Baru-baru ini, dua Ahli Parlimen menarik perhatian media apabila mereka mengakui tidak mengisytiharkan harta mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana tidak memiliki harta.

Sumber: Mole.my

Dua Ahli Parlimen tersebut adalah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy.

Mengikut apa yang diperkatakan Mohamaddin Ketapi, beliau menegaskan tidak memiliki sebarang harta untuk diisytihar kerana beliau miskin.

Manakala, Waytha Moorthy pula mengakui tidak mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana tidak memiliki sebarang harta.

Pengumuman yang dibuat kedua-dua Ahli Parlimen itu yang tidak membuat pengisytiharaan harta sekaligus dilihat mengundang rasa simpati kebanyakan netizen di media sosial dan tidak kurang juga ada yang mempertikaikan kenyataan yang dibuat mereka.

 

Perlu Isytihar Harta Walau Tiada Aset

Sumber: Berita Harian

Walaupun tiada tempoh akhir bagi Ahli Parlimen untuk mengisytiharkan harta mereka, mereka tetap perlu isytiharkan harta mahupun aset secepat mungkin kepada SPRM.

Malah, sekiranya Ahli Parlimen itu tidak mempunyai sebarang aset sekalipun, mereka perlu mengisytiharkannya dengan meletakkan sebagai ‘tiada harta’.

Dalam perkara ini, mana-mana Ahli Parlimen tidak boleh memberi alasan bahawa mereka tidak mempunyai sebarang harta untuk diisytiharkan apabila Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam menggesa supaya kesemua daripada mereka membuat pengisytiharan harta walau tiada harta.

Pengisytiharan harta yang mula diperkenalkan pada 1 November lalu oleh SPRM bukanlah satu platform untuk menunjukkan kemegahan aset yang dimiliki seseorang Ahli Parlimen itu tetapi untuk membendung gejala rasuah serta merekod pendapatan serta harta yang dimiliki mereka agar tidak meningkat secara mendadak.

Bukan itu sahaja, portal khas MyDeclaration itu juga membolehkan orang ramai mengakses serta memeriksa senarai aset yang dimiliki Ahli Parlimen termasuk rumah, kereta, tanah, bangunan, perniagaan serta akaun bank.

 

13 Anggota Parlimen Masih Belum Isytihar Harta

Sumber: Berita Harian

Sebelum ini, SPRM mendedahkan seramai 13 ahli Parlimen dan 24 anggota pentadbiran kerajaan termasuk setiausaha politik masih lagi belum melakukan pengisytiharan harta setakat Jumaat lalu termasuk Anggota Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Walaupun setakat ini tiada tindakan atau langkah yang boleh diambil oleh SPRM ke atas mana-mana Ahli Parlimen yang belum mengisytiharkan harta mereka, tidak bermakna mereka boleh berdiam diri dengan tidak menunaikan janji mereka untuk mengisytiharkan harta mereka.

Selepas melihat kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang bertekad untuk membasmi rasuah di kalangan semua kepemimpinan negara seperti termaktub di dalam manifesto mereka, adalah perlu satu portal khas seperti MyDeclaration diwujudkan SPRM bagi membendung gejala rasuah dalam kalangan kepimpinan tertinggi.

Jika sebelum ini, kepimpinan tertinggi boleh berselindung mengenai jumlah harta serta aset mereka hingga ada di antara mereka yang dilihat memiliki jutaan ringgit di dalam rumah dan pelbagai harta yang dirampas yang tidak diketahui rakyat pastinya membuatkan seluruh rakyat terkejut akan berita tersebut.

Kini, mana-mana Ahli Parlimen tidak boleh cuba berselindung mengenai jumlah harta dan aset mereka memandangkan kesemua aset yang dimiliki mereka perlu didedahkan sebagai langkah bagi mengelak rasuah.

 

Seksyen Baru Berhubung Pengisytiharan Harta Bakal Diwujudkan

Sumber: Isma Web

Oleh kerana ramai Ahli Parlimen dilihat masih belum mengisytiharkan harta mereka, satu seksyen baharu di bawah Akta SPRM berhubung pengisytiharan harta milik ahli Parlimen dan menteri dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada April tahun hadapan.

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull, seksyen baharu tersebut membolehkan pihaknya mengenakan tindakan terhadap ahli Parlimen dan menteri yang didapati gagal mengisytiharkan harta mereka.

Malah, mana-mana ahli Parlimen dan menteri yang tidak mengisytiharkan harta juga boleh diklasifikasikan sebagai satu kesalahan memandangkan perkara tersebut menjadi kewajipan buat mereka.

 

Kepentingan mengistiharkan harta

Walaupun ada sesetengah pihak berpandangan mengistiharkan harta ini sebagai yang tidak wajib tetapi ianya penting supaya memastikan ketelusan dan akauntabiliti ahli parlimen diketahui rakyat termasuklah harta pasangan masing-masing serta ahli keluarga mereka yang terdekat.

Selain itu, pengisytiharan harta juga bagi mengelakkan berlakunya pertelingkahan kepentingan serta boleh mengelakkan tuduhan palsu dan meningkatkan kepercayaan orang ramai.

Malah, dengan cara ini juga dapat membuktikan keikhlasan dan ketelusan menteri dan timbalan menteri berkhidmat bukan untuk kepentingan peribadi.

Pelantikan sebagai menteri bukan bertujuan mengumpulkan harta, bermewah-mewah atau untuk hidup senang-lenang, tetapi untuk satu tujuan iaitu meningkatkan taraf hidup rakyat serta negara

 

Kesan mengistiharkan harta

Ada ahli politik sebelum ini yang tidak mahu mengistiharkan kerana dikhuatiri keselamatan mereka dan keluarga terancam.

Namun, menurut Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar , pengisytiharan harta tidak membawa sebarang bahaya seperti didakwa pihak tertentu, memandangkan senarai 10 orang terkaya di Malaysia yang nama mereka disiarkan setiap tahun di media juga tidak mengalami sebarang masalah.

Walaubagaimanapun tidak dinafikan kekayaan itu boleh mendatangkan ancaman besar kepada pihak terbabit. Terdapat kekayaan yang melampau hinggakan kekayaan itu mampu menggoda nafsu si perompak untuk merompak.

Sungguh pun ancaman luar ini memang wujud, ia tidaklah menjadi faktor besar yang menghalang agenda telus ini dilaksanakan.

Ancaman luar boleh dijangka atau dianalisa oleh pihak berkuasa. Malah ia boleh dikawal dan dilindungi dengan pelbagai cara. Tahap ini ia sudah menjadi tugas utama pihak berkuasa, kecekapan mereka perlu dihormati.

Soal isytihar harta, aset dan pendapatan mudah sahaja. Soalnya, mahu dilakukan atau tidak. Itu sahaja.

Jika tidak dilakukan, rakyat tidak akan tahu sama ada kekayaan pemimpin negara dan negeri dikumpul secara haram sewaktu diberi amanah untuk menjadi kerajaan. Jika dilaksanakan, rakyat boleh menilai sendiri ketelusan kepimpinan kerajaan yang ada.

KATA ORANG

KATA ANDA

Wajarkah SPRM mengenakan tindakan tegas kepada mana-mana ahli Parlimen yang didapati gagal mengisytiharjan harta mereka?
2 votes · 2 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN