Sumber: Cempedak Cheese

Pengisytiharan Dr. S. Streram selaku calon dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Rantau sekaligus menamatkan desas-desus tentang calon yang akan dipertandingkan oleh Pakatan Harapan pada PRK kali ini. Pengumuman tersebut disampaikan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Ibu Pejabat Rasmi PKR di Merchant Square. Sebelum ini terdapat seramai 10 nama telah dikemukakan sebagai calon PKR di kerusi Dun Rantau.

Pemilihan Dr. S. Streram diukur berdasarkan kelayakan akademik dan pengalaman kerja beliau di Rantau. Beliau juga sebelum ini dinafikan hak secara tidak adil semasa Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 lalu sehingga isu ini dibawa kepada keputusan di mahkamah yang menyebabkan PRK diadakan semula.

BN Mula Menguasai PRK

Berdasarkan rekod PRK sebelum ini antara Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) menyaksikan pertembungan yang lebih memihak kepada BN. Ia ekoran pembawaan isu Melayu-Islam yang digerakkan oleh PAS dan UMNO berjaya menjejaskan sokongan rakyat kepada PH khususnya masyarakat Melayu sekaligus memberi tamparan hebat kepada pentadbiran PH. 

Pemilihan Streram dijangka menyukarkan usaha PH untuk mendapatkan undi yang kukuh di kalangan masyarakat Melayu memandangkan lebih 57 peratus penduduk di Dun Rantau adalah orang Melayu. Kegagalan PH menangani isu Melayu-Islam sejak kebelakangan ini menyebabkan usaha jentera PH untuk meraih undi Melayu agak sukar dilakukan. Ditambah pula dengan taraf sosioekonomi masyarakat Melayu luar bandar yang semakin terhimpit ekoran penurunan harga minyak sawit serta isu harga getah yang merudum.

Sumber: Utusan Online

PH Sukar Kuasai Rantau Tapi Mampu Beri Saingan Sengit

Perkara sama turut diulas oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Beliau berpandangan, laluan PH lebih mencabar untuk merampas kerusi DUN Rantau daripada BN. Apa yang mampu dilakukan oleh PH memberikan saingan sengit sekiranya dibantu dengan kekuatan jentera dan strategi yang tepat memandangkan penyandang kerusi tersebut Datuk Seri Mohamad Hassan merupakan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan seorang tokoh politik yang hebat dan disegani.

Sumber: Malaysiakini

Anwar Optimis

Walau bagaimanapun, strategi PRK kali ini dibaca dengan nada optimis oleh Anwar. Menurut Anwar, PKR sebagai parti pelbagai kaum tidak tunduk kepada desakan untuk meletak calon Melayu kerana menghormati perlembagaan serta menurut prinsip PKR dan PH yang sentiasa komited menjaga kepentingan semua kaum.

Sumber: Cempedak Cheese

Malah, tindakan yang dilakukan ini bagi menunjukkan bahawa PH tidak terkesan dengan tekanan luar yang mahukan calon Melayu bertanding di PRK Rantau. Ini kerana masalah yang lebih besar perlu diberi perhatian di Rantau terutamanya soal kemiskinan, termasuk dalam kalangan masyarakat Cina dan India. Strategi ini mungkin sesuatu yang menarik untuk dikaji.

Hipotesis Awal ILHAM Centre

Berdasarkan hipotesis awal Ketua Penyelidik ILHAM Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim, beliau berpandangan, PH masih belum kalah walaupun BN mempunyai kelebihan dalam aspek momentum dan populariti pada segmen pengundi Melayu-Islam. PRK Rantau akan jadi pertembungan strategi dan taktikal paling sengit, hanya yang terbaik dalam aspek ini akan memenangi PRK kali ini.

Sumber: ILHAM Centre

Pengaruh PAS Tidak Kuat Di Rantau

Beliau menambah, sungguhpun dua siri PRK terkini memaparkan undi PAS kepada BN sebagai faktor dominan menentukan keputusan PRK, tetapi tidak bagi PRK di Rantau. Ini kerana pengaruh PAS sangat lemah di DUN ini. Berdasarkan undi Parlimen Rembau dalam PRU 14 lepas bagi kawasan Rantau, calon parlimen PAS hanya memperolehi sekitar 700 undi daripada DUN ini. Faktor penentu Rantau adalah pengundi kaum India sekitar 27 peratus.

Sumber: Facebook Mohd Yusri Ibrahim

Sekiranya PH memperoleh undi solid dari masyarakat India, mereka hanya memerlukan sekitar 10 peratus lebih undi orang Melayu jika kadar turun mengundi rendah seperti siri-siri PRK yang lalu. Ia bukan suatu angka yang mustahil memandangkan PH memperoleh 25 peratus undi masyarakat Melayu pada PRU sebelum ini.

PH Perlu Undi Solid Kaum India

Dalam pada masa sama, Ketua Cabang PKR Rembau, R Tanggam juga mempunyai pengaruh yang kuat bagi masyarakat India. PKR perlu memanfaatkan pengaruh Tanggam dengan membawanya mengiringi kempen calon PH bagi memastikan undi solid daripada masyarakat India dapat dijamin untuk PH memenangi PRK Rantau.

 

KATA ORANG

KATA ANDA

Pada pandangan anda, apakah kriteria calon yang bakal dipilih di Rantau
2 votes · 2 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN