Projek pembinaan jambatan bengkok yang menghubungkan Johor dan Singapura bukanlah satu cadangan baru yang diumumkan kerajaan memandangkan sebelum ini, isu tersebut dilihat tergantung seketika.

Namun kini, selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) berjaya mengambil alih kedudukan di dalam kerajaan, isu pembinaan jambatan bengkok itu dibincangkan semula untuk dilaksana walaupun projek tersebut pernah dihentikan pada 2006.

Namun semalam, Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian mengumumkan bahawa projek jambatan bengkok akan diteruskan pada tahun depan dengan kemungkinan ia dibina sebagai jambatan lurus.

Sumber: Berita Harian

Katanya, pembinaan jambatan bengkok mahupun lurus akan direalisasikan yang mana ketika ini Tun Dr Mahathir Mohamad sedang berada di Singapura untuk bertemu dengan rakan sejawatnya, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.

Berkemungkinan besar, dalam pertemuan tersebut, Dr Mahathir akan membincangkan semula pelaksanaan jambatan bengkok yang kini sedang hangat diperkatakan masyarakat terutamanya warga negeri Johor yang sudah bertahun bergelut dengan isu tersebut.

 

Dari Mana Datang Cetusan Idea Projek Jambatan Bengkok

Sumber: The Malaysian Times

Untuk rekod, Dr Mahathir pada 5 Julai 1996 telah mencetuskan idea merobohkan Tambak Johor yang menjadi pintu masuk selatan negara dan diganti dengan jambatan baru.

Selepas itu, pada 13 Jun 2004, Malaysia memulakan kerja pembinaan fasa awal selepas hampir tiga tahun Malaysia dan Singapura mencapai kata sepakat terhadap pelaksanaan jambatan baru itu demi kepentingan rakyat.

Walau bagaimanapun, keputusan sama ada meneruskan atau membatalkan pembinaan jambatan itu terus berlarutan dan bergantung kepada hasil rundingan dengan Singapura sehingga pada 2005, Singapura masih tidak memberi kata putus berkaitan projek itu walaupun Malaysia bertegas mahu meneruskannya.

Sumber: www.hutanhujan.org

Singapura pada 6 Februari 2006 kemudiannya meletakkan dua syarat kepada Malaysia iaitu menjual pasir kepada republik itu dan membuka ruang udara Johor bagi keperluan latihan jet pejuangnya.

Namun, perbincangan mengenai jambatan itu yang mahu digantikan dengan tambak Johor menemui jalan buntu sehingga ia terpaksa dibatalkan pada 2006 ketika era Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri Kelima.

 

Mengapa Ia Dinamakan Sebagai Jambatan Bengkok?

Sumber: Harian Metro

Perancangan projek jambatan bengkok atau yang mahu dinamakan sebagai Jambatan Indah itu merupakan struktur jambatan enam lorong sepanjang 1.4 kilometer (km) sememangnya diimpikan semua pihak terutama sekali kepada warga Johor dan Singapura bagi menggantikan tambak Johor sepanjang 1.06 km yang sudah digunakan sejak tahun 1923.

Idea pembinaan jambatan bengkok itu tercetus kerana Singapura tidak mahu mengubah Tambak Johor yang menjadi struktur penghubung di sempadan negaranya.

Selain itu, seni bina jambatan yang bengkok itu akan dibina lebih tinggi bagi membolehkan kapal kecil melepasi Selat Johor.

 

Kos Yang Tinggi

Walaupun projek tersebut disambut baik oleh rakyat Johor dan Singapura, ia terpaksa dihentikan sebelum ini memandangkan beberapa pihak tidak menyambut baik pelaksanaan projek itu yang dikatakan sebagai satu pembaziran.

Ini kerana, kos projek mega tersebut dikatakan akan menelan belanja hampir RM5 bilion pada kadar semasa yang mana ia meningkat hampir empat kali ganda berbanding kos asal sebanyak RM1.1 bilion pada 2003.

Oktober lalu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meminta kerajaan mempertimbang semula rancangan tersebut kerana kos yang besar selain katanya matlamat kerajaan kini adalah untuk menguruskan struktur fiskal negara dengan lebih baik terlebih dahulu

Selain itu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam akaun Twitternya turut meluahkan pendapat, kerajaan wajar mempertimbangkan pembinaan jambatan bengkok itu dan lebih baik menambah baik perkhidmatan kesihatan di negeri tersebut.

Keperluaan pembinaan jambatan tersebut sehingga kini masih perlu dikaji termasuk kesan terhadap hubungan baik antara Malaysia dan Singapura

 

Manfaat Pembinaan Jambatan Bengkok

Sumber: The Malaysian Times

Apabila melihat semula kepada cadangan pembinaan jambatan bengkok, pembinaan jambatan itu sebenarnya memberi banyak kelebihan kepada rakyat yang rata-rata menyifatkan projek tersebut dapat melancarkan aliran lalu lintas Malaysia dan Singapura.

Mana tidaknya, tambak Johor itu boleh dikatakan sering mengalami kesesakan teruk terutama pada cuti umum atau hari Ahad memandangkan ramai rakyat Singapura masuk ke Malaysia setiap hujung minggu.

Jika dilihat kepada nilai mata wang negara Singapura yang lebih besar daripada kita, sudah pasti rakyatnya mahu membeli belah pada hujung minggu memandangkan barangan kita jauh lebih murah daripada mereka.

Sumber: New Straits Times

Selain itu, pembinaan jambatan bengkok ini juga dilihat mampu merancakkan industri perkapalan dan pelabuhan negara di mana banyak kapal-kapal dagang akan singgah ke Tanjung Pelepas dan juga Pasir Gundang.

Ia juga bagi membolehkan kapal dagang melalui Selat Tebrau dengan mudah kerana selama ini, kapal-kapal itu dikatakan perlu mengelilingi Singapura terlebih dulu.

Bukan itu sahaja, jambatan enam lorong itu juga dijangka akan menarik lebih ramai rakyat Singapura mengunjungi negara kita sekaligus boleh menarik lebih ramai pelabur dan meningkatkan pembangunan Iskandar Malaysia dan negeri Johor secara keseluruhannya.

 

Pembinaan Jambatan Bengkok Bukan Keutamaan

Pengerusi DAP Johor, Liew Ching Tong menyifatkan projek jambatan bengkok tidak jadi keutamaan. Malah, katanya keperluan paling utama adalah untuk memperbaiki dan mempercepatkan pembinaan sistem transit rapid (RTS) bagi menghubungkan kedua-dua negara.

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah wajar kerajaan meneruskan pelaksanaan membina jambatan bengkok di Johor-Singapura walaupun sebelum ini projek tersebut pernah dihentikan?
2 votes · 2 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN