Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memutuskan untuk membatalkan semua saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang berjumlah 3.1 juta membabitkan nilai sebanyak RM435 juta yang belum dibayar sejak sistem itu dilaksanakan.

Namun, adakah tindakan membatalkan semua saman AES yang dilaksanakan ini mampu untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya atau sebaliknya?

Sebelum ini juga, jika kita lihat kembali kepada peranan AES ianya seiring dengan Pelan Keselamatan Jalan Raya 2006 hingga 2010 yang bermatlamat mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya.

 

Adakah Kadar Kemalangan Berkurangan Bila AES Dipasang?

Akibat kes kemalangan sering kali dilaporkan, sistem AES dipasang bertujuan untuk mengurangkan risiko kemalangan tersebut dan ianya terbukti berkesan apabila kamera tersebut berjaya mengurangkan kemalangan maut.

Hal ini ternyata benar apabila kerajaan terdahulu yakin dengan pelaksanaan AES di seluruh negara ianya dapat meningkatkan orang ramai untuk lebih mematuhi peraturan lalu lintas sekaligus berjaya menurunkan jumlah kemalangan maut secara drastik.

Walau bagaimanapun, sistem AES ini tidak memberikan kesan mendalam terhadap pengguna kerana mungkin mereka hanya akan memperlahankan kenderaan di lokasi kamera AES berkenaan dan akan kembali memecut laju selepas itu.

Ini kerana, berdasarkan statistik yang dikeluarkan tahun lalu, Malaysia antara negara yang paling tinggi mencatatkan jumlah kemalangan dengan purata lebih kurang 445,000 kes kemalangan dalam tempoh setahun.

 

Berapa Banyak Saman Telah Dikeluarkan AES?

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan peningkatan sebanyak tiga kali ganda saman trafik sejak dua minggu pembatalan semua sistem AES berkenaan bermula antara 17 hingga 31 Ogos lalu.

Baru sahaja dua minggu pembatalan sistem ini, sudah banyak pengguna mulai mengambil kesempatan dengan melanggar kesemua undang-undang jalan raya apatah lagi jika sistem AES ini dihapuskan terus.

 

AES Memberi Kesan Kepada Pengguna Jalan Raya?

Ada juga yang mengatakan jika pembatalan sistem AES dilaksanakan, ianya seolah-olah akan memberi kelonggaran kepada pengguna jalan raya untuk terus melakukan kesalahan.

Jika sistem AES ini dihapuskan, tidak mustahil mereka akan mengulangi kesalahan yang sama hingga meragut banyak nyawa yang tidak bersalah.

Apabila kerajaan membatalkan semua saman AES ini, ia juga memberi kesan kepada pengguna jalan raya di mana ada yang cuba mengambil kesempatan dengan memandu melebihi had laju kerana jika dikenakan saman, mereka tidak perlu membayarnya.

Bukan itu sahaja, saman yang sudah tertunggak daripada tahun sebelumnya juga akan turut ditarik balik tanpa perlu membayarnya.

KATA ORANG

Seorang netizen turut berkongsi ceritanya bahawa dia mempunyai 10 saman trafik tertunggak dan bersyukur untuk tidak perlu membayarnya sekaligus menyelamatkan duit poketnya sendiri.

Dalam perkara ini, mungkin ada yang tidak bersetuju jika kesemua saman AES itu dihapuskan terutama kepada individu yang sudah membayar saman tertunggak tersebut.

Namun begitu, apa yang kita khuatiri, jika sistem AES ini dimansuhkan ianya dikhuatiri akan lebih mengundang sikap cuai terhadap pengguna jalan raya.

KATA ANDA

Adakah wajar sistem AES diteruskan atau perlu dimansuh bagi mengelak kroni mendapat keuntungan lebih?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN