrMaschar) March 31, 2019
Dah la depan ramai orang. Pastu dia bawa maruah keluarga. Dalam kepala dah fikir tanggungjawab baru yg bakal dia galas sejurus selepas lafazkan akad. Pastu tok Kadi buli pulak, saja nak santai. Siapa je tak nervous sampai lupa ayat2 yg lazim dibaca setiap hari?
— Amsyar Malek 🎷 (@AmsyarMalek) March 31, 2019
yes! ini lah yg aku selalu persoalkan setiap kali tengok akad nikah.tok kadi nasihat berjam-jam,takutkan pengantin dgn bebanan tanggungjawab suami isteri,lafaz kena ulang lagi walaupun dah terang dan sah lafaznya.jangan buli bakal pengantin. https://t.co/1ptt5tQYrp
— Retrouvailles (@muiz_dint) March 30, 2019
masalahnya tok kadi ikut cara lama walaupun tahu ada cara lebih mudah . saksi pula jahil hanya tahu sah kalau ikut cara lama sahaja. mak bapa takut tak sah. pengantin lelaki lagilah takut kempunan kalau saksi kata tak sah🤣
— Betikmadu (@papahazim) March 30, 2019