Sejak kebelakangan ini, isu kesihatan mental nampaknya sudah mula dipandang serius oleh masyarakat.

Di Malaysia, ramai yang beranggapan masalah kesihatan mental hanya merujuk kepada gila, hakikatnya kemurungan, depresi dan gangguan emosi juga adalah antara penyakit mental yang boleh memudaratkan.

Sumber: SAYS.com

Namun sebenarnya, masalah kesihatan mental ini boleh diibaratkan sebagai ‘pembunuh dalam diam’ dan perlu diberi rawatan segera terutama sekali dalam kalangan anak muda masa kini.

Kalau lihat di sosial media, setiap hari ada sahaae kes yang melibatkan pesakit mental. Apa yang lebih menyedihkan, beberapa kejadian bunuh diri dicatatkan akibat masalah depresi yang tidak dikendalikan dengan betul.

Sebabnya masyarakat kita masih kurang terdedah dengan masalah mental ni meskipun setiap tahun negara turut meraikan sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia pada 10 Oktober yang bertujuan meningkatkan kesedaran umum terhadap perkara berkenaan.

 

Definisi Masalah Mental?

Sumber: https://www.openaccessgovernment.org

Penyakit mental adalah penyakit yang melibatkan gangguan pada fungsi otak yang boleh menyebabkan perubahan kepada proses pemikiran, perasaan dan tingkah laku seseorang yang mengakibatkan gangguan untuk menjalani aktiviti seharian dengan baik.

Malah, hasil kajian Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 mendapati 29.2 peratus rakyat Malaysia mengalami tekanan atau masalah kesihatan mental.

Ini bermaksud jika kesihatan mental terjejas, sedikit sebanyak ia akan turut menjejaskan fungsi hidup seseorang individu itu juga.

 

Statistik Semakin Membimbangkan

Bercakap mengenai kadar bunuh diri, mengikut WHO, lebih daripada  800,000 individu membunuh diri setiap tahun atau kira-kira satu nyawa setiap 40 saat.

Ia menjadi punca utama kematian di kalangan mereka yang berusia di antara 15 sehingga 29 tahun.

Apa yang mengejutkan, lebih ramai lelaki yang membunuh diri berbanding wanita yang mana mereka lebih cenderung untuk membuat cubaan untuk membunuh diri atau mencederakan dirinya sendiri. 

Gambar sekadar hiasan

Bukan itu sahaja, kanak-kanak dan golongan remaja juga berisiko tinggi untuk mendapat penyakit ini disebabkan oleh keganasan, penderaan seksual dan buli.

Malah, sebuah badan organisasi kesihatan dunia (WHO) turut mengklasifikasikan penyakit ini sebagai penyakit keempat terbesar yang menyumbang kepada penyakit global (global disability) yang dialami oleh manusia di seluruh dunia pada ketika ini.

Ia diramalkan ia akan menjadi antara penyebab utama masalah kesihatan di negara-negara membangun menjelang tahun 2020 selepas penyakit jantung.

Manakala di Malaysia, kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 pula menunjukkan seramai 4.2 juta rakyat atau kira-kira 29.2 peratus penduduk negara ini yang berusia 16 tahun ke atas mengalami pelbagai masalah mental.

Jika dibandingkan, angka berkenaan disifatkan sesuatu yang amat membimbangkan kerana menunjukkan peningkatan sebanyak 11.2 peratus, berbanding tahun 2006.

 

Apa Kepentingan Kesihatan Mental?

Itulah sebabnya penting untuk adakan promosi kesihatan mental yang mana bukan sahaja penting untuk menyedarkan masyarakat tentang gejala kesihatan mental tetapi betapa pentingnya untuk perawatan awal.

Malah, tarikh 10 Oktober yang dipilih ini juga penting untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kesihatan mental yang sering dimomokkan masyarakat dengan pelbagai mitos.

Sumber: Twitter KKM

Lebih mengecewakan, mereka yang memiliki simptom ini seringkali dilabel dan dicop sebagai ‘gila’, ‘mental’ atau mungkin terkena buatan orang.

Jadi, apabila kita mempunyai kempen sebegini, ia secara tidak langsung akan menyedarkan masyarakat untuk memelihara kesihatan mental mereka dengan baik.

Sekiranya kita menyedari ada rakan atau ahli keluarga yang menghidap penyakit ini, sekurang-kurangnya kita tahu apa yang harus dilakukan daripada terus mensisihkan mereka yang sememangnya memerlukan sokongan dari kita.

Dengan adanya kempen sebegini, ia serba sedikit dapat mempromosikan kesihatan mental serta pencegahan bunuh diri agar penyakit mental yang disebabkan oleh kesihatan mental yang berlarutan secara berpanjangan ini dapat ditangani.

 

Penyabab Berlakunya Penyakit Mental?

Sehingga hari ini, penyebab kepada masalah penyakit mental masih lagi tidak diketahui puncanya. Namun terdapat beberapa faktor yang menyumbang terjadinya penyakit ini antaranya:

  1. Faktor genetik/ keturunan:

Sekiranya anda mempunyai ahli keluarga yang mempunyai sejarah penyakit mental, anda berisiko untuk mendapat penyakit ini. 

 

  1. Gangguan bahan kimia dalam otak:

Apabila bahan kimia dalam otak yang dikenali sebagai neurotransmitter tidak berfungsi dengan baik, gejala penyakit mental akan muncul. Sebagai contohnya:

  • Schizophrenia: Penghasilan dopamin secara berlebihan
  • Kemurungan: Paras serotonin terlalu rendah
  • Mania: Paras serotonin meningkat secara melampau
  • Kebimbangan: terdapat gangguan di dalam pengeluaran dan fungsi noradrenalin

 

  1. Jangkitan virus:

Mengikut kajian, ada penyakit akibat jangkitan virus telah dikaitkan dengan kemunculan penyakit mental ini. 

 

  1. Sejarah hidup yang kompleks:

Sebagai contoh: mengalami proses kelahiran yang sukar, kehilangan ibu bapa semasa kecil, terlalu banyak mengalami cabaran hidup yang amat sukar. 

 

  1. Keadaan sosio-ekonomi yang rendah:

Faktor kemiskinan, tiada kemudahan asas atau keganasan di dalam masyarakat boleh menjadi punca kepada masalah penyakit mental.

 

Bolehkah Penyakit Mental Diubati?

Penyakit mental sama sekali boleh diubati dengan pengambilan ubat. Namun, hampir semua ubat yang digunakan untuk merawat penyakit mental mengambil masa yang lama untuk pulih sebelum melihat kesan positifnya. Di sini, kesabaran meneruskan pengambilan ubat secara konsisten amat digalakkan.

Selain ubat psikotropik, pendekatan sokongan seperti kaunseling, psikoterapi, terapi kognitif, terapi berkelompok, terapi keluarga, pendidikan psikologi, terapi pemulihan cara kerja dan pemulihan psiko-sosial telah terbukti sama pentingnya.

 

Dimanakah Bantuan Boleh Diperolehi?

Sumber: SAYS.com

  1. Ketika dalam kecemasan

Jika ada seseorang yang dikenali ingin atau cuba untuk membunuh diri, anda boleh mendapatkan bantuan ke unit Kecemasan di hospital terdekat. Anda juga boleh menghubungi ambulans di talian 112, atau organisasi terlibat.

Organisasi yang boleh dihubungi sekiranya anda atau seseorang yang anda kenali yang sedang mengalami kemurungan dan mempunyai kecenderungan membunuh diri:

Befrienders Kuala Lumpur – 03-7956 8144

Befrienders Penang – 04-281 5161

Befrienders Melaka – 06-284 2500

Befrienders Ipoh – 05-547 7933

Befrienders Seremban – 06-765 3588

Persatuan Lifeline Malaysia – 03 -9285 0039, 03-9285 0279, 03-9285 0049

Persatuan Kesihatan Mental Malaysia – 03-7782 5499

 

  1. Kaunselor di tempat anda

Langkah pertama yang anda boleh lakukan adalah dengan berjumpa kaunselor di sekolah, universiti atau tempat kerja anda. Dari situ, anda boleh memberitahu mereka tentang masalah yang anda hadapi dan menanyakan langkah-langkah selanjutnya yang perlu diambil, terutamanya jika anda memerlukan rawatan lanjut.

 

  1. Pusat Kesihatan Mental Komuniti (Mentari)

Mentari merupakan sebuah pusat kesihatan mental masyarakat inisiatif daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

Di sini, mereka menawarkan perkhidmatan seperti Perkhidmatan Pesakit Luar, Perkhidmatan Psikiatri Komuniti dan Perkhidmatan Rehabilitasi yang turut menyediakan Ujian Saringan awal bagi pesakit yang belum mempunyai diagnosis.

Perkhidmatan ini disediakan untuk pesakit psikiatri am, geriatrik, kanak-kanak dan remaja yang mengalami masalah kesihatan mental bertujuan untuk mengurangkan jangkamasa rawatan di wad, membuat intervensi rawatan susulan di rumah selepas konsultasi dengan pakar, membuat penilaian psikososial, memperkasakan sokongan keluarga atau penjaga pesakit melalui pendidikan kesihatan dan mengesan gejala-gejala awal penyakit yang dikhuatiri akan berulang.

Sekiranya anda ingin mendapatkan pemeriksaan dan pengesanan awal di pusat Mentari, anda boleh menghubungi talian-talian ini: 

Sumber: SAYS.com

 

  1. Klinik Kesihatan Awam

Anda boleh berjumpa dengan doktor am di klinik kesihatan kerajaan bagi mendapat konsultasi dan pemeriksaan.

 

  1. Perkhidmatan kaunseling dan psikiatri

Persatuan Kesihatan Mental Malaysia atau Malaysian Mental Health Association (MMHA) turut menyediakan perkhidmatan kaunseling dan psikiatri. 

Perkhidmatan yang disediakan ini ada yang percuma. Namun, bayaran akan dikenakan terhadap mereka yang mendapatkan perkhidmatan untuk masalah wanita dan kanak-kanak, keluarga, perkahwinan dan kewangan.

Di samping itu, perkhidmatan yang disediakan ini juga berdasarkan komuniti yang mana mereka akan gunakan bahasa Malaysia, Mandarin, Tamil dan Arab dan menyediakan perkhidmatan khusus bagi komuniti beragama Buddha atau Kristian. 

KATA ORANG

KATA ANDA

Sehingga ke hari ini, adakah anda berpuas hati terhadap kempen yang dilakukan kerajaan dalam kesedaran kepada orang awam mengenai isu ini?
3 votes · 3 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN