Semalam, Dewan Rakyat sekali lagi kecoh apabila seorang anggota parlimen diarah keluar hanya kerana menggunakan perkataaan ‘pondan’.

Anggota parlimen tersebut adalah Ahmad Marzuk Shaary (Pas) yang telah diarah keluar oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon selama tempoh dua hari kerana menggunakan perkataan yang tidak sepatutnya terhadap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Apa yang lebih memalukan, walaupun sudah diarah untuk menarik semula perkataan itu, Ahmad Marzuk tetap enggan berbuat demikian.

Kejadian itu bagaimanapun menjadi buah mulut masyarakat hingga ke hari ini yang mana ada di antara mereka menyokong tindakan beliau yang melontarkan perkataan itu.

Tidak kurang juga, yang mengutuk sekeras-kerasnya tindakan itu kerana tidak mencerminkan perlakuan yang baik kepada rakyat biarpun mempunyai fahaman politik  berbeza.

 

Apa Punca Pergaduhan?

Ketika penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2018) 2019 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Pertama 2018 semalam, Ahmad Marzuk membangkitkan isu tender terbuka yang didakwa merupakan agenda menghapuskan masa depan kontraktor Bumiputera.

Bagaimanapun, Lim menafikan perkara itu dan menjelaskan sistem tender terbuka itu sebenarnya membolehkan kontraktor terbaik dari kalangan bumiputera untuk dipilih.

Sumber: Abuleman.com

Ketika Lim sedang menyambung hujahnya, Ahmad Marzuk tetap bertegas supaya Lim mengemukakan bukti mengenai perkara tersebut lantas mengeluarkan kata-kata negatif.

Ya, mungkin disebabkan sebelum-sebelum ini, ada anggota dari parti Barisan Nasional (BN) mengeluarkan kata-kata sedemikian, kini anggota Pas pula berani bertindak sedemikian.

 

 

Guan Eng Dakwa Diri Kerap Jadi Sasaran 

Bila sudah menjadi ahli politik terutama apabila sudah memegang jawatan besar dalam kerajaan, pasti ada sahaja pihak yang tidak berpuas hati dengan apa yang sudah dilakukan. 

Dalam soal ini, Guan Eng jelas sekali dilihat menjadi sasaran pembangkang yang sering memainkan sentimen serta emosi bagi menimbulkan kebencian terhadap dirinya dan juga kerajaan.

Lim bagaimanapun menjelaskan perkara sebenar yang mana kerajaan ketika ini masih menguruskan kontrak-kontrak untuk kontraktor Bumiputera.

Perbezaannya kali ini, tender tersebut perlu dibuat secara terbuka dalam memilih kontraktor bumiputera pada harga yang baik yang bukannya untuk menghapuskan masa depan mereka. 

 

Netizen Sifatkan Ahli Parlimen Tidak Matang

Mana tidaknya, asal timbul isu panas, ada sahaja yang tidak kena pada mata pihak pembangkang.

Sumber: Malaysiakini

Memang kita sedia maklum  sebagai pembangkang anda sememangnya perlu memainkan peranan penting dalam melakukan semak dan imbang dalam setiap perkara yang dilakukan oleh kerajaan ketika ini.

Namun, perlu juga diingat supaya tidak mengeluarkan kata-kata kesat, lucah serta tidak bermoral kepada anggota parlimen yang lain.

Meskipun berlainan fahaman politik, tidak bermakna anda boleh mengeluarkan kata-kata sedemikian kerana ia jelas sekali menunjukkan sikap tidak matang kepada rakyat.

Apa yang rakyat perlukan ketika ini adalah wakil rakyat yang bukan sahaja hebat dari segi kata-kata, atau hujahan yang lantang.

Sumber: The Star

Tetapi, seorang wakil rakyat yang hebat dari segi fakta, angka, pandangan yang bernas serta mengamalkan etika yang baik.

Sekiranya perlakuan negatif sebegini terus menjadi amalan wakil rakyat, tidakkah ia suatu yang memalukan?

Setiap wakil rakyat baik kerajaan mahupun pembangkang perlu tunjukkan kebijaksanaan dan kepintaran mereka dengan menggunakan hujah dan bahasa yang selayaknya digunakan oleh Ahli Parlimen.

Dan bukannya bahasa samseng yang boleh memberi persepsi negatif ke atas diri mereka sendiri.

KATA ORANG

KATA ANDA

Pada pandangan anda, adakah wajar ahli Parlimen itu melontarkan kata-kata negatif terhadap anggota Parlimen yang lain hanya disebabkan tidak puas hati terhadap sesuatu isu?
3 votes · 3 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN