Perkembangan teknologi pada masa kini telah menyebabkan pelbagai aktiviti seharian manusia kini mampu dilakukan melalui dalam talian. Perbankan, pendaftaran, permohonan, pembelian dan sebagainya. Penggunaan teknologi digital dilihat memudahkan orang ramai disamping menjimatkan, masa, tenaga dan wang ringgit.

Sumber: The Star

Idea Dibangkitkan Oleh ISIS

Melihat kepada perkembangan positif tersebut, maka tercetus idea untuk mewujudkan sistem pilihan raya dalam talian di negara ini. Idea ini pernah dibangkitkan oleh Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) pada tahun 2017.

Bagi Pengerusi dan Ketua Eksekutif ISIS pada waktu itu, Tan Sri Rastam Mohd Isa, pengundian secara elektronik bakal menjadi amalan pada masa akan datang. Beliau berpandangan demikian setelah melihat beberapa buah negara di dunia sudah melaksanakan kaedah mengundi dalam talian seperti di India, Amerika Syarikat, Australia, Belgium, Brazil, Estonia, Mexico, Peru dan Filipina.

Sumber: Irish Times

Sistem Perbankan Boleh Kenapa Tidak Sistem PRU?

Bagi mengukuhkan cadangan tersebut, beliau memberikan contoh agensi perbankan dan agensi kerajaaan yang mampu mewujudkan perbankan dalam talian dan penyerahan borang meskipun tahu akan berdepan risiko. Begitu juga dengan orang ramai yang lebih gemar membuat pembelian dan bayaran secara dalam talian.

Berdasarkan laporan Utusan Online, pengenalan teknologi baru yang dinamakan blockchain dilihat mampu menjamin sistem pilihan raya dalam talian dengan telus. Teknologi blockchain pada awalnya merupakan sistem pembayaran atas talian. Teknologi ini melalui beberapa fasa pemurnian fungsi dengan tambahan tingkat keselamatan.

Dengan menggunakan kodifikasi algoritma rahsia, pengesahan dan pengundian dalam rangkaian disahkan secara terbuka, telus dan berkeyakinan. Malah, berdasarkan kajian, belum ada kes melibatkan perubahan data melalui tindakan menggodam kerana penggodam perlu mengubah rekod yang dimiliki platform pelayar lain yang terebar di seluruh rangkaian terbuka tersebut.

Persoalannya Ialah Integriti

Namun, permasalahan yang akan timbul ialah berkenaan integriti iaitu kemungkinan penyalahgunaan pangkalan data individu oleh sesetengah pihak. Tidak mustahil pihak tertentu mengetahui siapa yang mengundi parti yang mana, sedangkan undi adalah rahsia bagi seseorang.

Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menggunakan sistem e-voting buat kali pertama pada tahun lalu mungkin boleh dijadikan contoh. Bukan tujuan penulis untuk mengkritik, tetapi untuk meneliti. Walaupun ia merupakan pemilihan yang kecil melibatkan ahli parti tetapi terdapat pelbagai masalah yang berlaku sehingga proses pemilihan parti tersebut menjadi isu yang amat besar.

Sumber: Berita Harian

Capaian Internet Tidak Menyeluruh Di Malaysia

Antaranya ialah permasalahan akses wifi atau isyarat yang tidak stabil terutamanya di kawasan Sabah dan Sarawak. Begitu juga dengan prasarana dan akses internet yang masih lagi kurang di kawasan pedalaman Semenanjung Malaysia yang mengganggu kelancara proses pengundian. Dalam masa yang sama berlaku sabotaj terhadap akses wifi di beberapa kawasan di Semenanjung melalui pelbagai cara sehingga menyebabkan pemilihan semula diadakan.

Masalah Teknikal

Bukan itu sahaja, permasalahan lain seperti kesilapan gambar dan nombor calon di atas kertas undi memberi kesukaran kepada pengundi. Selain itu, terdapat perbezaan QR Code yang dicetak berlainan dengan jumlah bilangan anggota yang keluar mungundi turut menjadi persoalan sehingga kini.

Begitu juga permasalahan dengan data yang tidak lengkap. Misalnya di Pulau Pinang, terdapat ahli yang tidak boleh mengundi kerana namanya tidak ada dalam senarai sistem pemilih sedangkan dia sudah menjadi anggota parti itu sejak dari tahun 1999 lagi. Perkara-perkara seperti ini yang perlu dilihat dan dikaji dengan lebih lagi.

Sumber: Free Malaysia Today

Menyukarkan Golongan Tua

Bagi golongan muda, mungkin tidak menjadi masalah menggunakan e-voting memandangkan rata-ratanya celik IT. Tetapi bagi golongan tua khususnya berusia 50 tahun ke atas, ini merupakan masalah utama yang perlu diteliti.

Walaupun e-voting dikatakan mampu melancar dan mempercepatkan proses pengundian, tetapi berdasarkan pengalaman kita melihat proses sewaktu pemilihan PKR, perkara sebaliknya yang telah berlaku. Hakikatnya ia tetap menimbulkan pelbagai masalah sehingga menyebabkan beberapa pemilihan tergendala sehingga berminggu-minggu lamanya.

Mampukah Berperanan Dengan Berkesan?

Maka timbul persoalan, adakah penggunaan teknologi e-voting mampu memainkan peranan secara berkesan dalam pilihan raya di Malaysia? Ia kerana sistem e-voting tetap mempunyai masalah dari aspek keselamatan. Disebabkan itu, beberapa negara di dunia seperti Jerman dan United Kingdom telah menghentikan penggunaan sistem e-voting kerana permasalahan keselamatan dan integriti.

Memang benar, kos yang terlibat dalam menjayakan pilihan raya secara manual adalah tinggi, sama ada di pihak badan pelaksana, parti politik, pengundi atau pihak-pihak berkaitan. Namun, setidaknya kredibiliti, ketelusan dan integiriti lebih boleh dipercayai berbanding penggunaan sistem pengundian secara dalam talian.

Sekiranya PRU tetap ingin dilaksanakan juga secara dalam talian, maka kajian secara terperinci dengan mengambil kira kesemua aspek dan risiko yang akan berlaku perlu dilakukan. SPR boleh mengaplikasikan sistem e-undi ini di dalam mana-mana PRK bagi melihat keberkesanannya sebelum melaksanakan secara meluas ketika PRU yang akan datang.

KATA ORANG

KATA ANDA

Apa pandangan anda mengenai isu ini?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN