Dianggarkan seramai 12,000 orang pengawal keselamatan sekolah telah ditamatkan perkhidmatan ekoran perubahan format syif secara drastik yang dilaksanakan di sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Malah, kontrak kerja mereka juga tidak disambung oleh Kementerian Pendidikan.

Sumber: Utusan Online

Ekoran kejadian tersebut, Presiden Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM), Datuk Seri Mustapa Ali menggesa pihak Kementerian Pendidikan mengkaji semula terma kontrak pengawal keselamatan yang ditukar daripada dua syif kepada tiga syif setiap hari.

Format Syif Yang Baru

Pemakaian format tiga syif yang terbahagi kepada pagi, petang dan malam hanya memerlukan tiga orang pengawal keselamatan sahaja ditugaskan berbanding format dua syif iaitu petang dan malam yang menggunakan empat orang pengawal keselamatan.

Selain itu, pelaksanaan format waktu kerja tiga syif setiap hari menyebabkan gaji pengawal keselamatan sekolah menjadi lebih kecil iaitu RM1,100 sebulan berbanding format dua syif (RM2,200 sebulan) yang diguna pakai sebelum ini. Hal ini bermakna, pekerja tidak lagi boleh menuntut perbelanjaan lebih masa.

Sumber: My Metro

Tindakan ini telah menyebabkan kehidupan bekas pengawal keselamatan menjadi lebih sukar, memandangkan latar belakang pendidikan mereka yang rendah, usia yang semakin lanjut serta kesukaran mendapatkan peluang pekerjaan pada masa kini.

Disuarakan JPKK

Isu pemberhentian pengawal keselamatan bukan isu baru. Perkara ini pernah disuarakan oleh Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) iaitu sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang membantu membela nasib ribuan pengawal keselamatan dan pekerja pembersihan.

Berdasarkan laporan dari Kosmo, pada penghujung Januari lalu, Koordinator JPKK, R. Mohanarani merayu kepada KPM agar membantu nasib pekerja kontrak yang diberhentikan tanpa notis. Ia berikutan pekerja kontrak hilang punca pendapatan sejak lebih dari sebulan yang lalu.

Sumber: Sinar Harian

Serahan Memorandum

Ekoran itu, seramai 20 orang daripada JPKK yang diketuai oleh S. Arutchelvan menghantar memorandum kepada pihak KPM.

Antara tuntutan yang dikemukakan ialah pampasan daripada KPM bagi pekerja yang diberhentikan tanpa notis serta isu tugasan pengawal keselamatan yang ditukarkan kepada tiga syif daripada dua syif sebelum ini.

Dikhabarkan, kontraktor baharu yang telah mengambil alih bidang tugas pengawal keselamatan dan pekerja pembersihan, telah bertindak memberhentikan ramai pekerja tanpa notis. Tindakan tersebut dilakukan atas alasan KPM telah mengurangkan jumlah peruntukan.

Walaupun KPM memaklumkan bahawa kementerian tidak terlibat dalam soal pengambilan dan penamatan pekerja kontrak, namun pengenalan sistem syif yang baharu serta peruntukan kewangan yang diminimakan oleh KPM sendiri telah memaksa pihak kontraktor memberhentikan ramai pekerja pengawal keselamatan.

Menunggu Maklum Balas KPM

Pada masa yang sama, Bahagian Perolehan dan Fasiliti Kementeria Pendidikan dalam satu kenyataan pada 1 Februari lalu berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat susulan bagi membincangkan memorandum disampaikan oleh JPKK.

Namun sehingga hari ini, masih belum terdapat sebarang maklum balas dari pihak KPM.

KATA ORANG

KATA ANDA

Wajarkah pihak KPM bertanggungjawab membela nasib bekas pekerja pengawal keselamatan?
6 votes · 6 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN