Bagi anda yang sentiasa terjumpa dengan pekerja-pekerja Bangladesh, sering kali anda terlihat mereka berjalan berpimpinan tangan bukan? Lelaki berpimpinan tangan sesama lelaki. Apa yang terlintas dalam fikiran anda semestinya perbuatan menjengkelkan, mempunyai hubungan sejenis (gay) dan bermacam-macam lagi tohmahan yang dilemparkan.

Sumber: Blogmazeer

Tetapi tahukah anda memegang tangan bersama rakan-rakan sejenis merupakan suatu budaya bagi masyarakat di Bangladesh, Pakistan, India dan beberapa buah negara di timur tengah.

Memetik artikel ruangsayanaksihat.blogspot, berpegangan tangan bagi mereka merupakan cara memanifestasikan keakraban sesama mereka.

Sama ada hubungan sebagai anak dengan ayah, adik dengan abang atau mungkin hubungan rakan dengan rakan. Tetapi tidaklah bermaksud mereka itu merupakan pasangan kekasih atau sedang bercinta.

Sumber: Fizarahman

Kenapa Masyarakat Kita Pandang Serong?

Ada yang mendakwa pemikiran masyarakat kira sudah dicemari dengan media-media barat. Ini kerana bagi masyarakat barat, seorang lelaki seharusnya maskulin, tegap dan ‘macho’.

Tidak boleh memaparkan rasa kasih-sayang atau berlembut sesama sendiri. Hal ini yang menyebabkan kita terikut-ikut.

Perkara yang seharusnya dilakukan oleh lelaki ialah menumbuk, bertampar, memberikan kata-kata kesat atau sesuatu tindakan yang maskulin. Sekiranya dua lelaki menunjukkan kasih sesama sendiri, mereka akan dilabel terus sebagai ‘gay’ atau homoseksual.

Bukan Salah Kita Kalau Pandang Serong

Perkara ini pernah diperbahaskan. Sebenarnya segala perkara yang berlaku berkait dengan budaya setempat. Ini kerana budaya berpegangan tangan sesama lelaki sangatlah aneh tetapi tidak bagi mereka di Asia Timur. Begitu juga dengan budaya menunduk hormat bagi masyarakat Jepun dan budaya berlaga pipi bagi masyarakat Arab.

Untuk menyatakan bahawa masyarakat kita dirosakkan oleh media Barat adalah tidak tepat. Ianya lebih kepada sentimen yang direka. Sedangkan sejak dahulu lagi masyarakat Melayu memang tidak dipraktikkan untuk berpegangan tangan antara dua lelaki kecuali dalam kes-kes memimpin warga tua atau kanak-kanak kecil ketika berjalan.

Maka, tidak hairan sekiranya masyarakat kita berasa pelik dengan apa yang dilihat. Yang jelas, segala perkara yang berlaku berkisar kepada bagaimana budaya negara itu diwujudkan dan terbina.

Sumber: Lekat Lekit

Orang Bangladesh Memang Pentingkan Persahabatan

Budaya berpegangan tangan membuktikan orang Bangladesh sangat mementingkan persahabatan, lebih-lebih lagi sekiranya tinggal di rantau yang asing bagi mereka. Seperti kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Susah bersama-sama dan senang bersama-sama.

Tidak hairan sekiranya mereka sanggup mengumpul duit sesama mereka bagi membebaskan rakan yang ditahan pihak imigresen atau sebagainya. Begitu juga sekiranya ada dalam kalangan mereka yang memulakan perniagaan. Sudah pasti rakan-rakan akan menyokong dengan membeli barangan dari kedai mereka.

Dengan penjelasan ini sedikit sebanyak dapat membuka mata kita tentang budaya masyarakat lain. Adalah diharapkan agar masyarakat kita tidak lagi memandang serong terhadap mereka atau menuduh mereka yang bukan-bukan. Inilah keunikan budaya yang harus kita hormati walau siapa pun mereka.

KATA ORANG

KATA ANDA

Bagaimana pula anda membuktikan kesetiaan sebagai seorang rakan?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN